Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Sheik Alau'ddin mahu letak silat sederet sukan elit lain

* Sukan dijangka terus dapat suntikan perangsang apabila S'pura jadi tuan rumah Kejohanan Pencak * Silat Dunia bulan depan Silat setempat giat kembang pesat di peringkat akar umbi dan juga peringkat elit
Nov 04, 2018 | 05:30 AM



SEBAGAI 'orang kuat' silat setempat, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, tidak berselindung menggariskan matlamat yang ingin dicapainya - melihat seni mempertahankan diri itu sebagai sukan nombor satu di Singapura, setanding sukan utama lain seperti renang atau tenis meja.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi) itu bagaimanapun akur "masih banyak yang perlu dicapai" sebelum silat dapat diletakkan sederet sukan-sukan elit setempat ini sekalipun pencapaian silat sejak 10-15 tahun menunjukkan ia berada di landasan yang betul bagi mencapai cita-citanya itu.



Buat pertama kalinya silat dipertandingkan di Sukan Asia anjuran Indonesia baru-baru dengan seni mempertahan diri itu dijangka terus mendapat suntikan perangsang apabila Singapura menjadi tuan rumah edisi ke-18 Kejohanan Pencak Silat Dunia yang akan diadakan di Arena OCBC Hab Sukan Singapura bulan depan.



"Jika dibandingkan dulu, silat telah mencatatkan peningkatan pesat hari ini tetapi masih banyak yang boleh kami lakukan untuk meletakkan silat ke tahap seperti sukan renang di negara ini," ujar Sheik Alau'ddin, 51 tahun, kepada Berita Minggu (BM) semasa ditemui di pejabatnya di Heartbeat@Bedok baru-baru ini.



"Memang impian saya ialah meletakkan silat sebagai sukan nombor satu di sini, insya-Allah satu hari nanti apabila silat disertakan dalam Sukan Olimpik, mungkin kita akan lihat silat setaraf dengan renang.



"Laluannya tidak mudah tetapi kami sudah separuh jalan dalam usaha mencapai matlamat ini.



"Apa yang perlu kini ialah memastikan silat kekal dipertandingkan di Sukan Asia. (Edisi) Sukan Asia seterusnya di China dan kami yakin kerana silat sudah pun ada di China.



"Sekarang ni semua orang mahu dikaitkan dengan renang... ini kerana kejayaan Joseph Schooling memenangi emas di Olimpik... ia mencetuskan suatu macam keterujaan bagi sukan itu.



"Jadi, jika kami dapat mengekalkan kehadiran terus silat di Sukan Asia... meletakkannya di Sukan Komanwel serta kejohanan berprestij lain dan seterusnya di Olimpik, bayangkan rangsangan yang akan diberikan kepada silat.



"Ribuan orang mahu mempelajari silat... ibu bapa juga mahukan anak mereka bergiat dalam sukan yang melahirkan juara Olimpik... segala ini tentu sekali akan meletakkan silat ke tahap lebih tinggi," tambahnya yang juga presiden Persekutuan Silat Asia (APSIF).



Sejak memikul jawatan CEO sekitar 2005, Sheik Alau'ddin, serta kakitangan di Persisi gigih memperjuangkan nasib sukan ini.



Daripada melihat pesilatnya berlatih "dalam gelap" di sekitar pejabat lama di bangunan Persatuan Rakyat (PA) yang merupakan bekas bangunan Lapangan Terbang Kallang dulu, kini atlitnya memiliki 'rumah' yang selesa dilengkapi peralatan latihan terkini di Arena OCBC, Hab Sukan Singapura.



Beroperasi dari pejabatnya yang turut menempatkan sebuah lagi dewan latihan di Heartbeat@Bedok, beberapa kegiatan serta latihan turut dianjurkan di Pusat Kecemerlangan Silat (SCOE) di Bedok North (sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun depan sebelum bangunan itu dirobohkan).



Silat turut 'hadir' di Sekolah Sukan Singapura (SSP) serta pelbagai program di peringkat akar umbi termasuk apa yang dipanggil 'Singa Cub' bagi peserta cilik berusia 3-6 tahun berjinak-jinak dalam sukan itu.



Sukan ini turut melahirkan juara di peringkat elit - Sukan SEA, Sukan Asia dan juga di peringkat tertinggi iaitu Kejohanan Dunia.



Sheik Alau'ddin sendiri merupakan juara dunia dua kali - pada 1990 dan 1994 - dan di Kejohanan Dunia yang terakhir di Bali dua tahun lalu, anaknya sendiri Sheik Farhan, serta pesilat veteran Muhammad Shakir Juanda, mempamerkan kehebatan masing- masing untuk bergelar juara dunia dua kali.



Kecemerlangan Sheik Farhan, Shakir serta beberapa rakan pesilat lain juga menyaksikan mereka dipilih dalam senarai atlit negara yang menerima Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Biasiswa Spex) - skim sokongan bagi atlit elit yang berada di laluan Sukan Berprestasi Tinggi (HPS) - yang menyediakan sokongan lebih menyeluruh termasuk elaun yang menjangkau lebih $6,000 sebulan.



Malah dana sokongan yang diperuntukan agensi sukan negara, Sport Singapore (SportSG) kepada Persisi juga telah meningkat berlipat ganda - daripada hanya $20,000 sekitar 15-20 tahun lalu kepada lebih $2.4 juta tahun ini.



Atas sebab ini jugalah yang mendorong Sheik Alau'ddin begitu bersemangat sekali membawa Kejohanan Dunia ke sini - pada 13-16 Disember - sekalipun berhadapan tempoh persiapan yang agak singkat menyusuli penarikan diri Indonesia.



"Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk menguar-uarkan lagi silat. Apabila anda menganjurkan kejohanan sebesar ini, ia akan menarik penglibatan media... menarik penaja... orang ramai dan syarikat yang tak pernah tahu pasal silat mungkin akan mula ambil tahu," kata Sheik Alau'ddin yang turut dianugerah Pingat Bakti Masyarakat (PBM) pada 2000 di atas segala jasa dan sumbangan ke atas sukan serta kerja-kerja sukarelawan yang dicurahkannya selama ini.



"Kami turut mendapatkan sokongan dan kerjasama SportSG... serta syarikat e-dagang produk dan perkhidmatan halal, Aladdinstreet.com.sg sebagai penaja utama.



"Kami mengundang para menteri, malah Presiden Halimah (Yacob) juga akan menyerikan majlis pembukaan kejohanan itu nanti sebagai tetamu terhormat.



"Dengan media sosial turut memainkan peranan dengan jangkauannya tidak terbatas kepada hanya peminat di negara ini, kami akan mewujudkan buzz... mengenai silat.... mengenai sukan kampung ini... di persada dunia.



"Ada yang bertanya adakah silat wujud di Eropah? Wujudkah silat di Amerika? Di kejohanan Dunia ini nanti mereka akan melihat sendiri mat salih beraksi... pesilat Eropah beraksi, malah pesilat Afrika pun akan bertarung... segala ini tentu sekali akan mengubah persepsi mereka bahawa silat ini bukan sekadar satu sukan kampung atau sukan Melayu.



"Kami mahu tinggalkan kenangan manis... kami mahu mengukir legasi... sepertimana juga dengan beberapa kejohanan sukan kelas dunia lain seperti Formula Satu, ragbi tujuh sepasuk dan tenis WTA yang dianjurkan di negara kita," tambahnya.



Sebelum ini, Singapura pernah menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Silat Dunia pada 1988 dan 2004.



Kali ini, lebih 40 negara daripada empat benua dijangka akan menyertainya - satu petanda bahawa kejohanan ini kian mendapat perhatian.



Ditanya mengenai persepsi sesetengah pihak bahawa silat sebagai sukan dan seni mempertahan diri asal rumpun Nusantara adalah 'sukan mudah' yang melahirkan juara-juara 'mudah' - antara sebab ia mungkin kurang mendapat pengiktirafan seawajarnya - Sheik segera menepis andaian itu.



Sambil memberi contoh sukan tenis meja, pemenang Anugerah Jurulatih Terbaik Singapura sebanyak tiga kali itu berkata:



"Pasukan terkuatnya ialah China, sebuah negara terletak di Asia... mereka menjadi ukur tara kejohanan di peringkat Asia, Olimpik atau Dunia bagi negara-negara lain.



"Bayangkan betapa sukarnya bagi pemain kami untuk mengalahkan mereka... begitu juga dengan silat.



"Hakikatnya, mana ada lagi sukan yang mudah hari ini. Anda kini telah melihat pesilat Vietnam kian menunjukkan taring dan mungkin lagi 10-15 tahun, kita akan melihat pesilat dari China dan India menjadi juara dunia.



"Malah sebelum ini juga, pesilat Jerman, Belanda dan beberapa negara Eropah lain juga sudah pun membuktikan kekuatan mereka."




HARAPAN MELIHAT PESILAT DINOBATKAN ANUGERAH OLAHRAGAWAN/OLAHRAGAWATI SINGAPURA TIDAK LAMA LAGI



"Sebagai juara dunia, saya terkilan tidak pernah memenangi anugerah sukan tertinggi Singapura ini sekalipun saya telah menerima Anugerah Jurulatih Terbaik sebanyak tiga kali sebelum ini. Sejauh ini, silat belum ada lagi pemenang Olahragawan atau Olahragawati Negara tetapi saya yakin satu hari nanti, kami akan diberikan anugerah itu kerana persepsi mengenai sukan ini kian berubah... orang ramai kini sedar silat adalah lasak, lebih dinamik dan bukan lagi sekadar satu sukan kampung. Bukan mudah untuk menjadi juara dunia... perlukan kerja keras, pengorbanan, bermandi keringat... kadangkala sampai menitiskan darah di gelanggang."



- Sheik Alau'ddin Yacoob Marican.




SEKILAS



Apa: Edisi Ke-18 Kejohanan Silat Dunia



Bila: 13-16 Disember



Di mana: Dewan OCBC, Hab Sukan Singapura



Penganjur: Persekutuan Silat Singapura (Persis) dengan sokongan Sport Singapore (SportSG) serta penaja utama, syarikat e-dagang produk dan perkhidmatan halal, Aladdinstreet.com.sg



Jumlah peserta: Lebih 40 negara daripada empat benua



Antara tarikan: Pertunjukan seni mempertahan diri lain seperti karate, taekwondo, judo dan arnis (menggunakan kayu dari Filipina) serta persembahan kebudayaan dari PA seperti tarian tradisional Melayu, Cina dan India bagi menunjukkan warna-warni kehidupan di Singapura



Sekilas:



- Di edisi Kejohanan Dunia terakhir di Bali pada 2016, Singapura memenangi dua pingat emas, sebutir perak dan lapan gangsa



- Kali pertama Kejohanan Dunia dianjurkan ialah pada 1982. Waktu itu hanya tujuh negara mengambil bahagian




Pergiat usaha jadikan silat lebih inklusif



MENJADIKAN silat lebih terbuka dan lebih inklusif memang menjadi antara misi utama Persekutuan Silat Singapura (Persisi) sejak beberapa tahun lalu tetapi aspek ini akan diberi lebih banyak penekanan tahun depan.



Menjelaskan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persisi, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, berkata beberapa kelas silat di peringkat akar umbi - di kelab-kelab masyarakat di serata pulau - sudah pun berjaya menarik penyertaan pesilat bukan Melayu.



Cabarannya kini ialah meningkatkan lagi jumlah penyertaan golongan bukan Melayu itu dan lebih penting lagi berusaha mengekalkan penglibatan mereka seberapa lama yang boleh - matlamatnya tentu sekali melihat mereka mencapai tahap skuad elit nasional.



"Contohnya, jika anda ke Kelab Masyarakat Bishan, anda akan melihat bangsa lain... Cina... Serani... India... belajar silat," kata Sheik Alau'ddin.



"Cabarannya kini ialah terus menukarkan persepsi umum... meyakinkan mereka bahawa silat ini terbuka kepada semua... bahawa silat adalah sukan dan silat adalah untuk kesihatan.



"Semua orang boleh belajar silat dan ia bukan hanya untuk orang Melayu," tambahnya.



Di peringkat pengurusan sukan itu pula, Sheik Alau'ddin menjelaskan pihaknya telah membuka pintunya bagi melibatkan sama golongan profesional bukan Melayu termasuk peguam dan doktor yang kini berada dalam Lembaga Pentadbir dalam Persisi.



"Mereka datang daripada pelbagai latar belakang... datang dengan idea baru... perspektif baru... sesuatu yang kami boleh manfaatkan dalam usaha menjadikan sukan ini lebih terbuka kepada semua golongan masyarakat di Singapura.



"Ini juga sesuatu yang positif dalam usaha meningkatkan lagi taraf sukan ini di sini," tambahnya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >