Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sheik 'realistik' mengenai peluang pingat anak didik

May 8, 2022 | 5:30 AM
YAKIN TAPI REALISTIK: Sheik Alau'ddin menjangkakan pesilat negara memungut tiga pingat emas, dua perak dan tiga gangsa di Sukan SEA Hanoi. - Foto BM oleh KHALID BABA
YAKIN TAPI REALISTIK: Sheik Alau'ddin menjangkakan pesilat negara memungut tiga pingat emas, dua perak dan tiga gangsa di Sukan SEA Hanoi. - Foto BM oleh KHALID BABA -

DENGAN faktor seperti format baru dan keseluruhan dinamik pertandingan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, bersikap realistik mengenai peluang pingat pesilat negara di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, yang akan dibuka secara rasmi Khamis ini.

Singapura antara lain hanya menyasarkan tiga pingat emas dan tiga perak.

Sasaran itu lebih sederhana meskipun Singapura pernah mencatatkan pencapaian besar dengan menggondol 11 pingat emas, sembilan pingat perak dan lima pingat gangsa di Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara (SEA) yang berlangsung di sini pada Februari lalu.

Singapura akan diwakili 20 pesilat dalam 15 acara seni dan tanding dalam temasya sukan Asia Tenggara itu.

Skuad itu termasuk beberapa juara dunia - Sheik Farhan Sheik Alau'ddin, Muhammad Iqbal Abdul Rahman, Nurul Suhaila Mohamed Saiful dan Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin.

Kontinjen silat negara sudah berlepas ke Hanoi semalam, dengan kempen mereka bermula lusa di Pusat Sukan Bac Tu Liem.

Ditemui Berita Minggu (BM) di OCBC Arena baru-baru ini, Sheik berkata: "Sejujurnya, saya agak risau. Bukan kerana saya tidak yakin pada mereka... pastinya saya percaya pada kebolehan mereka. Tapi, pertandingan kali ini menggunakan format baru."

Dalam kategori tanding, peraturan baru memberi kelonggaran kepada pesaing ketika menarik pakaian lawan sambil mereka cuba mengasak seperti menumbuk atau menendang untuk meraih mata. Sistem pemarkahan lebih moden dan telus juga akan dilaksanakan dalam Sukan SEA Hanoi ini.

Pesilat negara, bagaimanapun, mempunyai kelebihan sebab telah beraksi di bawah format baru itu di Kejohanan Pencak Silat SEA baru-baru ini, iaitu kejohanan silat antarabangsa pertama sejak pandemik Covid-19. Format baru itu diluluskan tahun lalu.

"Tapi, kali ini (di Sukan SEA), ia adalah temasya sukan dan pingatnya diraih untuk negara. Pertandingan ini melibatkan seluruh negara tuan rumah, dan bukan hanya persekutuan silat negara itu. Jadi, keseluruhan dinamik pertandingan telah berubah menjadi serius," jelasnya.

Seramai 12 pesilat negara juga bakal membuat penampilan sulung mereka di edisi Sukan SEA ini.

"Bagi pesilat baru, mereka harus mengambil pertandingan ini secara serius. Tidak boleh fikir mereka dapat cuba sekali lagi dalam edisi seterusnya. Mereka harus beraksi dengan cemerlang. Ia demi keselamatan mereka juga," katanya lagi.

Bahkan, sasaran pingat pasukan Singapura di temasya sukan itu turut dikurangkan kepada tiga pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Sebelumnya, Sheik memberitahu BM bahawa beliau menjangka pesilat negara mampu memungut tiga pingat emas, tiga perak dan enam gangsa. Sasaran yang "lebih realistik" ini mengambil kira soal kecederaan serta saingan yang tentunya lebih mencabar.

Sheik mendedahkan kepada BM bahawa salah seorang anak didiknya, Muhamad Rizuan Muhamad Razak, yang sepatutnya bertanding dalam Kelas Terbuka (95-110kg) Putera, terpaksa menarik diri kerana mengalami patah pelvis semasa beraksi di Kejohanan Pencak Silat SEA lalu.

Beliau juga menyatakan pasukan tuan rumah, Vietnam, yang sememangnya kuat dalam acara ini, akan memberi tentangan hebat kepada pesilatnya.

"Vietnam adalah pencabar utama kami. Ini diikuti dengan Indonesia, yang selalu menginginkan kejayaan. Mereka mahu mengekalkan status mereka sebagai negara asal bagi silat.

"Tapi, apa yang penting adalah bagi pesilat kita terus mendahagakan kemenangan dan berjuang habis-habisan dalam gelanggang sehingga 'gong' penamat dibunyikan," tambahnya.

Di edisi lalu Sukan SEA di Manila, Filipina pada 2019, Singapura membawa pulang lima pingat - dua emas, satu perak dan dua gangsa - daripada lapan acara yang disertai.- ZULAIQAH ABDUL RAHIM

SKUAD PESILAT SG KE SUKAN SEA

ACARA TANDING

1. Kelas B (50-55kg) Putera: Aniq Asri Mohd Yazid (penampilan pertama) 2. Kelas C (55-60kg) Putera: Muhammad Hazim Mohd Yusli 3. Kelas D (60-65kg) Putera: Muhammad Riansyauqi Mistam (penampilan pertama) 4. Kelas F (70-75kg) Putera: Abdul Raazaq Abdul Rashid 5. Kelas G (75-80kg) Putera: Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin 6. Kelas H (80-85kg) Putera: Muhammad Syakir Jeffry (penampilan pertama) 7. Kelas J (90-95kg) Putera: Sheik Farhan Sheik Alau'ddin 8. Kelas E (65-70kg) Puteri: Nurul Suhaila Mohd Saiful 9. Kelas F (70-75kg) Puteri: Siti Khadijah Mohd Shahrem (penampilan pertama)

ACARA SENI

1. Seni Tunggal Putera: Muhammad Iqbal Abdul Rahman 2. Seni Ganda Putera: Muhammad Haziq Mohd Zaque & Muhammad Hazim Mohd Zaque (kedua-dua penampilan pertama) 3. Seni Regu Putera: Muhammad Iqbal Abdul Rahman, Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Muhammadinil Mustafar Mohd Isa (penampilan pertama) 4. Seni Tunggal Puteri: Siti Nazurah Mohd Yusoff (penampilan pertama) 5. Seni Ganda Puteri: Nur Azlyana Ismail & Sharifah Shazza Samsuri (penampilan pertama) 6. Seni Ragu Puteri: Iffah Batrisyia Noh, Amirah Sahrin & Nur Ashikin Zulkifli (semua penampilan pertama)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg