Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PANDANGAN

Silat berpotensi ke Olimpik tapi...

Aug 08, 2022 | 05:30 AM



MATLAMAT akhir pencak silat sebagai sebuah sukan ialah membawa seni asal Nusantara itu ke Sukan Olimpik.



Pengerusi Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, mendedahkan dalam satu wawancara bersama Berita Harian bahawa usaha giat dijalankan bagi menyakinkan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menimbangkan menyertakan silat dalam temasya sukan terbesar di dunia itu.



Sheik, yang juga presiden Persekutuan Pencak Silat Asia (APSIF) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), meletakkan sasaran silat disertakan sebelum Sukan Olimpik 2036.



Beliau berharap sukan itu dapat dipilih sebagai sukan pertunjukan sama ada pada edisi di Paris pada 2024 atau di Los Angeles empat tahun kemudian.



Silat hanya pernah beraksi sekali dalam Sukan Asia - apabila Indonesia menjadi tuan rumah pada 2018, walaupun ia kerap dipertandingkan dalam Sukan SEA sejak 1987.



Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.



Tetapi, layakkah silat dibawa ke pentas temasya sukan lebih besar? Apakah ia sukan bermutu Olimpik?



Pengalaman saya berkampung lima hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka bagi Kejohanan Pencak Silat Dunia 2022 memberi gambaran baik mengenai kesediaan dan keupayaan sukan ini.



Pada Rabu minggu lalu, saya ditugaskan membuat liputan mengenai pesilat Singapura bertanding dalam edisi ke-19 kejohanan dunia itu.



Ia kali pertama saya menyaksikan sukan itu di gelanggang terbesarnya - selepas dua edisi Sukan SEA pada 2019 dan Mei lalu serta Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara di Singapura Februari lepas.



Pertandingan itu menyatukan sekitar 500 pesilat dari 26 negara, termasuk Amerika Syarikat, Algeria, Jerman, India dan Kazakhstan.



Justeru, setinggi gunung jangkaan saya untuk menonton pesilat terbaik dunia menyengat di Melaka.



Bagaimanapun, di sebalik aksi berbisa pesilat mantap, kemegahan pertandingan itu dicemar beberapa kejadian kurang enak.



Pada hari pertama persaingan, waktu perlawanan ditunda hampir dua jam. Pada hari-hari selanjutnya, ada pembaikan - perlawanan bermula hanya lewat 30 minit.



Tetapi, bagi jadual kejohanan yang padat - mengelolakan 32 acara seni dan tanding dalam dua arena - kelewatan waktu perlawanan sama sekali tidak boleh diterima.



Bahkan ada pesilat yang dikehendaki berentap pada waktu tidur mereka, selewat 11 malam.



Ada pula yang dijadual bersaing dan sudah bersedia masuk gelanggang tetapi pada saat-saat akhir diberitahu perlawanan ditunda kepada esoknya.



Rutin harian di MITC memenatkan - berhimpun dari seawal 8 pagi hingga hampir 12 tengah malam.



Seorang pesilat Singapura, yang enggan identitinya didedah, berkata kejohanan itu adalah "yang paling teruk pernah saya sertai".



Ketelusan pada pemarkahan juri juga meragui.



Kejohanan dunia ini merupakan yang pertama dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang silat yang dikemas kini, termasuk menggunakan teknologi VAR (video penolong pengadil) untuk menyemak semula aksi pesilat.



Antara perlawanan didakwa tidak adil ialah pusingan akhir tanding B putera.



Wakil tuan rumah Malaysia, Mohammad Khairi Adib Azhar, menarik diri daripada saingan semasa menentang pesilat Singapura, Aniq 'Asri Mohammad Yazid, kerana dikatakan tidak berpuas hati mengenai pemarkahan juri sepanjang perlawanan.



Khairi melakukan tendangan dan pukulan tetapi serangannya tidak diambil kira, lapor akhbar Berita Harian Malaysia.



Aniq, yang akhirnya dinobat juara, mendahului 16-7 ketika itu dengan perlawanan berbaki seminit.



Menurut laporan itu lagi, Khairi menarik diri kerana diarahkan oleh presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, yang dipetik berkata beliau bertindak demikian demi membela anak didiknya.



Insiden tegang itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan kontinjen dan penyokong Malaysia kira-kira 15 minit, termasuk perbuatan membaling botol minuman ke tengah gelanggang dari tempat penonton.



Berita Harian sudah menghubungi Pesaka, selaku penganjur, untuk mendapat komen mereka.



Saya ingin bersangka baik bahawa apa yang berlaku di Melaka tidak mencerminkan kejohanan silat lain. Tetapi, jangan biarkan nila setitik merosakkan susu sebelanga.



Kejadian sebegitu bukan boleh mencemarkan nama baik silat sahaja, malah menghambatnya mencapai "bukit" Olimpik.



Silat sebenarnya ada potensi melangkah jauh dan pesilat ada keupayaan beraksi di gelanggang sukan terbesar dunia.



Tetapi, sekiranya silat ingin bertapak di Sukan Olimpik bagi tontonan dunia, profesionalisme sukan 'kampung' ini harus dipertingkat agar bertaraf dunia - dari segi aksi pesilat mahupun penganjuran pertandingan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >