PREVIU SINGAPURA lwn MYANMAR
KAPTEN pasukan Singa Hariss Harun tidak menafikan Singapura perlu memulakan kempen Piala AFF 2022 mereka dengan kemenangan apabila menentang Myanmar dalam Kumpulan B di Stadium Jalan Besar petang ini.
Dalam sidang media praperlawanan di Hotel Parkroyal semalam, Hariss, 32 tahun, berkata: "Setiap perlawanan benar-benar penting. Kejohanan tahun lalu adalah contoh sempurna. Kemenangan kami dalam perlawanan pembukaan menetapkan rentak untuk baki kejohanan."
Singapura memulakan AFF 2020, yang ditunda ke tahun lepas dek pandemik Covid-19, juga dengan berdepan Myanmar, dan dalam perlawanan itu, pasukan Singa yang dikendalikan bekas jurulatih Tatsuma Yoshida menang 3-0.
Seterus Singapura mara ke separuh akhir dalam edisi itu - kali pertama sejak kali terakhir muncul juara pada 2012 - sebelum tewas kepada Indonesia.
Harris berkata pengalaman itu telah memperkukuh keyakinan diri beliau dan rakan sepasukannya, tetapi berharap mereka tidak akan mengenakan terlalu banyak tekanan ke atas diri sendiri untuk menang pada malam ini.
"Jika kami tidak menang, ia tidak bermakna kami hilang peluang melepasi pusingan kumpulan, kami akan kekal positif dan yakin kami akan dapat meraih keputusan yang kami inginkan," tambah Hariss.
Sejarah pertembungan terkini antara dua pasukan itu memihak kepada Singapura. Jurulatih baru Takayuki Nishigaya memimpin pasukan Singapura mencatat kemenangan 6-2 ke atas Myanmar dalam kelayakan Piala Asia AFC Jun tahun ini. Bagaimanapun, Nishigaya, 49 tahun, bersikap lebih berhati-hati bagi perlawanan kali ini.
"Pasukan Myanmar pada kali ini berbeza berbanding dengan pasukan yang kami temui dalam dua perlawanan sebelum ini. Beberapa pemain baru telah menyertai pasukan dan kini bermain lebih agresif. Ia akan menjadi perlawanan sukar bagi kami," ujar warga Jepun itu.
Myanmar tewas 0-1 kepada Malaysia dalam perlawanan pertama mereka Rabu lalu, selepas sepakan penalti penyerangnya Win Naing Tun diselamatkan penjaga gol Harimau Malaya Syihan Hazmi pada minit ke-94.
Namun, jurulatih Myanmar Antoine Hey percaya anak didiknya dapat bangkit kembali di kota Singa.
"Kami menunjukkan persembahan baik menentang Malaysia dan telah meningkatkan prestasi daripada sebelumnya. Pasukan kami nampak bagus secara fizikal jadi saya yakin kami dapat memberi saingan," kata warga Jerman itu.
Dalam pada itu, Hey mengkritik pemilihan Stadium Jalan Besar sebagai padang tuan rumah untuk perlawanan Piala AFF Singapura. Stadium itu menggunakan padang rumput tiruan.
Namun, Hey berkata pemainnya tidak akan terkesan bermain di JBS kerana telah berlatih di sana baru-baru ini,
"Jika ia (rumput tiruan) adalah idea baik, mengapa tiada kejohanan tahap tinggi antarabangsa seperti Piala Dunia atau Piala Asia menggunakan padang rumput tiruan," ujar Hey,
"Bola sepak antarabangsa... dimainkan lebih pantas. Padang rumput tiruan membahayakan dan anda (Singapura) baru mengalami dua kecederaan... Bagi masa akan datang, saya sarankan rumput asli," tambahnya.
Dua pemain nasional Ikhsan Fandi dan Adam Swandi, terlepas beraksi dalam Piala AFF setelah kecedera dalam perlawanan persahabatan menentang Maldives di JBS pada Sabtu lalu.
Perlawanan Piala AFF dengan Myanmar ini tidak dapat dimainkan di Stadium Negara yang menyediakan padang rumput asli - meskipun ia bergelar 'Rumah Pasukan Singa' - kerana stadium itu telah ditempah bagi konsert penyanyi Taiwan Jay Chou pada 17 dan 18 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg