Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PREVIU PIALA SUZUKI AFF

Singa berburu dengan yakin

Dec 05, 2021 | 05:30 AM



Pasukan Singa memulakan kempen Piala Suzuki AFF 2020 mereka dengan perlawanan menentang Myanmar hari ini. Kejohanan ini boleh dianggap sebagai peluang memenangi semula hati penyokong tempatan yang kurang terdorong oleh persembahan pasukan negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan. Tetapi, bagi dua pemain Singapura yang berpotensi membuat penampilan sulung mereka di kejohanan berprestij Asean ini, ia mungkin permulaan sebuah era baru.



Umur 'tua' jadikan Hafiz matang, pemain lebih baik



USIA sekadar angka, kata pemain sayap Singapura Hafiz Nor.



Pada usia 33 tahun, pemain Lion City Sailors itu bakal membuat penampilan sulungnya di kejohanan Piala Suzuki, yang membuka medan pertarungannya hari ini.



Daripada 28 pemain dalam skuad pilihan jurulatih pasukan nasional Singapura Tatsuma Yoshida, 11 akan beraksi buat kali pertama di kejohanan dwitahunan rantau ini.



Selain Hafiz, mereka ialah penjaga gol Zharfan Rohaizad; pemain pertahanan Nur Adam Abdullah, Iqram Rifqi dan Tajeli Salamat; pemain midfield Saifullah Akbar, Hami Syahin dan Song Uiyoung; serta penyerang Amy Recha, Ilhan Fandi dan Shawal Anuar.



Dalam kelompok 'pendatang baru' ini, Hafiz yang tertua, diikuti oleh Shawal (30 tahun) dan Amy (29 tahun).



Namun, bagi Hafiz, dengan usia 'lanjut' itu datang kematangan dalam permainannya.



Hafiz, yang menjaringkan satu gol dalam lapan penampilan buat pasukan Singa, berkata: "Bagi saya usia hanya angka. Apabila anda mencapai usia lanjut, anda lebih matang.



"Ketika muda, saya tahu kepantasan kelebihan saya. Tapi sekarang saya ada pemahaman bola sepak dan kepantasan untuk bersiap bagi kejohanan ini. Jadi pengalaman bermain selama ini menjadikan saya pemain lebih baik."



Perjalanan Hafiz ke Piala Suzuki AFF 2020 tidak selancar yang beliau jangka apabila beliau menjadi mangsa Covid-19.



Beliau disahkan positif bagi virus itu pada 19 November.



Sebelum itu, beliau dikenakan Amaran Risiko Kesihatan (HRW) pada 8 November setelah dikenal pasti sebagai anggota isi rumah seorang pesakit Covid-19 yang perlu menjalani arahan pengasingan.



Oleh itu, Hafiz tidak dapat menyertai kem latihan pasukan Singa di Dubai dari 8 hingga 17 November.



Beliau sudah diuji negatif dan menyertai skuad negara Rabu lalu.



Hafiz berkongsi bahawa tempoh 13 hari dalam pengasingan adalah mencabar, dengan latihan terhad kepada basikal 'spin', besi berat dan jalur rintangan (resistance bands) di dalam biliknya.



Kesihatan beliau turut terjejas kerana mengalami simptom Covid-19 seperti demam pada beberapa hari pertama dijangkiti dan kemudian hilang deria rasa selama lapan hari.



Selain Hafiz, kapten pasukan Singa Hariss Harun juga dijangkiti Covid-19. Hariss, 31 tahun, diuji positif pada 3 November.



Beliau bebas daripada jangkitan dan kembali berlatih dengan pasukan nasional pada 21 November.



Setelah pulih kini, Hafiz sudah bersedia berdepan ujian seterusnya dan menggelecek melepasi lawan di bahagian sayap demi Piala Suzuki.



Beliau meletakkan sasaran Singapura mara ke final di laman sendiri, selaku tuan rumah kejohanan.



"Sejujurnya, pemain kita berupaya mencapai matlamat ini dan kami sudah bersedia," ujarnya.



Singapura ditempatkan dalam Kumpulan A bersama juara lima kali Thailand, Filipina, Myanmar dan Timor Leste. Kumpulan B dianggotai juara bertahan Vietnam, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos.



Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir dua perlawanan.



Singapura memulakan kempen mereka menentang Myanmar di Stadium Negara malam ini.




Bagi saya usia hanya angka. Apabila anda mencapai usia lanjut, anda lebih matang. Ketika muda, saya tahu kepantasan kelebihan saya. Tapi sekarang saya ada pemahaman bola sepak dan kepantasan untuk bersiap bagi kejohanan ini. Jadi pengalaman bermain selama ini menjadikan saya pemain lebih baik.
​- Hafiz Nor, pemain sayap Singapura, 33 tahun.




Adam 'penat' tapi tak mahu duduk di bangku simpanan



SETELAH memukau dunia bola sepak tempatan dengan pertahanan mantapnya, kini tiba masanya untuk pemain bek kiri Singapura Nur Adam Abdullah menawan padang bola sepak rantau ini.



Adam, 20 tahun, antara 11 pemain Singapura yang akan membuat penampilan sulung mereka di Piala Suzuki AFF, yang berlangsung di sini mulai hari ini.



Pelajar tahun ketiga pengurusan sukan di Politeknik Republic ini berkata kepada Berita Minggu:



"Bagi saya, bermain dalam Piala Suzuki AFF sangat bermakna.



" Dulu, semasa kecil, saya tengok pemain Singapura bermain dalam pertandingan ini, dan kali ini giliran saya pula.



"Adalah satu penghormatan untuk diberi peluang mewakili negara di pentas besar ini, apatah lagi pada usia muda 20 tahun."



Tahun 2021 dianggap tahun cemerlang bagi remaja ini selepas beliau menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana Singapura (SPL) yang bersejarah bersama Lion City Sailors musim ini.



Persembahan hebat beliau dalam liga tempatan menarik perhatian.



Adam diiktiraf sebagai Pemain Muda Terbaik SPL 2021.



Beliau turut beraksi untuk skuad bawah 22 tahun (U22) Singapura yang bersaing dalam Kelayakan Piala Asia U23 AFC di Singapura Oktober lalu, sebelum mendapat panggilan jurulatih pasukan nasional Tatsuma Yoshida untuk menyertai skuad sementara Singapura bagi Piala Suzuki AFF 2020.



Awal bulan lalu, Adam meraih penampilan sulungnya untuk Singapura apabila dibawa masuk dari bangku simpanan semasa perlawanan persahabatan menentang Republik Kyrgyz di Dubai.



Ditanya apakah beliau mampu bertahan sepanjang kejohanan selama sebulan ini selepas musim yang sangat sibuk, Adam mengakui bermain dalam pertandingan berturut-turut memberi kesan terhadap fizikal dan mentalnya.



"Sejujurnya, tidak mudah bagi saya sebab ini adalah tahun yang sangat panjang buat saya.



"Saya boleh katakan yang saya penat secara fizikal dan mental," kongsi pemenang Anugerah Dollah Kassim 2018 itu.



"Tapi, saya ingin terus berusaha gigih memperbaiki diri sebab saya tahu ramai pemain di luar sana yang tidak dapat peluang mewakili Singapura mahukan peluang yang diberi kepada saya ini."



Justeru, Adam ingin memanfaatkan peluang itu sebaik-baiknya dan menetapkan sasaran diturunkan ke dalam padang untuk berusaha memenangi Piala AFF Suzuki 2020 buat negara.



Adam mahu tahun 2021 bertambah manis buatnya - dengan Singapura menjulang piala itu pada final di Stadium Negara pada Tahun Baru.



Kali terakhir Singapura, juara empat kali Piala Suzuki AFF, dinobat juara ialah pada 2012.



Dan Adam yakin pasukan Singa dapat melangkah jauh dalam kejohanan ini.



"Dengan pemain yang berpangkalan di luar negara seperti Safuwan (Baharudin), Irfan dan Ikhsan Fandi dalam skuad, saya percaya kami boleh pergi jauh.



"Kami boleh jadi juara tapi kami harus fokus pada setiap perlawanan, satu demi satu," ujar beliau.




Bagi saya, bermain dalam Piala Suzuki AFF sangat bermakna. Dulu, semasa kecil, saya tengok pemain Singapura bermain dalam pertandingan ini, dan kali ini giliran saya pula. Adalah satu penghormatan untuk diberi peluang mewakili negara di pentas besar ini, apatah lagi pada usia muda 20 tahun.
- Nur Adam Abdullah, pemain bek kiri Singapura, 20 tahun.




PERLAWANAN PUSINGAN KUMPULAN SINGAPURA DI PIALA SUZUKI AFF 2020



Singapura lwn Myanmar

Tarikh: Ahad, 5 Disember

Waktu: 8.30 malam



Filipina lwn Singapura

Tarikh: Rabu, 8 Disember

Waktu: 8.30 malam



Singapura lwn Timor-Leste

Tarikh: Selasa, 14 Disember

Waktu: 8.30 malam



Thailand lwn Singapura

Tarikh: Sabtu, 18 Disember

Waktu: 8.30 malam



**Semua perlawanan di Stadium Negara.



Perlawanan akan disiarkan secara langsung secara percuma di platform digital Mediacorp, meWATCH, sementara sorotan perlawanan boleh ditonton di saluran YouTube meWATCH dan Mediacorp Entertainment.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >