PASUKAN Singa berazam menunjukkan persembahan terbaik mereka untuk menyenyapkan "sebahagian kecil" penyokong Singapura yang mengejek mereka, apabila menentang Indonesia dalam pusingan pertama separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 malam ini.
Apabila kalah 0-2 kepada Thailand di Stadium Negara Sabtu lalu, Singapura diejek penyokong sendiri kerana persembahannya yang dianggap kurang meyakinkan.
Ini meskipun pasukan Singa berjaya mara ke separuh akhir kejohanan ini buat kali pertama sejak 2012.
Mengulas perkara itu pada sidang media praperlawanan semalam, penjaga gol Singa Hassan Sunny berkata: "Sejujurnya, kami agak terkejut (mengenai reaksi itu) tapi mereka hanya sebahagian kecil penyokong. Kami tidak boleh menilai semua penyokong berdasarkan reaksi itu."
Namun, pemain Lion City Sailors itu ingin menggunakan ejekan tersebut sebagai dorongan untuk Singapura bangkit memaparkan persembahan cemerlang di Stadium Negara malam ini.
"Saya tidak mengatakan kami akan mengabaikan ejekan itu tetapi kami perlu melupakannya dan tampil di padang esok dan menunjukkan permainan terbaik kami, percaya bahawa peminat akan terus menyokong kami," kata Hassan, 37 tahun.
"Kami tahu tahap pasukan yang kami hadapi. Pasukan Indonesia mempunyai pemain individu kuat dan kita juga sudah lihat mereka adalah sebuah pasukan yang kuat berlari dan berlari tanpa henti.
"Ia perlawanan yang sukar tapi kami sudah bersedia untuk beraksi... Saya percaya pada pasukan kami dan yakin kami kuat sebagai sepasukan. Sekiranya kami tampil di padang esok dan bermain dengan baik, sukar untuk mereka memecah-belahkan kami," tambahnya.
Jurulatih Singapura Tatsuma Yoshida, yang secara mengejut keluar daripada sidang media menyusuli kekalahan kepada Thailand itu ketika disoal mengenai ejekan penyokong, kelihatan lebih ceria semalam.
"Saya ingin memberitahu penyokong kita bahawa saya tahu anda sentiasa menyokong kami. Kami akan memberi persembahan 100 peratus untuk anda dan kami menantikan anda di stadium esok. Meskipun anda tidak dapat hadir tapi menonton di rumah, kami akan cuba menunjukkan potensi penuh kami kepada anda," kata jurulatih asal Jepun itu.
Jurulatih pasukan Garuda Shin Tae-yong menganggap pertembungan malam ini sebagai "final".
"Bagi dua perlawanan pertama, kami sasar meningkatkan tahap kecergasan dan keserasian antara pemain dan sejak itu, ia seperti kami bermain dalam siri perlawanan final," kata beliau.
"Itulah mentaliti yang kami terapkan dalam setiap perlawanan melangkah ke depan dan saya sudah memberitahu pasukan saya bahawa kami akan menganggap perlawanan ini seolah-olah ia adalah final."
Namun, Shin ketiadaan penyerang bintang Egy Maulana, walaupun beliau kembali menyertai skuad Indonsia semalam selepas selesai tugasnya bersama kelab Liga Slovakia, FK Senica.
"Malangnya, Egy Maulana tidak dapat diturunkan sebab beliau akan tiba di Singapura hanya hari ini. Kami akan memberi beliau rehat dan berharap dapat menurunkannya bagi perlawanan seterusnya," jelas Shin.
Jurulatih asal Korea Selatan itu berkata Singapura berupaya memberikan persaingan sengit malam ini.
"Kami tahu Singapura ada kelebihan sebagai tuan rumah dan mereka mempunyai mutu dalam kedua-dua bahagian, serangan dan pertahanan. Jadi kami perlu kekal fokus sepanjang perlawanan," ujarnya.
PERLAWANAN SEPARUH AKHIR
PUSINGAN PERTAMA:
Rabu, 8.30 malam
Singapura lwn Indonesia
Khamis, 8.30 malam
Vietnam lwn Thailand
PUSINGAN KEDUA:
Sabtu, 8.30 malam
Indonesia lwn Singapura
Ahad, 8.30 malam
Thailand lwn Vietnam
* Semua perlawanan di Stadium Negara.
Perlawanan akan disiarkan secara langsung percuma di platform digital Mediacorp, meWATCH, sementara detik utama perlawanan boleh ditonton di saluran YouTube meWATCH dan Mediacorp Entertainment.
- Laporan selepas perlawanan di portal digital Berita Harian: www.BeritaHarian.sg