Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

REVIU: PIALA AFF SUZUKI

Singa mengaum cemerlang, beri amaran kepada pasukan lain

Anak didik Yoshida orak langkah positif, beri harapan layak ke pusingan separuh akhir
Dec 07, 2021 | 05:30 AM



MENJELANG perlawanan pembukaan Piala Suzuki menentang Myanmar, jurulatih Singapura, Tatsuma Yoshida, berkata amatlah penting bagi pasukan bimbingannya itu membuka tirai pertandingan dengan kemenangan.



Semasa berkata demikian, Yoshida mungkin berpuas hati dengan sekadar tiga mata - tidak kiralah persembahan yang ditonjolkan.



Namun, anak didiknya itu bukan hanya memastikan tiga mata bagi pasukan Singa, malah membenam Myanmar 3-0 sambil mempamerkan bibit-bibit keupayaan mereka yang sebenar.



Para pengkritik mungkin berkata, "ia hanyalah Myanmar", pasukan yang mengalami masalah kekurangan pemain gara-gara jangkitan Covid-19 dalam skuad negara itu.



Namun, Myanmar tetap berupaya menurunkan pasukan yang kuat termasuk kapten pasukan Maung Maung Lwin selain menjalani latihan pusat di Turkey selama sebulan untuk mempersiap diri bagi pertandingan berprestij Asean ini.



Jurulatih Myanmar, warga Jerman berusia 51 tahun, Antoine Hey, berkata:



"Kemenangan itu bukan kerana mutu permainan Singapura, tetapi lebih kerana kesilapan kami sendiri kerana kami belum bersedia bersaing."



Mungkin Hey lupa, bola sepak harus dimenangi di medan perjuangan.



11 pemain yang bertarung dalam sebuah pasukan boleh mengalahkan 11 pemain lawan - tidak kira jurang standard antara mereka - seperti yang telah banyak kali kita saksikan dalam sukan paling popular dunia ini.



Singapura juga mempunyai masalah mereka sendiri. Namun, mereka hadir, mereka berjuang dan di akhir 90-minit mereka dikalung tiga mata.



Melebihi tiga mata itu, apa yang lebih memberangsangkan mengenai pasukan Singa ini ialah keseimbangan di setiap posisi pasukan.



Berdasarkan perlawanan ini, Yoshida nampaknya tidak mengeluarkan 'kata-kata kosong' apabila menegaskan anak buahnya berada pada landasan yang betul, meskipun keputusan dan persembahan dalam perlawanan persahabatan sebagai persiapan bagi Piala Suzuki ini jauh daripada memberangsangkan.



Dengan Safuwan Baharudin dan Irfan Fandi semakin matang, Singapura mempunyai benteng pertahanan yang cukup mantap.



Benteng ini disokong Hariss Harun di bahagian midfield yang memberi perlindungan kepada benteng empat pemain pertahanan Singapura, manakala Shahdan Sulaiman pula menyediakan suntikan kreativiti untuk merintis peluang jaringan bagi tenaga penggempur seperti Ikhsan Fandi dan Faris Ramli.



"Kami yakin pada kualiti pemain secara individu dah juga sebagai pasukan. Dan malam ini (Ahad lalu), kami menunjukkan keupayaan kami," ujar jurulatih asal Jepun itu.



Kemenangan Singa di depan 7,588 penonton yang hadir dijamin menerusi tandukan cantik Safuwan hasil tendangan sudut, manakala jaringan berganda Ikhsan, yang mempamerkan kebolehannya sebagai penyerang yang 'lengkap', menyempurnakan malam cemerlang bagi Singapura.



Ikhsan khususnya tampak menyerlah.



Gol pertama pemain kelab Norway FK Jerv itu memerlukan beliau melepaskan diri daripada pemain pertahanan Myanmar dengan gerakan pantas.



Beliau kemudian memiliki ketangkasan dan ketenangan minda di depan gol untuk merembat bola yang meleret masuk ke hujung gawang Myanmar, terlalu jauh dari cakupan penjaga gawang, Myo Min Latt.



Ditemui wartawan selepas perlawanan itu, anak legenda bola sepak negara Fandi Ahmad itu berkata:



"Sejujurnya, 20 minit pertama, saya perlu mencari rentak saya sebab saya belum selesa menyesuaikan diri pada perlawanan. Ia memerlukan masa tapi selepas saya dapat rentak permainan, gol pun muncul.



"Gol ini akan memberi keyakinan kepada pasukan dan saya harap ia dapat diteruskan dalam perlawanan seterusnya."



Singapura seterusnya berdepan finalis separuh akhir Piala Suzuki 2018 AFF, Filipina, esok, sebelum menentang Timor Leste dan Thailand minggu depan.



Di edisi 2018, Singapura terlepas ke pusingan kalah mati selepas mengakhiri pusingan kumpulan di tempat ketiga dalam kumpulan sebanyak lima pasukan. Hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan mara ke separuh akhir.



Kemenangan menentang Myanmar meletakkan Singapura di puncak tangga Kumpulan A - di atas juara lima kali Thailand, pada perbezaan gol dengan Thailand hanya mengalahkan Timor Leste 2-0.



Meskipun gembira dengan kemenangan pertama itu, Yoshida akur gol mungkin tidak akan datang bergolek buat pasukan Singa apabila mereka diuji lawan yang lebih mencabar dalam perlawanan mendatang.



Namun, jika Singa terus menunjukkan semangat juang yang dipamerkan sepanjang 90 minit kelmarin, kemenangan pasti mampu digenggam.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >