Kemenangan 1-0 ke atas Bangladesh menghidupkan semula harapan Singapura dalam Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Selepas Indonesia dan Malaysia seri 0-0 dalam perlawanan mereka, Singa akan mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya jika dapat menewaskan Malaysia dalam perlawanan seterusnya.

Namun, persembahan Singa di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta turut menimbulkan satu persoalan: adakah Singa cukup tajam di hadapan gol untuk mencapai matlamat tersebut?

Singa jelas memberikan tindak balas yang lebih baik selepas kekalahan 0-2 kepada Indonesia dalam perlawanan pembukaan.

Mereka lebih tenang menguasai bola, lebih tersusun dalam permainan dan, jika dibandingkan dengan perlawanan menentang Indonesia, kelihatan jauh lebih selesa melaksanakan permainan mereka.

Di sebalik kejayaan itu, daripada beberapa peluang yang dicipta, hanya satu yang berjaya diterjemahkan menjadi gol.

Dan menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Malaysia pada 1 Oktober, itulah antara perkara terbesar yang perlu diperbaiki.

Jurulatih skuad Singa, Gavin Lee, sendiri mengakui perkara tersebut.

“Kalau anda tanya saya, kalau anda tanya mereka (pemain), saya pasti semua orang akan bersetuju bahawa kami sepatutnya mencabar gawang mereka beberapa kali lagi,” katanya.

Pemain sayap Singa, Farhan Zulkifli (kiri), menegaskan bahawa meraih tiga mata adalah keutamaan pasukan itu, namun mengakui ketajaman di hadapan gol perlu ditingkatkan apabila berdepan barisan pertahanan Malaysia yang lebih ampuh.
Pemain sayap Singa, Farhan Zulkifli (kiri), menegaskan bahawa meraih tiga mata adalah keutamaan pasukan itu, namun mengakui ketajaman di hadapan gol perlu ditingkatkan apabila berdepan barisan pertahanan Malaysia yang lebih ampuh. - Foto FAS

Farhan Zulkifli turut mengakui bahawa menjaringkan lebih banyak gol penting, tetapi pada akhirnya, beliau lebih mementingkan tiga mata yang berjaya dibawa pulang.

“Menjaringkan lebih banyak gol agak penting, tetapi bagi saya dan pasukan, kami telah memberikan yang terbaik, dan paling penting untuk kami adalah mendapatkan tiga mata,” kata pemain sayap Singa itu.

Itu memang benar.

Dalam keadaan Singapura baru sahaja tewas kepada Indonesia dan memerlukan kemenangan untuk mengekalkan harapannya, keputusan akhir adalah perkara paling penting.

Tetapi konteks kejohanan bermakna setiap peluang yang terlepas mampu membawa padah.

Dan itulah sebabnya ketumpulan di hadapan gol tidak boleh diabaikan.

Apabila menentang Malaysia, peluang mungkin tidak datang semudah ketika berdepan Bangladesh.

Ini bermakna barisan serangan Singa – antaranya Farhan, Ilhan Fandi, Shawal Anuar, Faris Ramli dan Song Ui-young – perlu temui rentak menjaringkan gol mereka ketika menentang Malaysia.

Selain mengasah jentera serangan, benteng pertahanan Singa juga bakal berdepan ujian sebenar menentang barisan hadapan Harimau Malaya yang agresif.

Barisan pertahanan Singa juga perlu teguh.

Dalam perlawanan antara Malaysia dan Indonesia, ancaman barisan serangan Harimau Malaya sangat ketara.

Malaysia mencapai lebih 60 peratus penguasaan bola dan menghasilkan 23 percubaan gol berbanding 6 percubaan gol Indonesia.

Walaupun Indonesia terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Thom Haye dilayangkan kad merah pada minit ke-35, menguasai pasukan Indonesia yang dipenuhi bintang-bintang Eropah bukan mudah.

Malah, kad merah Thom Haye adalah hasil percubaan beliau untuk menghalang Arif Aiman Hanapi, tetapi kelincahan pemain sayap Harimau Malaya itu mengumpan Haye untuk mengasarinya.

Masalahnya, Aiman bukan satu-satunya ancaman Malaysia. Pemain penyerang, Bergson da Silva dan Faisal Halim, juga bakal mencabar barisan pertahanan Singa.

Mujur buat Singa, pemain pertahanan berpengalaman, Safuwan Baharudin, bakal beraksi dalam perlawanan tersebut selepas terlepas perlawanan Bangladesh akibat digantung satu perlawanan setelah dilayangkan kad merah ketika menentang Indonesia.

Gandingan pemain pertahanan berpengalaman, Safuwan Baharudin (kiri) dan kapten pasukan, Hariss Harun (kanan), bakal menjadi kunci utama benteng Singapura dalam menyekat asakan Malaysia.
Gandingan pemain pertahanan berpengalaman, Safuwan Baharudin (kiri) dan kapten pasukan, Hariss Harun (kanan), bakal menjadi kunci utama benteng Singapura dalam menyekat asakan Malaysia. - Foto FAS

Gandingan pengalaman beliau bersama kapten pasukan, Hariss Harun, amat penting untuk memastikan barisan pertahanan kekal berdisiplin dan sukar dibolosi Malaysia.

Singa telah berjaya meletakkan diri mereka di mana takdir ada dalam tangan mereka sendiri.

Malaysia menduduki tangga teratas Kumpulan A selepas terikat 0-0 menentang Indonesia, berkongsi empat mata daripada dua perlawanan bersama pasukan tuan rumah itu.

Sementara itu, Singapura, yang tewas 2-0 kepada Indonesia pada 25 September, berada di tangga ketiga dengan tiga mata.

Pemain tengah Singa, Harhys Stewart melihat kemenangan ke atas Bangladesh sebagai persediaan penting sebelum pertemuan mesti menang lawan Malaysia.

“Dari segi sejarah, pasukan Malaysia sentiasa menjadi saingan terbesar. Semua orang tahu ia adalah perlawanan yang sangat besar.

“Segala-galanya bakal ditentukan dalam perlawanan seterusnya untuk melangkah ke pusingan kalah mati.

“Ini adalah kali pertama kami beraksi dalam Piala Asean Fifa ini, dan kami mahu menamatkan kejohanan di kedudukan seberapa tinggi yang boleh.

“Oleh itu, saya rasa semua orang akan lebih bermotivasi untuk memberikan persembahan terbaik, sekali gus meraih keputusan positif dan diharapkan dapat menewaskan Malaysia,” ujar pemain tengah itu.

Singa pernah berada dalam situasi bertekanan tinggi seperti ini sebelum ini, dan pasukan itu kerap kali berjaya bangkit membuktikan kemampuan mereka.

Perlawanan menentang Malaysia bakal menguji sejauh mana semangat dan ketahanan itu sekali lagi.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti