Skuad sepak takraw Singapura melangkah ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan sasaran yang lebih realistik – bukan untuk mengubah kedudukan mereka di rantau ini dalam sekelip mata, tetapi untuk membuktikan bahawa proses membina semula pasukan sudah mula membuahkan hasil.

Walaupun masih menyasarkan kedudukan di atas podium, pasukan itu menyedari perjalanan panjang yang perlu ditempuh.

Di Sukan SEA 2025 di Thailand, kempen Singapura dalam acara quadrant berakhir di peringkat kumpulan selepas tewas kepada Brunei, Malaysia, Laos dan Vietnam.

Bagi ketua jurulatih Nur Hisham Adam, bagaimanapun, kegagalan tersebut tidak menentukan hala tuju sebenar pasukan itu.

Sebaliknya, ia mendedahkan dengan jelas jurang yang perlu dirapatkan.

Ketua Jurulatih skuad sepak takraw Singapura, Nur Hisham Adam, percaya bahawa pasukannya sedang menuju ke arah yang betul. Namun, beliau juga akui bahawa perjuangan pasukan untuk kembali sebagai antara pasukan digeruni masih jauh.
Ketua Jurulatih skuad sepak takraw Singapura, Nur Hisham Adam, percaya bahawa pasukannya sedang menuju ke arah yang betul. Namun, beliau juga akui bahawa perjuangan pasukan untuk kembali sebagai antara pasukan digeruni masih jauh. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Beliau menyatakan skuad ketika itu masih agak baharu dan memerlukan penambahbaikan dalam pelbagai aspek – daripada pemantapan teknikal, stamina sehinggalah kepada penerapan kefahaman dan mentaliti yang lebih mendalam tentang apa diperlukan untuk beraksi sebagai atlet antarabangsa.

“Dari segi teknikal, semangat juang, dan makna serta tekanan menyarung lambang negara Singapura, itu semua kami perlu terap bertahap-tahap kerana ia agak baru,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu.

Sukan Asia yang bakal berlangsung ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kepercayaan tersebut, memburu pingat, dan terus membina pasukan demi mencapai sasaran jangka panjang berkenaan.

Bagi jurulatih Nur Hisham, pengalaman di Thailand memberikan banyak pengajaran, khususnya tentang perbezaan antara tahap permainan tempatan dengan tuntutan pentas antarabangsa.

Perbezaan tahap itu turut dilihat dari segi tahap kecergasan.

Nur Hisham berkata bahawa skuadnya mampu memberi saingan pada awal permainan, tetapi mula berdepan kesukaran apabila permainan berlanjutan.

“Saya perhatikan bahawa set pertama kami dapat bersaing, tetapi pada set kedua kami mula ketinggalan. Dari situ kami dapat melihat tahap kecerdasan yang perlu kami capai,” kata beliau.

Pemain sepak takraw Singapura, Akmal Musyarraf percaya skuad sepak takraw Singa menunjukkan peningkatan selepas setiap kejohanan yang mereka lalui, tidak kira keputusannya. Beliau kini berharap peningkatan tersebut dapat membawa pulang pingat Sukan Asia bagi Singapura.
Pemain sepak takraw Singapura, Akmal Musyarraf percaya skuad sepak takraw Singa menunjukkan peningkatan selepas setiap kejohanan yang mereka lalui, tidak kira keputusannya. Beliau kini berharap peningkatan tersebut dapat membawa pulang pingat Sukan Asia bagi Singapura. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Pemain Akmal Musyarraf sendiri mengakui kempen Sukan SEA lalu menunjukkan beberapa kelemahan pasukan.

Menurutnya, kali ini mereka menjalani persiapan lebih intensif dengan tumpuan kepada kecergasan perlawanan, mengasah teknik asas dan kemahiran di gelanggang.

Selepas Sukan SEA, pasukan negara mendapat beberapa pendedahan antarabangsa menerusi Piala Raja, Piala Dunia Cup serta perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur.

“Setiap kejohanan yang kami sertai tahun ini, kami menunjukkan peningkatan,” kata pengumpan pasukan itu.

Namun, beliau sedar peningkatan tersebut masih belum mencukupi untuk merapatkan keseluruhan jurang dengan gergasi rantau ini.

“Masih belum cukup rasanya. Jadi, kami berharap di Sukan Asia kali ini, kami berada pada tahap terbaik untuk membawa pulang pingat,” tambahnya.

Antara perkembangan yang memberi keyakinan kepada pasukan ialah penglibatan Institut Sukan Berprestasi Tinggi (HPSI) dalam program latihan mereka.

Setiap minggu, pakar daripada Sport Singapore membantu pasukan menjalankan latihan yang lebih khusus mengikut keperluan setiap pemain dan posisi.

Menurut Nur Hisham, pendekatan berasaskan sains sukan itu membantu mereka memahami aspek kecergasan dengan lebih mendalam, antaranya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan fizikal setiap individu.

Bagi Akmal, impak daripada kerjasama tersebut jelas terasa di atas gelanggang.

“Sejak HPSI mula terlibat, saya rasakan prestasi semua pemain semakin baik. Dari segi persembahan, ada peningkatan berterusan,” katanya.

Latihan fizikal yang dijalankan juga dirangka khusus mengikut tuntutan posisi masing-masing dan tidak disamaratakan.

“Mereka memberi tumpuan khas kepada kumpulan otot yang kerap kita gunakan dalam permainan sepak takraw,” jelas Akmal.

Di Aichi-Nagoya, Singapura akan berdepan Korea, Indonesia dan Jepun dalam kumpulan mereka – cabaran yang memberi peluang kepada pemain untuk menguji sejauh mana peningkatan mereka.

Akmal juga tidak berselindung mengenai kedudukan sebenar Singapura di pentas antarabangsa ketika ini.

“Singapura bukanlah antara pasukan pilihan, tetapi lebih kepada pasukan underdog,” katanya.

Bagi Nur Hisham, selain cuba untuk mendapatkan pingat, matlamatnya adalah untuk memastikan Singapura tidak lagi dilihat sebagai lawan yang mudah.

“Kita harus percaya kita boleh menang, kita beri mereka tentangan sengit. Bila bertarung, mereka akan hormati kita,” ujarnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti