Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SILAT

Skuad silat ghairah bersiap buru pingat Sukan Asia

Sheik Alau'ddin tetapkan matlamat sekurang-kurangnya dua emas di Jakarta-Palembang, sifatkan pingat lebih berprestij daripada Kejuaraan Dunia dan Sukan SEA
Oct 15, 2017 | 05:30 AM



SKUAD pesilat Team Singapore meluahkan keghairahan dapat bertanding buat julung-julung kali dalam Sukan Asia di Indonesia tahun depan sambil berasa bangga sukan silat akhirnya mendapat pengiktirafan untuk dipertanding di peringkat tertinggi di Asia.



Mendedahkan demikian dalam interviu eksklusif dengan Berita Minggu sekembalinya dari Korea Selatan Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Silat Singapura (Persisi) Sheik Alau'ddin Yacoob Marican berkata skuad silat negara akan memulakan latihan untuk memburu pingat dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, yang dijadualkan berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September itu, bulan depan.



Ini akan diikuti dengan Kejuaraan Silat Sedunia yang dijadual berlangsung tiga bulan kemudian pada penghujung Disember.



Silat disahkan akan dipertanding dalam Sukan Asia Ke-18 Jakarta-Palembang 2018 dengan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) mengusulkan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) supaya diadakan 16 acara.



"Alhamdulillah saya gembira dan berbangga silat akhirnya dapat disertakan sebagai acara pertandingan dalam Sukan Asia selepas banyak usaha dibuat untuk memartabatkan lagi sukan ini di peringkat tertinggi serantau.



"Ini juga peluang keemasan bagi semua atlit dari Asia, khususnya bagi pesilat negara, membuktikan kehebatan sukan ini dan mempromosikannya ke peringkat lebih tinggi hingga ke Sukan Olimpik," jelas Sheik Alau'ddin, yang juga Pengarah Besar Persilat.



Untuk tidak melepaskan peluang memenangi pingat dalam penampilan sulung silat dalam kejohanan paling berprestij di Asia itu, skuad pesilat negara akan memulakan latihan untuk memenangi dua kejohanan besar - Sukan Asia dan Kejuaraan Silat Sedunia - itu bulan depan.



"Tidak syak tumpuan utama kami adalah pingat dalam Sukan Asia. Ia lebih berprestij daripada kededua kejuaraan dunia dan Sukan SEA kerana ia kejohanan terbesar di peringkat Asia, hanya di bawah Sukan Olimpik.



"Kami akan memulakan latihan mulai bulan depan dan Persisi akan mengatur penyertaan skuad negara dalam beberapa acara di peringkat serantau dan antarabangsa untuk mengukur tahap kesediaan dan potensi pesilat kami memenangi pingat.



"Buat masa ini, saya meletakkan sasaran realistik sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018," tambah Sheik Alau'ddin.



Beliau merancang menyertakan skuad negara dalam 13 acara yang dibenarkan bagi setiap negara peserta dengan negara tuan rumah Indonesia dibolehkan menyertai kesemua 16 acara.



Penampilan pertama silat dalam Sukan Asia turut menimbulkan keghairahan dalam skuad negara dengan kesemua atlit melahirkan kesyukuran dan harapan ia akan terus dipertanding dalam Sukan Asia.



Bagi kapten skuad negara Muhammad Nur Alfian Juma'en, penampilan itu menunjukkan bahawa mutu pertandingan silat kini semakin maju.



"Saya berasa sangat bangga dengan kemajuan yang dicapai sukan silat. Penampilan silat dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 membuktikan bahawa tahap pertandingan silat semakin maju.



"Saya harap ini akan menjadi motivasi bagi atlit silat di seluruh dunia meledakkan potensi sepenuh mereka untuk membawa sukan ini ke tahap lebih tinggi sehingga suatu hari nanti silat dapat dipertanding dalam Sukan Olimpik pula," kata beliau.



Juara dunia berganda Muhammad Shakir Juanda pula melahirkan rasa bertuah dapat bertanding dalam Sukan Asia.



"Saya berasa amat bertuah dapat bertanding dalam Sukan Asia. Ini kali pertama pencak silat akan dipertanding di peringkat Asia. Saya berharap ia akan dapat diteruskan supaya pencak silat ini dapat menarik perhatian lebih ramai lagi masyarakat berbilang kaum menyertai sukan ini," katanya.



Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini, Nurzuhairah Mohammad Yazid, pula berkata:



"Mendapatkan peluang mewakili Singapura dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun depan adalah rahmat besar bagi saya.



"Namun, saya sedar bahawa latihan akan menjadi lebih sukar tetapi saya bersedia menyahut cabaran itu."



Seorang lagi pesilat, Nurul Suhaila Mohamed Saiful, turut melahirkan kegembiraan silat bakal disertakan dalam Sukan Asia.



"Saya amat gembira pencak silat akan dipertanding dalam Sukan Asia buat julung- julung kalinya.



"Saya harap ini akan membuka peluang dan memberi manfaat kepada pesilat bukan sekadar dari segi pendedahan atau pengalaman, malah lebih dari itu.



"Saya bersyukur dapat mengambil bahagian dalam acara ini. Saya akan berlatih lebih gigih dan saya mengharapkan yang terbaik untuk pasukan Singapura," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >