Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

MENJELANG SUKAN SEA HANOI

Skuad wanita SG berkorban demi 'mengaum' di Sukan SEA

May 01, 2022 | 05:30 AM



BAK pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.



Begitulah juga pengorbanan srikandi bola sepak negara demi mendambakan persembahan baik di Sukan SEA Hanoi bulan ini, selepas 19 tahun berehat daripada pentas temasya sukan Asia Tenggara itu.



Pengorbanan itu termasuk meluangkan masa berharga mereka, sewaktu bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, di padang bersama rakan sepasukan berbanding keluarga sendiri dan orang tersayang.



Singapura akan memulakan kempen Sukan SEA mereka menentang Thailand pada 10 Mei. Mereka turut diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar dan Laos.



"Anak lelaki saya ada kalanya akan kata 'Mama, tidak mengapa awak tak payah pulang ke rumah dan tidur saja di padang'.



"Ia sangat mencabar (untuk meninggalkan anak-anak) dan kadang kala ia mengganggu emosi saya…tapi saya ada urusan yang belum lagi selesai," kongsi pemain midfield Singapura Mastura Jeilani, 29 tahun, kepada Berita Minggu (BM).



Ibu kepada dua cahaya mata itu - seorang putera, enam tahun, dan puteri, empat tahun - kembali menyertai skuad nasional tahun ini setelah menggantung butnya di usia muda 20 tahun.



Pasukan wanita Singa telah giat membuat persiapan, berlatih sekurang-kurangnya empat kali seminggu, sejak mendapat "lampu hijau" oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) untuk mewakili negara di Sukan SEA Februari lalu.



Mereka juga bersaing dalam satu siri perlawanan persahabatan 'A', Tiga Negara Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), menentang Papua New Guinea dan Seychelles di Stadium Jalan Besar awal bulan lalu. Ini sebelum mereka berlepas ke Thailand minggu lalu untuk menjalani lawatan latihan selama lapan hari.



Pemain pertahanan Nur Syazwani Ruzi, 20 tahun, akur beliau lebih kerap melihat rakan sepasukan daripada keluarganya sepanjang Ramadan ini. Namun, beliau sudah lali kerana pernah menyambut Ramadan dan Lebaran di luar negara bersama pasukan nasional.



Beliau adalah sebahagian daripada skuad yang ke Vanuatu untuk satu lawatan latihan pada Mei 2019.



"Kami bawa kuih Raya ke sana dan berkongsi antara satu dengan lain. Malah, kami sempat merakam video ucapan Hari Raya dan menghantarnya kepada keluarga kami," imbas Syazwani, yang telah 11 kali beraksi untuk Singapura di peringkat senior.



"Tapi, pengorbanan ini hanya untuk sementara saja dan kita tidak tahu sama ada kita akan bermain dengan pasukan yang sama selepas ini. Jadi, saya seronok dapat berbuka bersama rakan sepasukan lain."



Mastura menambah bahawa keakraban pasukan sepanjang Ramadan ini turut membawa manfaatnya.



"Hubungan erat inilah yang kami perlukan dan ia akan hanya berkembang pada masa akan datang. Orang selalu kata, untuk bermain bola sepak, anda perlu keserasian di luar padang, dan ini akan membantu menonjolkan keserasian kami dalam padang," katanya.



Apapun, dua pemain muda wanita Singa berharap pengorbanan pasukan selama ini berbaloi ketika mereka bertekad mencipta lebih banyak sejarah di Hanoi nanti.



Pemain pertahanan Nurhidayu Naszri, 18 tahun, berkata Sukan SEA 2022 adalah satu permulaan untuk bola sepak wanita di Singapura.



"Kami adalah kumpulan pertama untuk ke Sukan SEA setelah sekian lama. Jadi, ia mampu menghasilkan pencapaian besar bukan saja untuk kami, tapi semua orang dalam bola sepak wanita," jelas pemain Bussorah Youth Sports Club itu.



Bagi pemain serba boleh, Dhaniyah Qasimah, 17 tahun, beliau pula ingin menggunakan Sukan SEA sebagai peluang untuk menaikkan taraf bola sepak wanita negara.



"Sukan SEA adalah sesuatu yang besar untuk sukan di Singapura. Kita selalu dengar tentang bola sepak lelaki tapi kurang mengenai bola sepak wanita.



"Jadi, untuk pasukan wanita berjaya ke Sukan SEA buat pertama kalinya (sejak 2003), kami sangat ghairah. Harapan kami adalah untuk meraih keputusan baik supaya dapat terus mengambil bahagian dalam Sukan SEA," tambahnya, yang bermula sebagai bek tengah tetapi kini penyerang yang boleh bermain di bahagian midfield pertahanan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >