LONDON: Pengurus England Gareth Southgate berkata beliau tidak pasti akan masa depannya, selepas berhadapan kesukaran sepanjang 18 bulan lalu.
Pasukan bimbingannya itu tersingkir daripada Piala Dunia Doha 2022 selepas tewas 2-1 di tangan Perancis pada peringkat suku akhir.
Menyusuli kekalahan itu, Southgate mendedahkan berkata beliau akan menilai dan menyemak rancangan selanjutnya sebelum mengambil keputusan apakah beliau akan meneruskan jawatannya itu.
"Saya enggan membuat keputusan lewat dan empat atau lima bulan kemudian saya terfikir yang saya telah membuat keputusan salah.
"Adalah penting seseorang itu tidak membuat keputusan salah," ujar pengurus berusia 52 tahun itu.
Southgate, dilantik pada Oktober 2016, memimpin England ke peringkat separuh akhir Piala Dunia pada 2018 dan peringkat akhir Kejuaraan Eropah tahun lalu.
Di bawah kepimpinannya, England memenangi enam perlawanan kalah mati dalam pertandingan utama.
Sebelum ini, England tersingkir pada peringkat kumpulan Liga Negara-Negara selepas tiga kekalahan dan tiga keputusan seri.
Salah satu kekalahan itu termasuk tewas 4-0 di tangan Hungary pada Jun lalu, di mana peminat England memekik terhadap pengurus itu:
"Saya menghadapi banyak kesukaran sepanjang 18 bulan lalu. Meskipun banyak perkara yang saya lalui sepanjang beberapa minggu lalu memang menyeronokkan, saya masih terfikir akan perjalanan sepanjang 18 bulan lalu itu - apa yang telah diperkata dan ditulis.
"Banyak perkara yang ada dalam kepala saya yang bertelagah pada masa ini, jadi saya ingin betul-betul pasti apakah ia adalah satu keputusan baik jika kekal, dan apakah saya ada tenaga untuk berbuat demikian," kata beliau, yang masih mempunyai kontrak dengan England hingga Disember 2024.
Southgate memenangi 49 daripada 81 perlawanan semasa membimbing pasukan England, dengan kekalahan kepada Perancis itu adalah yang ke-14 buatnya.
Kadar kemenangan beliau - 60.49 peratus - meletakkannya di kedudukan keempat dalam kalangan pengurus England.
Pasukannya tewas 2-1 kepada Croatia pada peringkat separuh akhir Piala Dunia 2018 di Russia selepas mendahului 1-0.
"Apa yang saya lalui sepanjang beberapa pertandingan lalu, emosi saya begitu sukar menilai dan berfikir sepenuhnya selepas itu.
"Ia menjejas tenaga saya kerana banyak sungguh yang bermain dalam fikiran.
"Saya ingin membuat keputusan betul kerana ia perlu merupakan keputusan betul.
"Jadi bukan hari ini atau beberapa hari mendatang pun saya boleh buat keputusan itu," katanya lagi.
Difahamkan Persatuan Bola Sepak England, pemain dan ramai peminat ingin beliau kekal dan sokongan itu mungkin juga faktor penentu pertimbangan yang sedang dibuatnya. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg