Topik diikuti
Pergi ke BHkuSPL berehat, tumpuan beralih ke Piala Asean Fifa
Cabaran disiplin, kelemahan pertahanan warnai dua minggu pertama SPL
SPL berehat, tumpuan beralih ke Piala Asean Fifa
Liga Perdana Singapura (SPL) kini berehat seketika, memberi laluan kepada tempoh rehat antarabangsa Fifa, dengan perhatian kini beralih kepada pasukan Singa yang bakal memulakan cabaran dalam edisi sulung Piala Asean Fifa di Indonesia.
Namun, dua minggu pertama musim SPL 2026/27 sudah memberikan lebih daripada cukup bahan untuk dibincangkan - daripada pembayang awal pencabar SPL, kepada masalah disiplin yang boleh menghantui pasukan dan kelemahan pertahanan Young Lions.
FC Jurong 3 - 0 Hougang United
FC Jurong membuka musim dengan kemenangan 4-0 ke atas Young Lions sebelum menewaskan Hougang United 3-0 pada 18 September, menjadikan mereka antara dua pasukan yang mempunyai rekod sempurna selepas dua perlawanan.
Sudah tentu Keisuke Honda mencuri tumpuan ramai - tetapi Jurong telah membuktikan bahawa mereka bukan sekadar bergantung kepada bekas pemain antarabangsa Jepun itu.
Mereka menguasai perlawanan menentang pasukan bimbingan Akbar Nawas, yang berjaya mengikat juara bertahan SPL, Lion City Sailors 2-2 pada 12 September.
Akbar pernah menyatakan bahawa membina identiti baru Hougang akan mengambil masa dan mereka akan berdepan banyak rintangan, dan FC Jurong merupakan rintangan pertama mereka.
Dan apabila SPL bermula semula, mereka perlu cuba bangkit menentang Balestier Khalsa pada 12 Oktober tanpa kapten mereka, Zulqarnaen Suzliman, yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang FC Jurong.
Balestier Khalsa 3 - 4 Tanjong Pagar United
Pertemuan Balestier Khalsa dan Tanjong Pagar United merupakan perlawanan yang penuh drama dengan kedua-dua pasukan melalui detik-detik disiplin yang mengubah rentak permainan.
Bagi Tanjong Pagar, masalah disiplin sebenarnya sudah muncul sejak minggu pertama.
Mereka menamatkan perlawanan dengan kekalahan 0-1 kepada Geylang dengan hanya sembilan pemain selepas Madhu Mohana dan Marvin Anieboh dilayangkan kad merah.
Dalam perlawanan menentang Balestier pula, Jared Gallagher pula yang dilayangkan kad merah.
Balestier juga menyumbang kepada drama perlawanan tersebut, di mana penjaring gol, Bill Mamadou, dilayangkan kad merah hanya lapan minit selepas jaringan beliau.
Pasukan bimbingan Marko Kraljevic mengakhiri perlawanan dengan sembilan pemain selepas Fudhil I’yadh turut dilayangkan kad merah pada minit ke-87.
Kad merah bermakna penggantungan. Kehilangan pemain utama memaksa jurulatih mengubah rancangan bagi perlawanan berikutnya.
Bagi pasukan yang tidak mempunyai keupayaan skuad yang hebat, setiap kehilangan pemain bakal menjadikan perjuangan SPL mereka jauh lebih mencabar.
Young Lions 1 - 5 Geylang International
Bagi Young Lions, tempoh rehat antarabangsa ini tiba tepat pada masanya.
Mereka memulakan musim dengan kekalahan 0-4 kepada Jurong sebelum dibelasah 1-5 oleh Geylang - sembilan gol bolos daripada dua perlawanan.
Lebih mengecewakan, mereka sebenarnya berjaya menghasilkan beberapa serangan dan gerakan mengancam ketika menentang Geylang namun mereka gagal memanfaatkan peluang yang dicipta dan akhirnya kesilapan pertahanan sekali lagi membawa padah kepada mereka.
Jurulatih Geylang, Noor Ali, sendiri tidak menganggap kemenangan itu sebagai persembahan lima bintang.
“Saya tidak akan kata ia persembahan lima bintang. Saya rasa kami boleh melakukan lebih baik,” katanya.
Young Lions mempunyai pemain muda yang berbakat, tetapi pertahanan perlu menjadi lebih kukuh.
Firdaus Kassim dan barisan kejurulatihannya kini mempunyai sedikit masa untuk meneliti semula dua persembahan pertama - sebelum Young Lions kembali beraksi dengan harapan dapat menunjukkan bahawa mereka bukan sekadar pasukan untuk membangunkan pemain, tetapi juga pasukan yang mampu bersaing.
