SATU set garis panduan keselamatan bagi mengurangkan dan mengurus risiko dalam sukan telah dilancarkan Sport Singapore (SportSG) kelmarin.
Dinamakan SS 681: Kod Amalan bagi Keselamatan Sukan, ia bertindak sebagai panduan dan rujukan negara bagi sukan, meningkatkan piawaian keselamatan sukan di Singapura dan memastikan amalan keselamatan sukan yang konsisten pada jangka panjang.
Kod amalan baru itu dibangunkan oleh satu kumpulan bekerja - iaitu terdiri daripada pihak berkepentingan dari sektor awam dan privet - dilantik Majlis Piawaian Singapura (SSC) yang diselia Enterprise Singapore (ESG).
Setiausaha Parlimen (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua, merasmikan pelancaran amalan kod itu di satu sidang webinar secara maya kelmarin.
Dalam ucapannya, beliau berkata keselamatan sukan adalah tanggungjawab bersama.
"Keselamatan sukan bukan hanya mengenai kekukuhan struktur kemudahan sukan, tetapi juga tentang kesedaran dan pemikiran individu serta organisasi kita ke arah keselamatan.
"Saya berharap penerimaan kod amalan SS 681 dapat menanam tabiat menikmati kegiatan sukan secara selamat dalam diri kita dan membimbing keputusan dan tindakan kita dalam menjaga keselamatan antara satu sama lain semasa menyertai aktiviti ini," tambahnya.
Kod amalan SS 681 dibentuk untuk rujukan semua pengamal sukan - daripada pengurus kemudahan, penganjur acara, sekolah-sekolah, penggiat sukan harian dan atlet berprestasi tinggi. Ia meliputi pelbagai sekitaran daripada kegiatan rekreasi dan kecergasan kepada sukan kompetitif dan di sekolah.
Ia juga menyediakan saranan melalui garis panduan praktikal dan perkongsian amalan terbaik antarabangsa yang akan membantu meningkatkan keselamatan sukan.
Antara cadangan dalam amalan kod SS 681 termasuk melengkapi kemudahan sukan di sini dengan peralatan perubatan wajib seperti defibrilator luaran automatik (AED) bagi menguruskan kecemasan perubatan.
Individu akan turut memainkan peranan yang lebih besar untuk menyelamatkan nyawa dengan peserta sukan, jurulatih dan ibu bapa dilengkapi dengan pendidikan mengesan simptom dan tanda awal serangan jantung berkaitan sukan.
Keselamatan dalam air juga akan dipertingkat dengan pengawasan orang dewasa yang berterusan bagi kanak-kanak di dalam dan sekitar kolam renang serta latihan dan program kesedaran keselamatan air untuk individu, pemilik dan pengendali kemudahan.
ZULAIQAH ABDUL RAHIM


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg