Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN AKUATIK

S'pura hos Kejohanan Akuatik Dunia 2025

Dijangka beri rangsangan kepada sukan akuatik tempatan dan rantau ini
Feb 10, 2023 | 05:30 AM



SUKAN akuatik di Singapura dan rantau ini akan mendapat rangsangan hebat selepas negara ini dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Akuatik Dunia 2025.



Singapura akan menjadi negara Asia Tenggara pertama menganjurkan temasya sukan air berprestij itu, yang merangkumi enam acara: lumba renang, terjun indah, terjun tinggi, lumba renang di laut, renang artistik dan polo air.



Hanya tiga negara Asia yang pernah menganjurkan kejohanan itu, iaitu Jepun, China dan Korea Selatan.



Pengumuman Singapura sebagai hos dibuat di Stadium Negara semalam dalam acara yang dihadiri presiden Akuatik Dunia Husain Al-Musallam; pengarah eksekutifnya Brent Nowick; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sport Singapore, Lim Teck Yin; dan presiden Persatuan Renang Singapura (SSA) Mark Chay.



Chay, yang menyebut tentang rangsangan hebat itu, mendedahkan bahawa perbincangan bagi Singapura menjadi tuan rumah bermula pada Julai 2022.



"Bayangkan kegembiraan atlet kita apabila mencatat masa terbaik peribadi mereka, atau memenangi pingat dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025 dan bagaimana pencapaian itu dapat mempengaruhi kerjaya atlet mereka... Melebihi pertandingan selama dua minggu ini, inilah legasi yang saya harap Kejohanan Dunia 2025 dapat tinggalkan," kata bekas perenang negara itu.



Beliau juga berharap penganjuran kejohanan besar ini dapat meningkatkan tahap sukan akuatik di rantau Asean.



"Kami akan bekerjasama dengan persatuan renang di Asia Tenggara untuk menambah baik kepakaran dan standard dalam dua tahun ini menjelang 2025... Kami ingin membayangkan semula akuatik di rantau ini," ujar Chay.



Sementara tarikh akan diumumkan kemudian, kejohanan itu bakal berlangsung di Hab Sukan Singapura, yang merangkumi Stadium Negara, Stadium Tertutup Singapura dan Pusat Akuatik OCBC.



Pusat Akuatik OCBC mempunyai dua kolam renang 50 meter dan kemudahan menerjun.



Lebih 2,500 atlet daripada 209 persekutuan anggota nasional dijangka mengambil bahagian.



Al Musallam teruja untuk membawa kejohanan itu ke Kota Singa.



"Singapura mempunyai segala-galanya yang kami harap untuk kongsi dengan atlet kami: kemudahan bertaraf dunia, pengalaman yang terbukti dalam menganjurkan acara bermutu tinggi dan pendekatan menyeluruh terhadap sukan akuatik yang bermula daripada peringkat elit hingga ke masyarakat.



"Dengan tiga Kejohanan Akuatik Dunia diadakan di Asia berturut-turut - menyusuli Fukuoka tahun ini dan Doha pada 2024 - benua ini menunjukkan komitmen dan keupayaan luar biasa apabila mengalu-alukan kedatangan atlet akuatik terbaik dunia," kata beliau.



Kejohanan 2023 dan 2024 masing-masing akan diadakan di Fukuoka, Jepun, dan Doha, Qatar.



Meskipun Kazan di Russia memenangi bida untuk menjadi tuan rumah edisi 2025, haknya itu dilucutkan kerana pencerobohan Russia ke atas Ukraine, sekali gus membolehkan Singapura mengambil alih.



Bintang antarabangsa akuatik, perenang Ian Thorpe; penerjun Pandelela Rinong; dan pemain polo air Felipe Perrone, serta atlet akuatik Singapura seperti perenang Teong Tzen Wei dan Quah Jing Wen turut hadir memeriahkan majlis semalam.



Tzen Wei, yang menduduki tempat keempat dalam acara kupu-kupu 50 meter lelaki di Kejohanan Dunia Akuatik 2022 di Melbourne, Australia, tidak sabar hendak beraksi di depan penyokong sendiri.



"Saya rasa ia mengujakan dan mendengar sorakan penyokong di laman sendiri adalah adalah satu kelebihan.



"Saya dapat menggunakan tenaga mereka dan lihat sejauh mana ia dapat mendorong saya menjadi lebih baik," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >