Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BINA BADAN

S'pura mampu tampil pasukan berpotensi dalam kejuaraan Asia, Dunia

32 atlet hadiri Saringan Pemilihan Skuad Nasional, 8 termasuk 4 wanita, bakal diletak dalam senarai awal
Apr 29, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA mampu menampilkan sebuah pasukan yang besar dan cukup hebat untuk bertanding dalam Kejuaraan Asia dan Kejuaraan Dunia yang bakal diadakan pada tahun ini.



Keyakinan itu diluahkan oleh Presiden Persatuan bagi Bina Badan dan Susuk Badan (Singapura) atau ABPS (Singapore) M. Letchmenon selepas Saringan Pemilihan Skuad Nasional yang diadakannya mendapat sambutan menggalakkan.



Sesi saringan yang diadakan Sabtu lalu di UFC Gym Singapore, City Link Mall itu, dihadiri seramai 32 atlet dan diadili lima pengadil, termasuk dua bekas jaguh bina badan setempat iaitu Ibrahim Sihat dan Abdul Halim Haron.



"ABPS sangat gembira dengan sambutan yang diterima bagi Saringan Pemilihan Skuad Nasional yang kami adakan.



"Pertamanya, kami berasa amat berbangga dengan sokongan daripada atlet yang tampil, 32 orang kesemuanya.



"Perlu diingat bahawa ini kali pertama kami menganjurkan acara seumpama ini dalam tempoh lebih dua atau tiga dekad. Jadi, sambutan daripada atlet melampaui jangkaan kami. Mereka datang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai kategori.



"Kedua, sesi saringan ini juga dihadiri para penaja. Kami berterima kasih atas sokongan dan keyakinan mereka terhadap ABPS," jelas Letchmenon kepada Berita Harian.



Beliau, yang tidak asing dalam arena bina badan sejak berdekad selaku Setiausaha, Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan Bina Badan dan Susuk Badan Dunia (WBPF), menambah:



"Daripada jumlah yang hadir, kami melihat sehingga lapan atlet, termasuk empat wanita, menunjukkan potensi dan mungkin diletakkan dalam senarai awal untuk menjalani latihan lanjut.



"Pastinya banyak usaha yang perlu kami lakukan untuk membimbing dan membangunkan potensi mereka," kata Letchmenon.



Menurut beliau, secara keseluruhan, atlet yang bakal diletakkan dalam senarai awal itu mempunyai bentuk fizik yang seimbang dan otot yang dibentuk dengan baik.



Namun, untuk menyerlahkan bentuk fizik dan otot mereka, atlet itu perlu menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih nasional Dollah Ja'afar.



"Daripada sambutan yang kami terima, saya yakin Singapura mampu menampilkan sebuah pasukan yang cukup besar dan hebat dalam Kejuaraan Asia dan Kejuaraan Dunia yang akan diadakan tahun ini.



"Kami juga mempunyai beberapa atlet lain yang tidak dapat hadir dalam sesi saringan Sabtu lalu tetapi akan menampilkan diri dalam beberapa bulan mendatang. Kami tetap akan membuka pintu bagi mereka," kata Letchmenon.



Kejuaraan Bina Badan dan Susuk Badan Asia Ke-54 dijadual diadakan dari 1 hingga 7 September ini di Maldives, manakala Kejuaraan Bina Badan dan Susuk Badan Dunia akan berlangsung di Tashkent, Uzbekistan, dari 1 hingga 7 Oktober 2021.



Letchmenon menambah bahawa ABPS merancang menganjurkan satu pertandingan di peringkat nasional dalam suku ketiga atau keempat tahun ini untuk mengenal pasti lebih ramai bakat dan pada ketika itu, atlet yang disenaraikan akan berada dalam keadaan fizik lebih baik.



Memberikan komen kepada atlet yang hadir, Ibrahim, yang memenangi pelbagai pingat dalam kejohanan serantau dan dunia, termasuk pingat emas Sukan SEA sebanyak lima kali dan juara nasional sebanyak 15 kali, berkata:



"Buat masa ini, ramai yang belum cukup bersedia tetapi ada juga yang ada potensi. Mereka mempunyai masa sekitar lima bulan lagi untuk berlatih dan membangunkan bentuk fizik mereka untuk mencapai tahap 70 hingga 80 peratus bersedia.



"Selepas itu, mereka memerlukan masa dua bulan lagi untuk menambah baik bentuk badan dan otot mereka," katanya.



Abdul Halim, yang turut memenangi pelbagai kejuaraan dan pingat di peringkat setempat, serantau dan dunia, termasuk dalam Sukan Asia, Sukan SEA, Mr Asia dan Sukan Dunia, menambah:



"Yang paling penting bagi mereka yang bakal disenaraikan, mereka perlu berani menerima cabaran mengubah kategori penampilan mengikut berat badan yang sesuai.



"Ada atlet yang tampil mempunyai potensi tetapi mereka perlu dibimbing dan mengikut strategi yang diarahkan jurulatih untuk menghadapi pertandingan.



"Jika mereka dapat menempuh cabaran ini, baru kami dapat melihat komitmen sebenar mereka menjadi atlet bina badan skuad negara."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >