Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura raih kemenangan pertama dalam kempen Piala Asean Fifa
Tandukan Harhys Stewart bantu tewaskan Bangladesh 1-0
S’pura raih kemenangan pertama dalam kempen Piala Asean Fifa
Singapura berjaya mendapatkan kemenangan pertama mereka dalam Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dengan mengatasi Bangladesh 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno pada 28 September.
Pasukan Singa bermula dengan baik dan jelas menunjukkan keinginan untuk meraih kemenangan dalam perlawanan ini.
Singa menguasai sebahagian besar permainan, namun masih kurang tajam di bahagian serangan dalam usaha memburu gol.
Pada minit ke-17, satu gerakan serangan balas yang baik menyaksikan Nur Adam mendapat bola di bahagian sayap sebelum membuat hantaran lintang dari sebelah kiri yang kemudian menemui Ilhan Fandi.
Namun, percubaan penyerang itu berjaya diselamatkan penjaga gawang Bangladesh, Mehedi Hasan Srabon.
Satu lagi peluang hadir menerusi sepakan percuma Song Ui-young yang menemui Jacob Mahler, tetapi percubaannya sekali lagi ditepis Srabon sebelum bola dikeluarkan oleh pemain pertahanan Bangladesh.
Namun, Singapura akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-35.
Kyoga Nakamura menemui Nur Adam di bahagian sayap sebelah kiri, sebelum pemain itu membuat hantaran lintang yang disambut tandukan kemas Harhys Stewart yang masuk ke gawang lawan bagi meletakkan Singa 1-0.
Hanya dua minit kemudian, Singa hampir menggandakan kelebihan mereka apabila bola hantaran jauh Shah Shahiran sampai pada Ilhan di kotak penalti, tetapi percubaan kaki kiri penyerang itu sekadar terkena palang gol sahaja, dan separuh masa pertama berakhir 1-0.
Singa terus memburu gol kedua sebaik sahaja separuh masa kedua bermula bagi memastikan kedudukan lebih selesa.
Shah Shahiran cuba menggandakan kelebihan Singa pada minit ke-47 menerusi rembatan dari luar kotak penalti, namun penjaga gawang Bangladesh berjaya menepis bola keluar.
Ilhan Fandi dan Song Ui-young kemudian menghasilkan satu gerakan menarik di luar kotak penalti, tetapi rembatan Song gagal menemui sasaran.
Satu lagi peluang hadir menerusi hantaran lintang Harhys Stewart yang disambut Ilhan, namun tandukan penyerang itu berjaya diselamatkan penjaga gawang Bangladesh.
Bangladesh bagaimanapun tidak berputus asa dalam usaha mencari gol penyamaan, dengan beberapa serangan balas yang pantas dan sepakan penjuru menghasilkan ancaman kepada benteng pertahanan Singa.
Antara peluang terbaik Bangladesh hadir apabila hantaran lintang Saad Uddin menemui Shamit Shome, tetapi tandukannya gagal temui sasaran.
Bangladesh sekali lagi mengancam apabila hantaran lintang Minhaz Shadin disambut Rakib Hossain, tetapi mujur buat Singa, percubaan tersebut terlepas sasaran juga.
Walaupun kededua pasukan terus mengasak benteng lawan, tiada jaringan dibuat pada separuh masa kedua, dan perlawanan tamat 1-0 memihak Singa.
Perlawanan seterusnya buat Singa adalah menentang Malaysia pada 1 Oktober, di Stadium Jalak Harupat, Bandung.