Skuad Singa tidak berhasrat mahu mengubah prinsip permainan mereka semata-mata kerana bakal berdepan gergasi bola sepak dunia, Brazil, di Stadium Negara pada 17 November.

Ketua jurulatih Singapura, Gavin Lee, menegaskan bahawa barisan pemainnya akan turun ke padang dengan tujuan untuk menang, sambil mengekalkan pendekatan persiapan sama seperti yang dilakukan ketika menentang Paraguay dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.

Beliau menambah bahawa walaupun mengakui Brazil memiliki pemain yang jauh lebih bermutu, status dan reputasi pihak lawan tidak seharusnya mengubah cara Singapura membuat persiapan atau menghadapi perlawanan tersebut.

“Kami selalu turun padang dengan niat untuk menang. Tidak pernah ada perlawanan yang kami sertai tanpa mahu menang,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Stadium Negara pada 16 November.

Namun, Lee mengakui ada ketikanya mutu pasukan seperti Brazil akan memaksa Singapura bertahan lebih dalam.

“Semampunya, kami sentiasa cuba bertahan sejauh mungkin daripada gawang sendiri kerana itu perkara paling logik untuk dilakukan.

“Jika ada detik dalam perlawanan apabila kami perlu bertahan secara mendalam, kami perlu melakukannya dengan baik. Tetapi kami tidak akan membenarkan status Brazil menakutkan kami,” katanya.

Sementara itu, penyerang Singa, Ilhan Fandi, berkata pasukan negara tidak akan mengetepikan identiti permainan mereka walaupun menyedari cabaran besar menanti.

“Kami mahu teruskan apa yang kami lakukan dengan baik pada separuh masa pertama menentang Paraguay, tetapi melakukannya untuk tempoh lebih lama,” kata penyerang berusia 24 tahun itu.

Ilhan turut mengakui beliau mahu menebus kegagalan menyudahkan peluang ketika menentang Paraguay, sambil berharap dapat membantu pasukan dari segi serangan dan pertahanan.

Lee, bagaimanapun, memuji sumbangan penyerang itu dari segi pertahanan dalam perlawanan tersebut, menyifatkannya sebagai persembahan pertahanan individu dan berpasukan terbaik yang pernah dilihatnya daripada Ilhan.

Pengurus Brazil, Carlo Ancelotti menegaskan pasukannya tetap menghormati Singapura dan mahu bangkit selepas tewas kepada Jepun pada 14 November.
Pengurus Brazil, Carlo Ancelotti menegaskan pasukannya tetap menghormati Singapura dan mahu bangkit selepas tewas kepada Jepun pada 14 November. - Foto BH oeh FANDY RAZAK

Di kem Brazil pula, pengurus mereka Carlo Ancelotti berpendapat bahawa pasukannya tidak sepatutnya kalah kepada Jepun berdasarkan persembahan pasukannya dalam perlawanan tersebut.

Beliau berkata kekalahan itu tidak menggugat keyakinannya terhadap hala tuju pasukan, yang masih dalam proses pembaharuan dan menguji pemain baharu menjelang Copa America dan Piala Dunia.

“Keutamaan kami adalah bermain dengan baik terlebih dahulu, kemudian mendapatkan keputusan yang baik, sambil sentiasa menghormati pasukan lawan,” katanya.

Ancelotti turut mengakui Brazil perlu memperbaiki aspek pertahanan selepas kekalahan kepada Jepun, meskipun beliau berpuas hati dengan pergerakan dan mutu serangan pasukannya dalam perlawanan itu.

Menurutnya, Brazil berjaya mencipta peluang dan menggerakkan bola dengan baik, tetapi perlu lebih tajam ketika berada di kawasan akhir serangan.

Walaupun Raphinha digantung selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Jepun, Ancelotti mengesahkan Brazil akan tetap menurunkan barisan serangan yang dibarisi Vinicius Junior, Estevao dan Endrick.

Bintang serangan Brazil, Vinicius Junior antara tonggak utama yang dijangka mengemudi jentera serangan skuad Selecao apabila berdepan Singapura di Stadium Negara pada 17 November.
Bintang serangan Brazil, Vinicius Junior antara tonggak utama yang dijangka mengemudi jentera serangan skuad Selecao apabila berdepan Singapura di Stadium Negara pada 17 November. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Ancelotti juga mengesahkan pemain Arsenal, Bruno Guimaraes akan menggalas tanggungjawab sebagai kapten bagi perlawanan menentang Singa.

Meskipun mengakui jurang kedudukan dunia antara Brazil dengan Singapura, Ancelotti menegaskan pasukannya tetap perlu menghormati lawan dan membuat persiapan sewajarnya.

“Jepun merupakan antara pasukan terbaik di dunia. Mereka sudah banyak meningkat, manakala Singapura sedikit ketinggalan. Namun, kami perlu menghormati pasukan lawan seperti biasa,” katanya.

Lee pula enggan membuat andaian sama ada kekalahan Brazil kepada Jepun akan menjadikan mereka lebih bersemangat untuk bangkit menentang Singapura.

“Versi Brazil yang akan tiba, kami tidak tahu. Tetapi apa yang kami tahu ialah versi Singapura yang kami mahu tampilkan esok,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti