Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Srikandi 'angkat berat' terkejut terima pencalonan

Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSA) adalah anugerah tahunan yang bertujuan mengiktiraf pencapaian dan sumbangan individu atau kumpulan kepada pembangunan sukan bagi golongan kurang upaya. Seramai 49 calon bertanding dalam sembilan kategori anugerah tahun ini. Pemenang akan diumumkan pada 7 Ogos ini. Ikuti wawancara bersama tiga calon tahun ini.
Jul 15, 2020 | 5:30 AM
TERKEJUT, TERHARU: Srikandi 'powerlifting' para negara Nur'Aini Mohamad Yasli dicalonkan dalam kategori Atlet Wanita Terbaik bagi Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSA). - Foto MAJLIS SUKAN KURANG UPAYA SINGAPURA
TERKEJUT, TERHARU: Srikandi 'powerlifting' para negara Nur'Aini Mohamad Yasli dicalonkan dalam kategori Atlet Wanita Terbaik bagi Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSA). - Foto MAJLIS SUKAN KURANG UPAYA SINGAPURA -

BAK pepatah, tak kenal maka tak cinta.

Awalnya hanya suka-suka ingin mencuba sukan 'powerlifting' namun Nur'Aini Mohamad Yasli tidak menyangka beliau akan 'terpaut' kepada sukan tersebut.

Atlet para Singapura berusia 28 tahun itu pertama kali diperkenal kepada 'powerlifting' atau sukan angkat berat pada 2015 apabila atlet 'powerlifting' para negara Kalai Vanen mendekati beliau di jimnasium dan mengajaknya supaya turut serta.

Disebabkan komitmen sekolah, Nur'Aini menolak tawaran itu tetapi tergerak hati untuk mencuba 'powerlifting' setelah Kalai mendekatinya sekali lagi pada 2017.

Dua bulan kemudian, lulusan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu dipilih mewakili negara di Sukan Asean Para 2017 di Kuala Lumpur.

Beliau mencatat persembahan terbaik peribadi, menduduki tempat kelima.

"Saya menyertai sukan ini secara tidak sengaja. Saya tiada rancangan untuk bersaing secara kompetitif," kata Nur'Aini yang mempunyai kondisi displasia epifisis pelbagai (multiple epiphyseal dysplasia) - penyakit genetik jarang berlaku yang menjejas pertumbuhan hujung tulang - pada usia enam tahun.

"Seperti pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Apabila saya tahu lebih tentang sukan ini, saya semakin jatuh cinta kepadanya.

"Saya belajar banyak (dalam 'powerlifting') berbanding sukan lain yang pernah saya ceburi sebelum ini."

Nur'Aini pernah bergiat dalam sukan renang, triatlon, memanah dan bot naga, antaranya.

Tahun lalu, srikandi 'powerlifting' ini membuat penampilan sulungnya di Kejohanan Powerlifting Para Sedunia Nur-Sultan, Kazakhstan dan kini menduduki ranking ke-18 di dunia.

Beliau juga merupakan satu-satunya atlet 'powerlifting' para wanita di Singapura.

Pencapaian beliau sepanjang tiga tahun ini telah diiktiraf apabila Nur'Aini baru-baru ini dicalonkan dalam kategori Atlet Wanita Terbaik bagi Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSA) tahun ini.

Dianjurkan oleh Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC), anugerah ini bertujuan mengiktiraf pencapaian dan sumbangan yang dibuat oleh individu atau kumpulan dalam masyarakat sukan warga kurang upaya.

Diadakan buat tahun kedua berturut-turut, sebanyak 49 pencalonan diterima bagi sembilan kategori anugerah.

Jumlah pencalonan yang diterima tahun ini telah meningkat berbanding 31 pencalonan yang diterima dalam acara tahun lalu.

Pemenang akan diumumkan pada 7 Ogos 2020, di sebuah majlis maya.

"Sejujurnya, saya rasa sangat rendah hati dan terharu diberi pencalonan ini.

Terkejut juga sebab saya boleh dikatakan agak baru dalam sukan kurang upaya," kata Nur'Aini, seorang penganalisis pampasan di Hawlett Packard Enterprise.

Nur'Aini, yang kali pertama menerima pencalonan ini, disenaraikan bersama Nur Syahidah Alim (Memanah Para), Yip Pin Xiu (Renang Para), Nurulasyiqah Mohammad Taha dan ACP Esther Chok (Boccia), Claire Toh (Tenis Meja Para) dan Laurentia Tan (Equestrian Para).

"Untuk dicalonkan bersama atlet para yang hebat negara sudah satu hadiah terbesar buat saya.

"Sekiranya saya menang, ia adalah satu bonus. Pencalonan ini beri saya motivasi kuat untuk terus gigih berlatih," tambah Nur'Aini, yang berazam bertanding di Sukan Paralimpik kelak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg