Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SAJIAN KHAS HARI INI: AZAM GEN-Z

Srikandi bola sepak negara alih ke kelab baru di Jepun

Tukar angin bagi rebut peluang dapat turun padang
Feb 08, 2022 | 05:30 AM



SRIKANDI bola sepak negara Siti Rosnani Azman mahu menghidupkan semula kerjaya profesionalnya di Jepun setelah beralih angin untuk dipinjamkan ke kelab baru, Kibi International University (KIU) Charme.



Langkah itu ialah bagi merebut lebih banyak peluang bermain di padang - sesuatu yang didambakannya selama ini.



Rosnani, 24 tahun, yang menjadi pemain Singapura pertama untuk bermain dalam liga tertinggi bola sepak wanita Jepun, Liga Women Empowerment (WE), menandatangani kontrak selama setahun bersama International Athletic Club (INAC) Kobe Leonessa September lalu.



Namun, permulaannya di kelab itu tidak selancar yang beliau jangkakan.



Selain halangan bertutur dalam bahasa Jepun, pemain pertahanan setinggi 1.62 meter itu mengalami kesukaran menyesuaikan diri pada tahap permainan dan belum memperolehi penampilan sulungnya untuk INAC Kobe.



Kelab itu dibintangi ramai pemain Jepun yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu seperti Ayaka Yamashita, Emi Nakajima, Hina Sugita, Yuka Momiki dan Mina Tanaka.



Malang terus menimpa Rosnani apabila beliau dihimpit kecederaan pada otot punggung (gluteus maksimus) di sebelah kaki kiri pada Oktober tahun lalu. Ia memaksanya untuk direhatkan selama dua bulan.



Mengongsi perjalanannya di Jepun sejauh ini bersama Berita Harian melalui wawancara dalam talian baru-baru ini, Rosnani berkata:



"Saya rasa sunyi. Semasa tempoh itu, saya cuba untuk lebih memahami tentang diri saya, untuk melihat sejauh mana saya dapat melangkah dan berdikari. Bahkan saya membeli kamera dan mengisi masa saya dengan memetik gambar dan cuba untuk berfikiran positif meskipun keadaannya menjadi buruk.



"Ada waktunya ia sukar dan saya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Tapi pada akhirnya, ini adalah matlamat saya dan saya pilih laluan ini."



Berat mata memandang, berat lagi bahu yang dipikul Rosnani namun bekas pemain kelab semi-profesional Australia South West Queensland Thunder itu tidak menyerah kalah dan ingin memanfaatkan baki masanya di Jepun.



Pada hujung tahun lalu, Rosnani memohon untuk dipinjamkan ke kelab lain bagi memburu peluang bermain, yang mana jurulatih dan pengurus kelabnya bersetuju.



Latihan percubaan beliau bersama KIU Charme, yang mencari seorang pemain tengah, pada Disember lalu berhasil dan beliau memutuskan untuk berpindah dari Kobe ke Takahashi di wilayah Okayama.



Rosnani akan dipinjamkan ke KIU Charme - pasukan yang merangkumi pemain semi-profesional dan pelajar universiti - sehingga Jun ini, menaruh harapan beliau dapat diturunkan dalam Divisyen 2 Liga Nadeshiko, pertandingan tahap ketiga Jepun, yang bermula Mac ini.



"Ia sukar dan mencabar (bermain bola sepak secara profesional di Jepun), tapi saya gembira diberikan peluang ini untuk bermain di Kibi dan memulakan segalanya semula. Ia sebenarnya satu perasaan yang baik," kata Rosnani.



"Saya sedar bahawa dalam apa sahaja divisyen yang anda bermain di Jepun, intensiti permainan tetap ada. Semua pemain bagus.



"Saya harap untuk mendapat pendedahan bermain dalam liga Jepun sebab saya tidak berpeluang berbuat sedemikian bersama INAC.



"Saya berharap saya dapat belajar sebanyak yang mungkin ketika liga bermula, membuat yang terbaik dalam latihan, terus berusaha gigih dan mudah-mudahan saya dapat membantu pasukan mencapai matlamat mereka."



Rosnani sudah memulakan latihan bersama kelab barunya sejak minggu lalu. Dan dengan sekitaran dan pengalaman yang baru, timbul juga cabaran baru yang menanti beliau.



Tapak latihan KIU Charme yang terletak di atas gunung bermakna Rosnani akan berlatih dalam keadaan cuaca yang sejuk, di mana suhunya berada di bawah paras sifar, iaitu pengalaman kali pertama buat dirinya.



Latihan juga kini harus diadakan dalam kumpulan kecil seramai lapan hingga sembilan pemain dan setiap sesi dihadkan kepada sejam dek sekatan Covid-19.



Meskipun terus diuji pelbagai cabaran, Rosnani menganggapnya sebagai detik pengajaran yang berharga sedang beliau memburu impiannya bergelar pemain profesional dan menambah: "Saya sentiasa terbuka kepada cabaran baru."




"Saya sedar bahawa dalam apa sahaja divisyen yang anda bermain di Jepun, intensiti permainan tetap ada. Semua pemain bagus.

Saya harap untuk mendapat pendedahan bermain dalam liga Jepun sebab saya tidak berpeluang berbuat sedemikian bersama INAC.

Saya berharap saya dapat belajar sebanyak yang mungkin ketika liga bermula, membuat yang terbaik dalam latihan, terus berusaha gigih dan mudah-mudahan saya dapat membantu pasukan mencapai matlamat mereka."


- Siti Rosnani Azman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >