BERND Stange menamatkan khidmatnya sebagai jurulatih pasukan bola sepak Singapura dengan kekalahan 2-1 kepada Afghanistan dalam perlawanan akhir kelayakan Piala Dunia/Piala Asia Kumpulan E, pada Selasa (29 mac) malam.
Gol pada kedua-dua babak oleh Khaibar Amani (minit ke-39) dan Josef Shirdel (ke-79) di Stadium Takhti cukup untuk menewaskan skuad Singa.
Penyerang Fazrul Nawaz merapatkan kedudukan pada minit ke-89 tetapi pada masa itu ia sudah terlambat.
Dengan keputusan itu, rekod Stange ialah 15 kemenangan, empat seri dan 16 kekalahan dalam 35 perlawanan antarabangsa semasa perkhidmatan beliau.
Keputusan perlawanan di tempat berkecuali, Teheran, Iran, itu tidak menjejas Singapura, yang gagal ke pusingan seterusnya Piala Dunia tetapi menjamin tempat di pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2019.
Mereka menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan E dengan 10 mata daripada lapan perlawanan. Pasukan kuat Asia, Jepun, muncul sebagai juara kumpulan dengan 22 mata, manakala Syria di tangga kedua dengan 18 mata.
Afghanistan di keempat dengan sembilan mata manakala Kemboja di tempat terakhir tanpa sembarang mata.
Satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang layak ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia Fifa ialah Thailand. Juara bertahan Piala Suzuki itu menerajui Kumpulan F dengan 14 mata, mendahului Iraq (9 mata), Vietnam (7) dan Taipei China (0).
Penyertaan Indonesia dibatalkan kerana ia digantung Fifa.