MESKIPUN Team Singapore tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, Chef-De-Mission kontinjen Singapura ke Sukan Olimpik Tokyo, Dr Ben Tan, kekal kagum dengan semangat tabah dan kebingkasan 23 olahragawan yang mewakili negara dalam tempoh pandemik.
Beliau dapat melihat bagaimana golongan atlet ini menangani pergolakan yang berpunca daripada pandemik koronavirus memandangkan acara kelayakan sukan ditunda, rancangan berlatih terjejas dan rancangan kehidupan pun diketepikan.
Dalam satu sesi ulasan maya pada Sabtu (7 Ogos), Dr Tan, bekas pelayar nasional yang bertanding di Sukan Olimpik Atlanta 1996, berkata: "Olahragawan Team Singapore di Sukan ini menunjukkan kepada kita pelbagai aspek berbeza semangat manusia.
"Pendayung Yu Mengyu dan Feng Tianwei menunjukkan kepada kita apa erti profesionalisme sebenar. Pelayar Kimberly Lim dan Cecilia Low menunjukkan kepada kita dengan bekerja keras dan bekerja secara bijak, kita warga Singapura boleh memecahkan tembok tertinggi sukan yang secara tradisi dikuasai Eropah.
"Pemain pedang Amita Berthier dan Kiria Tikanah serta pemain badminton Loh Kean Yew dan Yeo Jiamin menunjukkan erti tidak gentar apabila berdepan dengan lawan yang kuat. Pendayung Joan Poh pula menunjukkan kepada kita bahawa dengan sumber terbatas, seseorang boleh mendapatkan tempat di Olimpik.
"Atlet terjun air Jonathan Chan dan Frieda Lim, perenang laut terbuka, Chantal Liew dan penunggang kuda Caroline Chew pula menunjukkan kita bagaimana mereka membawa harapan sukan masing-masing ke arah kelayakan Olimpik," jelas Dr Tan.
Ternyata, wujud kejayaan cemerlang dalam perwakilan Sukan Olimpik tahun ini memandangkan Singapura menghantar 23 atlet dalam rekod 12 sukan. Terdapat peserta kali pertama dalam sukan terjun air, tunggang kuda dan renang laut terbuka.
Meskipun tiada pingat (kali pertama sejak Sukan Olimpik Athens 2004) dengan Singapura pulang dengan tangan kosong, tahun ini, dapat dilihat kemajuan, ujar Dr Tan.
Kiria, bersama Berthier, merupakan atlet lawan pedang pertama Singapura yang layak ke Olimpik dan memberikan saingan hebat buat pemain pedang 'Nombor 1' dunia, Ana Maria Popescu dalam pusingan ke-32 selepas mengecewakan harapan pemain pedang Hong Kong, Coco Lin, awal sebelum ini dalam pertarungan individu wanita.
Yu juga mengatasi kedudukan dunianya yang rendah di tangga ke-47 pada permulaan Sukan Olimpik ini dan cekal mengharungi kecederaan bagi menempatkan dirinya di tangga keempat kategori wanita perseorangan - pemenang tiga pingat utama adalah tiga pemain dunia paling cemerlang.
Pelayar Lim dan Low pula adalah pelayar Singapura pertama yang bertanding dalam perlumbaan merebut pingat Olimpik sebelum mencapai tempat ke-10 - keputusan terbaik dalam sukan ini di Olimpik.
Namun, terdapat juga kekecewaan.
Chew disingkirkan daripada pertandingan selepas kudanya Tribiani didapati berdarah dari mulut kerana satu kemalangan aneh manakala Yeo pula menangis selepas tewas di tangan peserta Korea Selatan, Kim Ga-eun yang ditewaskan sebanyak tiga kali sebelum ini, lantas tidak dapat mara ke pusingan kalah mati.
Perenang negara, Joseph Schooling (juara Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara kuak kupu-kupu 100 meter) dan Quah Zheng Wen (peserta separuh akhir kuak kupu-kupu 200 meter) juga terkandas manakala Quah Ting Wen pula tidak berganjak dari sebarang pusingan saringan.
Kata Dr Tan lagi: "Dalam sukan, kekecewaan tidak dapat dielakkan - begitulah adat pertandingan. Kita semua secara peribadi mengalami kekecewaan dalam hidup. Saya percaya atlet Olimpik akan dan dalam masa terdekat menunjukkan kepada kita bagaimana seseorang juara menangani kekecewaan."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg