PARIS: Penghormatan telah diberikan kepada bekas pemain persatuan ragbi Perancis yang sangat digeruni, Christophe Dominici, yang telah meninggal dunia pada usia 48 tahun.
Dominici dikenali sebagai pemain yang membantu Perancis menyingkirkan New Zealand dari Piala Dunia Ragbi pada 1999.
Seorang saksi melihatnya memanjat bumbung bangunan yang tidak digunakan di taman Saint-Cloud, dekat Paris, kelmarin sebelum jatuh, menurut pegawai.
Pihak pendakwa telah membuka siasatan mengenai sebab kematiannya.
"Berita yang amat menyedihkan. Christophe Dominici adalah pemain yang sangat hebat... kematiannya yang mendadak sangat mengejutkan," kata menteri sukan Roxana Maracineanu.
Dominici telah ditampilkan sebanyak 67 kali untuk negaranya dan memenangi kejuaraan Perancis lima kali dengan pasukan Stade Français sebelum bersara pada 2008.
Sejak kebelakangan ini, beliau berkhidmat sebagai pengamat untuk stesen radio dan TV Perancis.
Lebih dikenali sebagai Domi, beliau mempunyai ketinggian 1.72 meter dan mendapat reputasi sebagai pemain yang dapat mengubah haluan pertandingan.
Kematiannya turut mengejutkan dunia ragbi.
Persekutuan ragbi Perancis berkata bahawa "sukan kebangsaan telah berkabung dan berduka cita atas kematian tragik Christophe Dominici". - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg