Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

ANALISA BERITA

Sukan Olimpik tidak menghampakan dengan pelbagai kejutan

Aug 01, 2021 | 05:30 AM



KEJUTAN dan yang mengejutkan.



Sukan Olimpik Tokyo 2020 sejauh ini tidak menghampakan.



Selama lebih seminggu tirai persaingannya dibuka, temasya sukan itu menyaksikan pelbagai aksi kejutan yang menggegarkan dunia - daripada yang boleh dijadikan inspirasi kepada yang mengecewakan.



Ia seiiring dengan gelaran Tokyo 2020 sebagai pengalaman Sukan Olimpik yang unik ketika diadakan di tengah-tengah pandemik Covid-19.



Bintang baru bangkit bersinar, mengukir nama mereka di pentas antarabangsa.



Sementara itu, bintang antarabangsa dan pasukan hebat dunia tewas terkandas di awal pertandingan - nama mereka yang sering menjadi sebutan kini tenggelam di kalangan pesaing lain, sama seperti peluang mereka meraih sebutir pingat di Tokyo.



MENCIPTA KEJUTAN



Perenang dari Tunisia Ahmed Hafnaoui merupakan antara nama baru pertama untuk mencipta gelombang di Sukan Olimpik Tokyo.



Remaja berusia 18 tahun itu melakarkan kejutan daripada lorong lapan - selepas mencatat masa kelayakan yang paling lambat - untuk menang pingat emas dalam final gaya bebas 400 meter lelaki.



Momiji Nishiya dari Jepun pula menjadi juara individu Sukan Olimpik termuda dalam sejarah ketika beliau menang pingat emas dalam papan selaju wanita, yang kali pertama dipertandingkan di temasya sukan itu.



Nishiya hanya berusia 13 tahun dan 330 hari.



Kisah atlet angkat berat wanita dari Filipina Hidilyn Diaz juga cukup berinspirasi.



Diaz, 30 tahun, mencatat sejarah menjadi atlet Filipina pertama untuk menang pingat emas di Sukan Olimpik.



Beliau, yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016, mengecewakan pemegang rekod dunia dalam kategori 55 kilogram wanita di Tokyo.



Pasangan beregu campuran Jepun, Jun Mizutani dan Mima Ito, mengakhiri dominasi China dalam sukan tenis meja di Sukan Olimpik.



Pasukan wanita China mengatasi pasukan pilihan ramai, Australia dan Amerika Syarikat, apabila mereka memecah rekod dunia dan menang pingat emas dalam gaya bebas berganti-ganti 4x200 meter.



Amerika Syarikat terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, sementara Australia pulang dengan pingat gangsa.



Ia merupakan kali pertama pingat emas tidak dimenangi oleh Australia atau Amerika Syarikat sejak acara itu diperkenalkan pada 1996.



Atlet Singapura juga tidak terkecuali mencipta "kejutan kecil" masing-masing di Sukan Olimpik Tokyo.



Seramai 17 daripada 23 atlet dalam kontinjen Team Singapore di Tokyo 2020 membuat penampilan sulung mereka di Sukan Olimpik.



Antara mereka adalah pelawan pedang Singapura Kiria Tikanah Abdul Rahman yang mencatat kemenangan pertama Singapura dalam lawan pedang di temasya sukan itu.



Kiria, pelawan pedang nombor 207 dunia, mengecewakan Coco Lin dari Hong Kong (nombor 90 dunia) dalam perlawanan kelompok 64 pesaing epee perseorangan wanita, sebelum kalah di pusingan seterusnya kepada pemain nombor satu dunia Ana Maria Popescu.



Penembak Singapura Adele Tan, dalam penampilan sulungnya, meraih tempat ke-21 daripada 50 pesaing dalam kelayakan refal udara 10 meter wanita - ketupusan terbaik atlet Sukan Olimpik negara dalam acara itu.



Serupa, pemain badminton negara Loh Kean Yew dan pemain tenis meja Clarence Chew juga boleh berbangga dengan paparan berani mereka, berdepan lawan terbaik dunia.



Sementara itu, Yu Mengyu melepasi jangkaan, meskipun dihimpit pelbagai kecederaan, apabila berjaya ke perlawanan main habis atau 'playoff' pingat gangsa perseorangan wanita tenis meja.



Tiada kalung pingat di leher untuk membuktikan persembahan hebat beliau setakat ini di Tokyo 2020, setelah berjaya mengatasi keputusan terbaiknya dalam acara ini - suku akhir di Rio 2016.



Bagaimanapun, pujian dari tanah air akan menjadi pembakar semangat bagi pemain nombor 47 dunia itu untuk meneruskan perjuangannya di Tokyo apabila Singapura memulakan persaingan dalam acara pasukan esok.



PERSEMBAHAN MENGECEWAKAN



Dalam meraikan pencapaian yang mengejutkan, namun ada juga beberapa bintang yang terkejut dengan prestasi hambar mereka di Sukan Olimpik Tokyo - tenggalam di bawah tekanan.



Pemain tenis wanita nombor satu dunia Ashleigh Barty menjadi kekecewaan besar pertama di Tokyo.



Warga Australia itu tersingkir di pusingan pertama oleh Sara Sorribes Torno dari Sepanyol, pemain nombor 47 dunia.



Pemain pilihan tuan rumah, Naomi Osaka, yang dijangka akan menang pingat emas untuk Jepun, turut mengikut jejak Barty.



Osaka, yang juga dipilih menyalakan kawah di majlis pembukaan, terkandas di pusingan ketiga perseorangan wanita tenis.



Seorang lagi nama besar sukan, Simone Biles dari Amerika Syarikat mengejutkan dunia apabila beliau menarik diri daripada acara gimnastik atas sebab kesihatan mentalnya.



Biles - yang digelar ramai sebagai atlet gimnastik terhebat sepanjang masa atau 'G.O.A.T' (Greatest of All Time) - dijangka menang enam pingat emas di Tokyo untuk menjadi atlet Sukan Olimpik wanita terhebat sepanjang masa sekiranya berjaya meraih 10 pingat emas.



Juara dunia itu kini memperolehi enam pingat Sukan Olimpik - satu pingat perak di Tokyo 2020 dan empat pingat emas dan satu pingat gangsa di Rio 2016.



Lebih dekat ke tanah air, satu-satunya juara Sukan Olimpik Singapura Joseph Schooling gagal mempertahankan takhtanya selepas terkandas di saringan kupu-kupu 100 meter lelaki Khamis lalu, dan pulang dari edisi temasya sukan kali ini dengan tangan kosong.



Schooling, 26 tahun, mencatat masa 53.12 saat dan muncul di tempat terakhir daripada lapan pesaing dalam saringan.



Masa itu tiga saat lebih lambat daripada masa 50.39 saat yang membantu beliau menang pingat emas di Rio 2016.



Secara keseluruhan, beliau diletakkan di tempat ke-44 daripada 55 perenang.



Begitulah lumrah atlet sukan.



Kalah menang adalah adat permainan.



Pada hari baik, anda juara.



Pada hari kurang baik, anda tumpas dan gagal memenuhi jangkaan ramai.



Apatah lagi, di pentas besar seperti Sukan Olimpik, di mana para atlet diletakkan di bawah tekanan tinggi untuk beraksi cemerlang.



Untuk negara kecil seperti Singapura, harapan lebih lima juta penduduk terletak di bahu atlet untuk mengharumkan nama negara.



Berat mata memadang, berat lagi bahu yang memikul.



HARUNGI CABARAN



Dan tidak dinafikan, pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menjejas persiapan mereka, dengan hampir seluruh dunia terpaksa menjalani perintah berkurung untuk mengekang penularan koronavirus.



"Ia telah menjadi perjalanan yang sukar sejak 2019," kata atlet gimnastik Angelina Melnikova dari Jawatankuasa Olimpik Russia, yang menewaskan Amerika Syarikat untuk menang pingat emas dalam acara pasukan wanita.



"Apabila kami mendapati bahawa temasya sukan Tokyo ditunda akibat pandemik, tapak latihan kami ditutup. Kami berada dalam kuarantin selama setahun setengah dan berlatih semasa tempoh itu."



Perenang Britain Tom Dean dijangkiti Covid-19 dua kali semasa persiapannya ke Tokyo, memaksa beliau menghabiskan masa dalam pengasingan dan menghentikan latihan.



Dean, 21 tahun, bagaimanapun, menang pingat emas gaya bebas 200 meter lelaki pada Selasa lalu untuk membantu Britain menghasilkan permulaan terbaik mereka di Sukan Olimpik.



Beliau berkata: "Saya dijangkiti Covid dua kali dalam 12 bulan terakhir.



"Mengasingkan diri di dalam flat saya, pingat emas Sukan Olimpik tidak langsung dalam minda saya."



Jurulatih pelari Kenya Timothy Cheruiyot, juara dunia larian 1,500 meter, Bernard Ouma, pula berpendapat: "Di podium, orang ramai melihat atlet, yang lain melihat mesin yang terus berjalan dan harus berada di kedudukan nombor satu.



"Di dalam fikiran saya sebagai seorang jurulatih, saya melihat manusia yang juga berdepan dengan cabaran sosial."



Natijahnya, atlet Sukan Olimpik bukan sekadar wira di mata kita, malah mereka juga manusia biasa.



Mereka tidak lari menghadapi pasang surut kehidupan.



Apa yang penting adalah untuk kita terus memberikan mereka sokongan dan semangat untuk kembali bangkit di tahap terbaik, kerana apalah sukan tanpa atlet.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >