Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukan Para Belia Asia 2025: Moza Baihakki raih 2 pingat emas, 1 perak, 1 gangsa

Dec 14, 2025 | 11:16 AM
Moza Alyka Baihakki membawa pulang empat pingat, termasuk dua pingat emas dari kolam renang di Sukan Para Belia Asia 2025 di Dubai.
Moza Alyka Baihakki membawa pulang empat pingat, termasuk dua pingat emas dari kolam renang di Sukan Para Belia Asia 2025 di Dubai. - Foto TANGKAP LAYAR DARI FB @SNPC

Perenang paralimpik negara, Moza Alyka Baihakki telah menggondol dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan Para Belia Asia 2025 di Dubai.

Moza, 14 tahun, menang dalam acara 50 meter gaya bebas dan 100 meter kuak dada; dan mendapat tempat kedua dan pingat perak dalam acara 100 meter gaya bebas.

Dia meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter kuak letang.

Dilahirkan dengan sebelah tangan tidak terbentuk sempurna disebabkan Amniotic Band Syndrome yang menjejas pertumbuhan tangannya, Moza bertanding dalam acara belia perempuan pelbagai kelas, bagi usia 12 hingga 18 tahun.

Keputusan Moza itu diumumkan oleh Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC) melalui laman Facebook.

Apabila dihubungi pada 13 Disember ibu Moza, selebriti dan usahawan, Norfasarie Mohd Yahya, berkata buat masa ini beliau hanya boleh berhubungan secara terhad dengan anaknya itu yang masih bersama rombongan negara di Dubai.

Rombongan itu dijangka pulang ke Singapura pada 15 Disember.

“Kami tidak dibenarkan menghubunginya, dan dapat jumpa pun sekejap saja sewaktu perlumbaan dan sewaktu majlis penyampaian hadiah,” kata Norfasarie.

Ayah Moza ialah Baihakki Khaizan, mantan pemain bola sepak nasional.

Baihakki, yang bersama isterinya sedang berada di Dubai untuk memberi sokongan kepada anaknya itu berkata beliau sangat berbangga dengan pencapaian anaknya, tetapi akur perjalanan Moza dalam dunia sukan baru sahaja bermula.

“Dia masih dalam fasa pembangunan.... dan dari sini, kami harus melakar langkah pembangunan seterusnya... mungkin ke Sukan SEA dan lain-lain pertandingan antarabangsa. Mungkin di masa depan, ke Sukan Paralimpik pula,” kata Baihakki.

Menambah, Baihakki berkata Moza, yang akan melangkah ke menengah tiga pada 2026 dan harus memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya di sekolah dan mengimbangi latihan dengan pelajaran supaya menyerlah dalam kededua bidang.

“Saya berharap kejayaan ini akan berterusan. Laluan selepas ini pasti lebih mencabar, namun kami akan bekerja lebih keras untuk membuat persiapan menghadapi kejohanan yang lebih besar pada masa hadapan,” kata Baihakki.

Dalam pada itu, Norfasaries berkongsi bahawa Moza, yang mula berenang dari usia dua tahun, bercita-cita menjadi seorang peguam.

Namun, Moza hanya mula berlatih secara serius dan menyertai pertandingan selepas melangkah ke sekolah menengah.

“Sejujurnya, kami masih tidak percaya. Segala kerja kerasnya selama berbulan-bulan, malah bertahun-tahun, akhirnya membuahkan hasil. Sebagai ibu bapa, saya benar-benar berbangga – ini adalah detik miliknya. Dia bangkit menyahut cabaran dan beraksi di pentas antarabangsa; ia merupakan satu pencapaian besar buat dirinya sebagai seorang individu,” ujar Norfasarie.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg