
PHNOM PENH: Perjalanan pasukan bola sepak kebangsaan lelaki bawah 22 tahun dalam Sukan SEA sekali lagi menemui jalan buntu selepas mereka tewas 3-1 dengan Vietnam.
Dengan keputusan ini, peluang Singapura untuk mara ke peringkat seterusnya adalah tipis, dengan baki dua perlawanan menentang Laos dan Malaysia.
Dalam perlawanan ketiga kumpulan B pada Rabu di Stadium Visakha, gol jaringan Nguyen Van Tung, Nguyen Thai Son dan gol sendiri Singapura memastikan juara bertahan Sukan SEA 2021 itu mengukuhkan lagi kedudukan untuk layakkan diri ke pusingan separuh akhir.
Skuad Vietnam, yang hampir separuh daripada mereka berusia 20 tahun ke bawah, lincah bergerak di sayap, didorong Vo Minh Trong di sebelah kiri dan Nguyen Duc Phu di sebelah kanan.
Mereka berjaya mengawal rentak permainan dari wisel permulaan dan mendapat peluang pertama pada minit ke-36 hasil serangan kilat yang disempurnakan penyerang Van Tung.
Vietnam menambah jaringan tujuh minit kemudian hasil kesilapan Singapura di barisan pertahanan yang dimanfaatkan Thai Son.
Gol ketiga adalah hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Singapura pada minit ke-80 susulan hantaran lintang dari sayap kanan Vietnam.
Skuad Singa kendalian Philippe Aw kelihatan terkial-kial untuk membendung ketangkasan dan serangan kilat Vietnam.
Namun, mereka dihadiahkan beberapa peluang keemasan, dengan rembatan kencang penyerang Abdul Rasaq Akeem terkena palang sejurus sebelum akhir separuh masa pertama.
Dalam sidang media selepas perlawanan itu, jurulatih skuad Singa Philippe Aw berkata:
"Pada peringkat ini, kesilapan individu akan membawa padah. Ia sememangnya amat menghampakan kerana untuk setengah jam pertama, kami memberi cabaran kepada Vietnam.
"Kami ingin memberi tekanan kepada bek pertahanan Vietnam. Namun, harus diakui bahawa Vietnam merupakan pasukan yang lebih baik pada hari ini."
Kali terakhir skuad bawah 22 tahun Singapura berdepan dengan Vietnam adalah dalam Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada Februari 2022 - perlawanan tersebut menyaksikan Singapura tumpas 0-7.
Singapura bakal berhadapan dengan Laos pada Sabtu bagi perlawanan seterusnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg