Pungutan pingat pasukan silat Singapura di Gimnasium Bac Tu Liem di Hanoi, Vietnam pada Rabu (11 Mei) bertambah dengan pasangan adik-beradik Muhammad Haziq Mohd Zaque dan Muhammad Hazim Mohd Zaque meraih pingat perak dalam final seni ganda putera.

Duo itu, dalam penampilan pertamanya di Sukan SEA, tumpas kepada pasukan Malaysia, yang diwakili Muhammad Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga.

Persembahan Singapura dinilai 9.905 mata, berbanding 9.950 mata.

Pingat perak itu membawa jumlah pingat pasukan silat negara kepada empat, daripada enam acara seni yang disertai di Hanoi.

Muhammad Iqbal Abdul Rahman, awal sebelum itu, menang pingat emas dalam seni tunggal putera.

Pada Selasa, pasukan ganda puteri - Nur Azlyana Ismail dan Sharifah Shazza Samsuri - dan regu puteri - Iffah Batrisyia Noh, Amirah Sahrin dan Nur Ashikin Zulkifli - negara meraih pingat gangsa setelah tewas dalam separuh akhir.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, sebelumnya, memberitahu Berita Harian bahawa beliau menjangka pesilat negara mampu menang tiga pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Di edisi lalu Sukan SEA di Manila, Filipina pada 2019, Singapura membawa pulang lima pingat - dua emas, satu perak dan dua gangsa - daripada lapan acara yang disertai.

Persaingan acara tanding silat akan bermula pada 13 Mei.