Pasukan lawan pedang Singapura berjaya merangkul pingat emas selepas menewaskan pasukan Thailand dengan markah 45-36.

Berlangsung di Gimnasium Sukan Tertutup My Dinh petang tadi (16 Mei), pasukan itu berjaya mencipta sejarah dengan memenangi emas pertama bagi sukan lawan pedang berpasukan di acara 'epee' wanita Sukan SEA itu.

Pasukan Singa yang bertanding termasuk Kiria Tikanah, Elle Koh, Rebecca Ong dan Victoria Lim.

Awal dari ini, Kiria gagal mendapat pingat emas dalam acara 'epee' individu apabila tewas di tangan rakan senegara, Elle.

Sebelum melangkah ke peringkat akhir, pasukan itu berjaya menewaskan Filipina dengan markah 45-32 di peringkat separuh akhir.

Gabungan pasukan ini juga berbeza daripada pasukan yang bertanding dalam temasya sebelum ini.

Pada 2019, pasukan wanita yang terdiri daripada Kiria, Rebecca, Victoria dan Cheryl Lim gagal menumpaskan pasukan Filipina di peringkat akhir dan terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti