Dari Hanoi

WANITA terpantas Singapura Shanti Pereira menikmati hasil terbaiknya di Hanoi, Vietnam, dengan merangkul satu emas dan satu perak dalam dua acara yang disertai.

Ini mengatasi persembahan terbaik sebelumnya Shanti - satu emas (200 meter larian pecut), satu gangsa (100 meter larian pecut) pada Sukan SEA 2015 - sejak kali pertama beraksi dalam temasya sukan itu pada 2013.

Di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi petang Rabu (18 Mei), Shanti, 25 tahun, menambah pungutan pingatnya dalam Sukan SEA kali ini selepas menamatkan perlumbaan 100 meter larian pecut wanita di tempat kedua daripada lapan pesaing dalam masa 11.62 saat.

Namun, masa itu kurang pantas untuk mengatasi rekod nasional, 11.58 saat, yang dicatatnya dalam Kejohanan Atletik Asia 2019.

Dalam tiga penyertaan Sukan SEA lalu, Shanti berturut-turut meraih pingat gangsa dalam acara itu.

Acara tersebut dimenangi oleh Kayla Richardson dari Filipina (11.60), dengan warga Thailand Supanich Poolkerd membawa pulang gangsa (11.66).

Sabtu lalu, Shanti menggondol pingat emas dalam acara larian pecut 200 meter wanita.

Beliau mencatat masa 23.52 saat untuk memecah rekod nasional, 23.60 saat, yang dipegangnya ketika menjuarai acara sama dalam Sukan SEA 2015 di Singapura.

Dalam acara 100 meter larian pecut lelaki pula, Marc Brian, 20 tahun, meraih pingat gangsa untuk Singapura petang ini.

Beliau mencatat masa 10.56 saat, di belakang dua warga Thailand, Puribol Boonson (10.43) and Soraoat Dapbang (10.55).

Ini merupakan penampilan sulung Marc dalam Sukan SEA.