SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Sumbangan $50j suntik semangat, warga sukan harap lebih ramai tampil sokong

Sumbangan $50j suntik semangat, warga sukan harap lebih ramai tampil sokong

Sumbangan Sea Limited demi bangunkan bola sepak S’pura
Apr 2, 2026 | 2:54 PM

Sumbangan $50j suntik semangat, warga sukan harap lebih ramai tampil sokong

sukan Singapura, pembiayaan sukan, bola sepak, Sea
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Forrest Li, memberi ucapan kepada tetamu semasa majlis penghargaan rakan kongsi yang diadakan FAS di Stadium Negara pada 31 Mac. - Foto FAS

Warga sukan tempatan telah memuji sumbangan $50 juta oleh syarikat teknologi Sea Limited untuk membangunkan bola sepak Singapura, dengan ramai berharap langkah itu akan mendorong pihak lain untuk melabur dalam sukan tempatan.

Sumbangan itu – yang terbesar pernah diberikan oleh sebuah syarikat untuk bola sepak tempatan – diumumkan sejurus sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia antara pasukan Singa menentang Bangladesh pada 31 Mac.

Presiden Persekutuan Hoki Singapura, Mathavan Devadas, berkata beliau “terkejut namun gembira” apabila mendengar berita itu dan berharap ia akan memberi kesan kepada sukan lain.

“Saya berharap ia akan mendorong syarikat lain untuk memberi tajaan atau sumbangan kepada sukan lain,” katanya. 

“Terdapat banyak aspek dalam ekosistem sukan yang memerlukan sokongan seperti ini. Apa sahaja yang dapat membantu pemain negara kita berlatih dengan lebih baik dan mendapat lebih banyak pendedahan sudah pasti amat berharga.”

Presiden Persatuan Bola Lantai Singapura (SFA), Ben Ow, menambah: “Forrest Li sentiasa menunjukkan komitmennya terhadap pembangunan bola sepak dan langkah ini mencerminkan kepercayaan jangka panjangnya dalam mengembangkan sukan ini.

“Sangat menggalakkan melihat sebuah persatuan sukan nasional (NSA) menerima sokongan pada tahap ini bagi meningkatkan taraf sukan berkenaan.”

“Pembiayaan lebih besar membolehkan persatuan melaksanakan rancangan dengan lebih berkesan dan mempercepatkan inisiatif pembangunan yang sedang dalam perancangan.

“Kami amat berharap ini akan mendorong lebih banyak syarikat dan penaja untuk menyedari nilai pelaburan dalam sukan, dan ia akan mewujudkan kesan positif merentasi NSA lain,” tambahnya.

Menyifatkan langkah itu sebagai “amat terpuji”, Presiden Atletik Singapura (SA), Lien Choong Luen, menyatakan bahawa ia “mencerminkan dedikasi peribadi dan minat tulen Forrest terhadap bola sepak selama bertahun-tahun”.

“Saya berharap lebih banyak syarikat dapat tampil untuk mengambil berat tentang sesebuah sukan, bukan sahaja dengan pembiayaan, malah turut menyokong atlet selepas tempoh pertandingan mereka tamat.

“Wang untuk membangunkan laluan pembangunan akan membantu meningkatkan taraf bola sepak dalam jangka panjang,” katanya.

Memandangkan nilai dan manfaat yang ditawarkan oleh sukan, ia boleh menjadi cadangan menarik bagi bakal pelabur dan penderma, tambahnya.

Dalam dua tahun kebelakangan ini, SA telah berjaya mendapatkan penaja besar hasil kejayaan atletnya, dan Lien sebelum ini pernah menyatakan bahawa pihaknya sedang mencari rakan strategik untuk menyokong usaha mereka dan membantu membiayai program atletik peringkat akar umbi untuk kanak-kanak.

Pada 2024, NSA itu memeterai perjanjian tajaan lima tahun bernilai $500,000 dengan Income Insurance, dan setahun kemudian POSB mengumumkan perkongsian berbilang tahun dengan persatuan itu juga bernilai $500,000.

Lien berkata: “Seperti yang baru-baru ini dilaporkan dalam berita, sukan adalah perniagaan yang serius dan memerlukan banyak pelaburan untuk berjaya.

“Namun saya percaya Singapura mampu membuat pelaburan yang diperlukan itu kerana pulangan kepada rakyat kita – dari segi kesihatan, kualiti daya tahan, kerja berpasukan, semangat juang dan kebanggaan negara – jauh melebihi kosnya.

“Sukan olahraga juga sedang meningkatkan usaha pengumpulan dana kami untuk menyokong atlet kami, beberapa orang dalam kalangan mereka telah ketepikan kerjaya masing-masing demi mengejar sukan ini sepenuh masa tanpa pendapatan.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg