ATLET memanah negara, Nur Syahidah Alim, akur bahawa persembahan beliau di Sukan Paralimpik di Tokyo bukanlah satu persembahan yang diharapkan.
Pemanah nombor dua dunia bagi acara kompaun individu wanita itu tersingkir dari pusingan kalah mati awal minggu ini selepas tewas 136-140 kepada pemanah nombor tujuh dunia, Sevgi Yorulmaz.
Bercakap kepada akhbar The Straits Times ketika menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), beliau berkata Tokyo mungkin merupakan tempat paling sukar untuk bertanding kerana tiupan angin kencang yang sentiasa berubah arah.
Beliau berkata: "Cabaran terbesar merupakan keadaan berangin di Tokyo. Semasa pusingan penyingkiran, kami berdua sama-sama di hadapan selepas beberapa pusingan pertama.
"Bagaimanapun, saya menghadapi kesukaran dari segi tiupan angin dan tidak sempat pulih dari keadaan itu. Saya gagal meramalkan keadaan angin dan ia mungkin menjadi sebab persembahan saya terjejas."
Beliau dan Yorulmaz bersaing sengit sejak panah pertama dilepaskan dari busur dan terikat dengan 57 mata masing-masing selepas enam panah dilepaskan.
Namun Yorulmaz mula memanah dengan lebih baik selepas itu dan akhirnya mengutip terlalu banyak mata untuk dikejar Syahidah.
Syahidah berpendapat pandemik ini juga telah menjejas persediaannya disebabkan kurang peluang pertandingan.
Meskipun menjalani latihan simulasi, beliau berkata ianya tidak sama dengan keadaan sebenar.
"Ia penting untuk mendapat pendedahan pertandingan secara langsung di luar negara yang kami harapkan dapat diadakan bagi temasya utama yang akan datang.
"Jika kami diberi peluang bertanding di luar negara sebelum ini, ia mungkin dapat membantu saya secara mental.
"Ia agak mengecewakan tetapi untuk setiap pertandingan, ini adalah pelajaran yang dapat diambil dan sesuatu yang kita harap dapat diperbaiki untuk temasya lain," tambah beliau.
Syahidah kini memilih untuk fokus pada perkara positif seperti proses dan rutin memanah yang baik.
Beliau juga berharap dapat meningkatkan kekuatan mentalnya menjelang Sukan Para Asean tahun depan di Hanoi, Vietnam dan Sukan Para Asian di Hangzhou, China.
Beliau berkata: "Peningkatan terbesar yang saya lalui di Tokyo adalah bahawa saya dapat melakukan bukan sahaja proses dan rutin yang konsisten, tetapi juga menerima kesilapan saya.
"Saya tahu dengan pengalaman yang saya miliki sekarang dari Tokyo, saya dapat bekerjasama dengan jurulatih dan pasukan saya di Institut Sukan Singapura (SSI) untuk meningkatkan prestasi saya pada temasya yang akan datang."
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatihnya, Pang Qing Liang dan kontinjen Team Singapore di Tokyo yang memberi semangat dan sokongan kepadanya sepanjang beliau berada di sana.
Dalam jangka masa panjang, beliau berharap dapat terus mencapai kejayaan baru untuk Singapura.
Pada 2019, Syahidah menjadi pemanah juara dunia pertama negara setelah memenangi acara terbuka kompaun individu dan kemudian menjadi pemanah Singapura pertama yang berada di kedudukan nombor satu.
Sementara beliau dan jurulatihnya berehat sebentar dari latihan, Syahidah berpendapat "ini masa yang tepat mengerjakan rancangan latihan baru bagi tahun depan,'' tambahnya.
"Saya tidak sabar menantikannya dan saya berharap rancangan itu dapat membantu saya memberikan persembahan yang lebih baik pada pertandingan yang akan datang."