Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syahidah tak sabar masuk semula ke gelanggang

Walaupun lebih setahun tanpa pertandingan antarabangsa gara-gara sekatan pandemik, juara dunia terus giat berlatih
Aug 26, 2021 | 5:30 AM
KEMBALI BERAKSI DI PENTAS DUNIA: Syahidah bertekad memperbaiki keputusan terbaik peribadinya dan berharap dapat mencipta sejarah baru untuk Singapura di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Foto MAJLIS SUKAN KURANG UPAYA SINGAPURA
KEMBALI BERAKSI DI PENTAS DUNIA: Syahidah bertekad memperbaiki keputusan terbaik peribadinya dan berharap dapat mencipta sejarah baru untuk Singapura di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Foto MAJLIS SUKAN KURANG UPAYA SINGAPURA -

PENANTIAN itu satu penyiksaan.

Dan bagi pemanah para negara Nur Syahidah Alim, setelah lebih setahun "terperap" dalam negeri gara-gara sekatan perjalanan pandemik Covid-19, peluang yang dinanti-nanti untuk menonjolkan kehebatan beliau kembali di pentas antarabangsa akhirnya tiba.

Pemanah para nombor satu dunia pada 2019 itu akan mewakili Singapura dalam acara terbuka 'compound' wanita di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, yang berlangsung sejak kelmarin.

Sukan Paralimpik Tokyo telah ditunda selama setahun akibat Covid-19.

Malah, dalam tempoh "berehat" daripada aksi antarabangsa itu, Syahidah, 36 tahun, turut menyaksikan kedudukan beliau di puncak ranking dunia perseorangan terbuka 'compound' wanita dirampas baru-baru ini.

Syahidah kini menghuni tangga kedua (190.4 mata), di belakang pendahulu Jessica Stretton dari Great Britain (195.88 mata).

"Saya tidak sabar untuk bersaing di Sukan Paralimpik," ujar beliau.

Kali terakhir Syahidah beraksi di pentas dunia adalah pada Februari tahun lalu ketika beliau mengharumkan nama negara selepas menang pingat emas di Pertandingan Ranking Dunia Memanah Para Fazza yang Ke-6 di Dubai.

Namun, "diam-diam" di Singapura, Syahidah tetap "berisi".

Semenjak kejohanan antarabangsa terakhirnya itu, Syahidah terus giat berlatih dan memanfaatkan segala peluang pertandingan yang ada di tanah air, untuk memastikan beliau berada dalam prestasi terbaiknya bagi Tokyo 2020.

"Disebabkan pandemik Covid-19, saya tidak mempunyai banyak peluang ke luar negara untuk bertanding. Namun, itu tidak menyekat persiapan kami," kongsi juara dunia itu.

"Dengan bantuan jurulatih dan pasukan, saya terus gigih berusaha untuk memperbaiki lagi persembahan memanah saya menerusi latihan memanah, sesi kekuatan dan kecergasan dan intervensi lain."

Syahidah, yang dilahirkan dengan palsi serebrum, menambah beliau juga berpeluang berlatih bersama atlet memanah berupaya, untuk mengisi kekurangan pertandingan memanah di sini bagi atlet para.

Di Percubaan Terbuka Persatuan Memanah Singapura bagi Sukan SEA 2021 pada Mac tahun ini, beliau turut bertanding bersama pemanah berupaya dan mencatat keputusan terbaik musim, 684 mata.

Jumlah itu tidak jauh daripada keputusan terbaik peribadinya, 689 mata, yang diraih di Kejohanan Memanah Para Dunia 2019.

Menariknya, Syahidah juga memilih untuk hidup dalam "gelembung" sendiri sebagai persiapan beliau ke Sukan Paralimpik Tokyo.

Selama tiga bulan, beliau menyewa sebuah apartmen studio di City Gate, yang terletak berhampiran tempat latihannya di Stadium Negara.

"Ada manfaat tinggal dekat dengan tempat latihan. Saya dapat lebih fokus pada latihan saya dengan kurang gangguan dan mengurus pemakanan dan pemulihan saya dengan lebih baik," jelasnya.

Di Sukan Paralimpik Rio 2016, Syahidah berjaya ke suku akhir dan meraih tempat ketujuh.

Beliau kini bertekad memperbaiki persembahan itu ketika mula bertanding di Tokyo esok.

"Saya mahu mencapai keputusan terbaik peribadi saya di Tokyo, dan mudah-mudahan saya dapat mencipta sejarah baru bagi Singapura," tambahnya.

Ini merupakan penampilan kedua Syahidah di temasya sukan itu, setelah menjadi pemanah para sulung negara bertanding di Rio 2016.

Di Tokyo 2020, Singapura akan diwakili oleh 10 atlet para daripada enam cabang sukan - angkat berat, atletik, berbasikal, ekuestrian, memanah dan renang.

"Disebabkan pandemik Covid-19, saya tidak mempunyai banyak peluang ke luar negara untuk bertanding. Namun, itu tidak menyekat persiapan kami. Dengan bantuan jurulatih dan pasukan, saya terus gigih berusaha untuk memperbaiki lagi persembahan memanah saya menerusi latihan memanah, sesi kekuatan dan kecergasan dan intervensi lain." - Nur Syahidah Alim

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg