Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Syed Abdul Kadir undur dari pucuk pimpinan badan tinju negara

Jul 05, 2022 | 05:30 AM



BEKAS petinju negara, Syed Abdul Kadir, telah melepaskan jawatannya sebagai presiden Persekutuan Tinju Singapura (SBF) sejak Mei lalu, menurut badan pentadbir tinju negara itu.



Syed Abdul Kadir, 74 tahun, mengumumkan persaraannya pada 20 Mei lalu selepas pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 1974 itu menyuarakan hasrat untuk meluangkan masa bersama keluarga, tambah SBF.



Beliau telah memimpin SBF, yang sebelumnya dikenali sebagai Persatuan Tinju Amatur Singapura (Saba), sejak dilantik pada 2009.



Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) baru-baru ini, ahli lembaga dilantik SBF, Faisal Hussain, mengesahkan persaraan Syed Abdul Kadir dan berkata:



"Syed Kadir secara rasminya telah mengumumkan persaraannya pada 20 Mei lalu. Beliau ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakannya."



Berita persaraan itu muncul beberapa bulan selepas BH melaporkan pada lewat Mac lalu bahawa Syed Abdul Kadir mempunyai rancangan untuk melepaskan jawatannya "tidak lama lagi", mencadangkan pucuk kepimpinan SBF bakal bertukar tangan selepas lebih sedekad.



"Saya akan menyerahkan baton kepada pemimpin generasi baru tidak lama lagi. Saya percaya mereka boleh membawa sukan tinju ini ke peringkat seterusnya," kata Syed Abdul Kadir dalam wawancara tersebut.



Legenda tinju itu mula bergiat dalam sukan ini sejak usia 11 tahun dan adalah salah satu daripada empat petinju negara yang pernah menggondol pingat emas di Sukan SEA.



Beliau dinobat juara di Sukan SEA Kuala Lumpur pada 1971.



Beliau juga mewakili Singapura di Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman, meskipun tidak bertanding akibat kecederaan.



Kemenangan pingat gangsanya di Sukan Komanwel 1974 di New Zealand, yang pertama untuk tinju negara di temasya sukan itu, menobatkan beliau sebagai Atlet Terbaik oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) pada tahun berikutnya.



Pada hujung 1976, Syed Abdul Kadir mengumumkan persaraannya dari bersaing dalam gelanggang. Beliau bersara dengan rekod 11 kekalahan dalam lebih 100 pertarungan dan memegang takhta juara Singapura selama lapan tahun.



Beliau kemudian menyertai jawatankuasa pengurusan Saba dan berkhidmat sebagai jurulatih nasional, setiausaha dan naib presiden selama tempoh tiga dekad, sebelum dilantik sebagai presiden pada 2009.



Detik kecemerlangan Syed Abdul Kadir bergelar jurulatih adalah pada 1985, apabila beliau membimbing skuad nasional meraih beberapa kejayaan antarabangsa termasuk membawa pulang emas Sukan SEA pertama negara dalam 12 tahun.



Ia dimenangi oleh Mohammed Mukhlis Amat di Bangkok, iaitu juga kekal menjadi kali terakhir negara menggondol emas di temasya sukan dwitahunan berprestij itu. Syed Abdul Kadir turut diiktiraf sebagai Jurulatih Terbaik oleh SNOC pada tahun itu.



Dengan pengunduran Syed Abdul Kadir sebagai presiden, SBF menambah kekosongan sementara itu akan diisi naib presidennya, John Thirunavukarasu, sehingga satu mesyuarat agung tahunan (AGM) diadakan pada Ogos ini.



Ditanya sama ada SBF sudah menerima calon yang bersedia menduduki "kerusi panasnya", Faisal berkata:



"Secara rasmi, belum ada calon yang tampil... tapi kami berharap ada calon berpotensi yang sudi tampil menjelang tarikh pilihan raya."



Tanpa calon presiden kira-kira dua bulan sebelum AGM pada Ogos ini, Faisal namun tidak bimbang.



"Syed Kadir telah membimbing beberapa anggota jawatankuasa muda yang menunjukkan potensi untuk mengambil alih kepimpinan," tambah beliau.



ZULAIQAH ABDUL RAHIM




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >