Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Syed Kadir pernah ditawar jadi pro selepas aksi di Olimpik

Legenda tinju negara kongsi pahit manis kerjaya termasuk ditawarkan kerakyatan Australia
Nov 18, 2018 | 05:30 AM



BELIAU sudah pun mengukir sejarah hebat dalam sukan pilihan hatinya - lama sebelum arena tinju setempat diberikan suntikan semangat dengan penganjuran beberapa pertarungan profesional bertaraf dunia sejak kebelakangan ini.



Malah, legenda tinju negara, Syed Abdul Kadir Syed Abu Bakar, kini berusia 70 tahun - yang merupakan petinju pertama negara untuk mewakili Singapura di Sukan Olimpik Munich 1972 - pernah juga ditawarkan menjadi seorang petinju profesional selepas pencapaian bersejarahnya di temasya kota Jerman itu.



Peluang menjadi petinju pertama dari Singapura menjejakkan kaki ke arena profesional waktu itu memang satu tarikan besar tetapi ia tidak dapat mengatasi keseronokannya untuk kekal sebagai petinju amatur dan terus berusaha mengibarkan bendera negara di pelbagai temasya sukan.



"Ia (tawaran untuk menjadi petinju profesional) tiba sejurus selepas Sukan Olimpik... ketika itu saya memang berada di tahap terbaik saya... satu tawaran yang sememangnya sukar ditolak apatah lagi arena tinju profesional dianggap antara arena sukan yang penuh glamor," katanya, yang lebih dikenali dengan panggilan Syed Kadir, dalam satu temuramah di pusat latihan petinju nasional di Dewan Sukan Bedok baru-baru ini.



"Tetapi selepas memikirkannya masak- masak, saya terpaksa menolaknya... saya tidak melihat diri saya bergantung kepada tinju sebagai sumber rezeki.



"Apabila mula bergiat dalam sukan ini, cita-cita saya hanya mahu mewakili negara... mahu mencapai tahap tertinggi iaitu beraksi di Sukan Olimpik.



"Alhamdulillah, cita-cita itu sudah pun tercapai... waktu itu juga saya mempunyai pekerjaan yang tetap di sebuah syarikat akaunting... jadi, sekalipun arena tinju profesional memang penuh glamor tetapi ia bukanlah menjadi matlamat dalam hidup saya ketika itu.



"Malah, beberapa tahun sebelum itu juga saya ditawarkan menukar kepada kerakyatan Australia oleh Datuk Bandar Australia Barat. Beliau mungkin kagum melihat keupayaan saya di gelanggang.



"Waktu tu kali pertama saya wakili negara di peringkat antarabangsa... kejohanan Singapura-Australia Barat pada 1969... tetapi hati dan jiwa saya adalah pada Singapura. Soal menyahut undangan itu langsung tidak terlintas dalam hati," tambahnya yang mula tertarik dengan sukan ini semasa membesar di Kampung Potong Pasir dan menuntut di Sekolah Rendah Saint Andrew's.



Beraksi dalam kelas 'light fly' (48 kilogram) sepanjang kerjayanya, Syed Kadir malah memenangi pertarungan pembukaannya di temasya Sukan Olimpik Munich itu dengan menewaskan seterunya dari Italy tetapi luka pada keningnya akibat dihantuk kepala petinju dari Cuba dalam pusingan suku akhir mengakhiri cabarannya di pentas terbesar sukan itu.



"Bayangkan kekecewaan saya apabila pengadil menghentikan pertarungan selepas saya berjuang sengit untuk menguasai dua pusingan awal.



"Waktu itu siapalah saya... petinju dari sebuah negara kerdil Singapura berbanding Cuba yang merupakan antara negara gergasi dunia dalam sukan ini.



"Keputusan pengadil itu memang pahit sekali tetapi kenangan manis dapat mewakili negara di tahap tertinggi sukan ini akan terus kekal bersama saya," katanya lagi.



Selain menjadi petinju pertama Singapura untuk menjejakkan kaki ke temasya Olimpik, kehebatan Syed Kadir menyaksikan beliau memenangi pingat gangsa di Sukan Komanwel 1974 yang berlangsung di Christchurch, New Zealand.



Beliau adalah satu-satunya atlit dalam kontinjen negara yang membawa pulang pingat daripada temasya Sukan Komanwel itu - dengan kejayaannya itu turut diiktiraf negara apabila beliau dinobatkan anugerah sukan tertinggi - Olahragawan Terbaik Singapura 1974.



Di rantau ini, namanya sahaja pasti menggerunkan pesaing-pesaingnya lain.



Dalam penampilan sulungnya di di temasya Sukan Semenanjung Asia Tenggara (Sukan Seap - sebelum nama ditukar kepada Sukan SEA pada 1975) di Yangon, Myanmar, pada 1969, beliau membawa pulang pingat gangsa sebelum merangkul pingat emas di temasya dua tahun kemudian yang berlangsung di Kuala Lumpur.



Beliau turut memenangi pingat perak di dua edisi sukan serantau ini - pada 1973 dan 1975.



Syed Kadir juga dipilih mewakili negara di dua edisi Sukan Asia - di Bangkok (1970) dan Teheran (1974) - tetapi 'tuah undian' tidak memihaknya.



Di kededua temasya sukan itu, beliau diundi bertarung dengan pencabar dari Korea Selatan di pusingan pembukaan. Beliau tewas tetapi tidak sebelum memberikan saingan sengit kepada dua seterunya itu yang kemudian muncul sebagai pemenang pingat emas.



Hakikatnya, sehingga hari ini pencapaian Syed Kadir - ayah dua anak dewasa yang juga bergelar datuk kepada lima orang cucu - dalam mengharumkan nama negara dalam arena tinju masih belum dapat diatasi.



Apa yang lebih menakjubkan ialah tiadanya insentif kewangan atau apa-apa elaun yang mengiringi setiap kejayaannya itu - selain kebanggaan melihat kibaran bendera negara semasa berdiri di podium pemenang.



"Waktu tu... latihan pun mana ada elaun.... mana ada insentif kewangan sekalipun jika anda menang... tidak seperti yang dinikmati atlit-atlit kita hari ini.



"Tetapi kemegahan dapat wakili negara membakar semangat kami setiap kali berlatih dan setiap kali menyertai pertandingan.



"Pegangan hidup saya ialah apabila anda melakukan sesuatu perkara, anda perlu memberikan 100 peratus... sekadar menunjukkan potensi sahaja tak mencukupi, anda juga perlu tunjukkan 100 peratus komitmen," tambah Syed Kadir.



Sehingga detik ini pun, beliau tidak jemu-jemu menyumbang bakti sebagai presiden Persatuan Tinju Amatur Singapura (Saba) yang menyelaraskan segala program latihan skuad nasional.



Ini di samping usahanya menggilap bakat-bakat muda yang mengikuti latihan di akademi yang diasaskannya sendiri sejak 2003 - Sekolah Tinju Kadir (KBS).



Di peringkat antarabangsa, beliau adalah anggota Suruhanjaya Peraturan dan Teknikal bersama Persatuan Tinju Amatur Antarabangsa (Aiba) sejak 2011 dan berpeluang menjadi sebahagian daripada perwakilan teknikal Aiba ke beberapa sukan berprestij termasuk di Sukan Olimpik London 2012.



Sumbangannya sebagai jurulatih nasional selepas mengundurkan diri secara kompetitif pada 1976 turut menyaksikan Syed Kadir diiktiraf Anugerah Jurulatih Terbaik Negara 1985 menyusuli tahun cemerlang yang dicatatkan anak didiknya termasuk kejayaan Muhamad Mukhlis Amat memenangi pingat emas di Sukan SEA Bangkok pada tahun itu.



Pingat emas Mukhlis itu kebetulan yang pertama sejak kejayaan Syed Kadir sendiri pada 1971.



Jadi, soalannya kini ialah bilakah Singapura akan melahirkan seorang lagi petinju juara Sukan SEA atau mungkin juga petinju yang sehebatnya untuk ditampilkan di Sukan Olimpik?



"Ini memang satu cabaran besar.



"Pertama sekali tentunya soal kewangan. Soal dana penting kerana ini akan membolehkan petinju kita berlatih sepenuh masa dan memenuhi potensi sepenuh mereka.



"Kedua terpulang ke atas diri petinju itu sendiri... mereka perlu komited 100 peratus tetapi saya lihat ada juga yang tak tahan dengan latihan... terus menghilang selepas sebulan, dua ikuti latihan," kata Syed Kadir lagi.




"Tetapi kemegahan dapat wakili negara membakar semangat kami setiap kali berlatih dan setiap kali menyertai pertandingan. Pegangan hidup saya ialah apabila anda melakukan sesuatu perkara, anda perlu memberikan 100 peratus... sekadar menunjukkan potensi sahaja tak mencukupi, anda juga perlu tunjukkan 100 peratus komitmen."
- Syed Kadir, mengimbas pengalamannya sebagai petinju negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >