Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Tak dapat pingat mengecewakan, tapi yang penting Team Singapore bangkit semula: Edwin Tong

Aug 07, 2021 | 05:30 AM



TOKYO: Menteri Budaya, Masyarakat dan Belia Edwin Tong mengakui kegagalan Singapura memenangi sembarang pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 - kali pertama sejak 2004 - "adalah sesuatu yang mengecewakan" bagi dirinya.



"Dalam sembarang pertandingan, anda mahu bersaing untuk menang, anda mahu pingat," kata beliau kepada The Straits Times dalam satu wawancara kelmarin.



Meskipun Team Singapore pulang dengan tangan kosong, beliau menegaskan ada "banyak perkara positif" yang dapat ditimba daripada persembahan Team Singapore di Tokyo.



Ini termasuk rekod 12 sukan yang disertai 23 atlet Singapura di temasya sukan itu - 17 daripada mereka membuat penampilan sulung - serta beberapa persembahan individu yang, kata Encik Tong, "menyerlah".



Mengakui terdapat beberapa kritikan daripada orang awam, terutamanya selepas perenang Joseph Schooling gagal mempertahankan pingat emas Sukan Olimpiknya seminggu lalu, beliau menekankan bahawa adalah mustahil untuk seorang atlet menang setiap masa.



Sebaliknya, beliau berhujah: "Ujian sebenar bagi kita ialah apakah reaksi kita apabila keputusan tidak menyebelahi kita? Apa yang kita lakukan? Bagaimana kita menerima kenyataan dan memastikan pada kali seterusnya kita bertanding, kita dapat memberikan persembahan lebih baik?"



Beliau mendedahkan bahawa kurang 12 jam selepas tersingkir, Schooling kembali ke kolam renang tempat beliau mengalami kekecewaan. Encik Tong berada di sebelahnya di tempat duduk penonton Pusat Akuatik Tokyo itu.



"Kami kembali ke tempat sama... memandang bawah ke arah kolam," kata Encik Tong. "Dan saya memberitahunya bahawa ia (kegagalan itu) akan menjadi sukar buatnya."



Pelbagai pandangan dan persoalan timbul selepas Schooling terkandas di pusingan saringan untuk mempertahankan pingat emas acara kupu-kupu 100 meter yang dimenanginya di Sukan Rio pada 2016.



Mesej Encik Tong kepada perenang itu, bagaimanapun, ringkas: Fokus pada diri awak.



"Saya suruh dia berehat sebentar, tenangkan fikirannya, fikir tentang perkara lain, baca buku," kata beliau.



"Dia dikenakan Notis Jangan Keluar rumah 14 hari... (dan) selepas itu dia akan berjumpa keluarganya, yang dia benar-benar ingin jumpa.



"Bincang (keadaan) bersama mereka, bersama jurulatihnya, bersama (Persatuan Renang Singapura), dan kemudian kembali, bincang rancangannya bersama kami dan kami akan melihat bagaimana kami boleh menyokong rancangan itu sebaik mungkin."



Satu persoalan besar yang harus dijawab ialah mengenai Perkhidmatan Negara (NS).



Penangguhan NS Schooling dan rakan sepasukannya Quah Zheng Wen - yang juga tersingkir di pusingan saringan dalam tiga acara yang disertainya - yang masing-masing bermula pada 2013 dan 2015, dilanjutkan sebelum temasya sukan itu.



Sejurus selepas kempen Tokyo mereka, kededuanya menyatakan hasrat bersaing dalam beberapa pertandingan tahap tinggi yang dijadual tahun depan, seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Kejuaraan Dunia Renang.



Encik Tong berkata "terlalu awal" untuk bercakap mengenai NS mereka, dan rancangan yang mereka kemukakan dalam permohonan untuk melanjutkan penangguhan NS mereka akan menjadi kunci.



"Kita kemudian boleh memandang perkara ini dari sudut tempoh lebih panjang, bersama Mindef," ujarnya.



"Ideanya di sini ialah melihat satu keseimbangan antara komitmen nasional, dan juga pembangunan pencapaian sukan."



Isu itu, tambah beliau, adalah sesuatu yang memerlukan satu kesepakatan dan pelibatan atlet.



Bagaimanapun, Encik Tong memandang positif hasil usaha cemerlang beberapa atlet Singapura, termasuk pencapaian mengejutkan pemain tenis meja Yu Mengyu mara ke separuh akhir perseorangan wanita, pasangan pelayar 49er FX Kimberly Lim dan Cecilia Low menduduki tempat ke-10 - keputusan terbaik negara ini - dan pelawan pedang Kiria Tikanah Abdul Rahman dan Amita Berthier menentang lawan ranking lebih tinggi.




"Ujian sebenar bagi kita ialah apakah reaksi kita apabila keputusan tidak menyebelahi kita? Apa yang kita lakukan? Bagaimana kita menerima kenyataan dan memastikan pada kali seterusnya kita bertanding, kita dapat memberikan persembahan lebih baik?"
​- Menteri Budaya, Masyarakat dan Belia Edwin Tong, mengenai kegagalan Team Singapore memenangi sembarang pingat Olimpik buat kali pertama sejak 2004.




"Bincang (keadaan) bersama mereka (keluarganya), bersama jurulatihnya, bersama (Persatuan Renang Singapura), dan kemudian kembali, bincang rancangannya bersama kami dan kami akan melihat bagaimana kami boleh menyokong rancangan itu sebaik mungkin."
- Encik Edwin Tong, mengenai perenang Joseph Schooling.




"Kita kemudian boleh melihat perkara ini (Perkhidmatan Negara) dari sudut tempoh lebih panjang, bersama Mindef. Idea di sini ialah melihat satu keseimbangan antara komitmen nasional, dan pembangunan pencapaian sukan."
- Encik Edwin Tong, mengenai Perkhidmatan Negara (NS) perenang Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >