Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siang kerja dengan peguam, malam bertumbuk

Pembantu guaman Amirah Razak antara petinju gigih bangunkan pasukan tinju wanita amatur SG
Mar 16, 2022 | 5:30 AM
MAHU TUNJUK TARING DI GELANGGANG: Selepas sekali masuk gelanggang bertinju, minat Amirah Razak (atas, kanan) pada sukan tinju mekar dan beliau kini menjadi anggota pasukan pembangunan tinju wanita amatur Singapura yang berlatih di Dewan Sukan Bedok dibawah bimbingan jurulatih Muhamad Ridhwan. - Foto-foto BH oleh KUA CHEE SIONG
MAHU TUNJUK TARING DI GELANGGANG: Selepas sekali masuk gelanggang bertinju, minat Amirah Razak (atas, kanan) pada sukan tinju mekar dan beliau kini menjadi anggota pasukan pembangunan tinju wanita amatur Singapura yang berlatih di Dewan Sukan Bedok dibawah bimbingan jurulatih Muhamad Ridhwan. - Foto-foto BH oleh KUA CHEE SIONG -

PADA siang hari, gadis ini sibuk bertugas di pejabat guaman.

Apabila malam menyelubungi, dia sibuk bertumbuk - melepaskan tumbukan jab (tumbukan tangan depan sebagai pembuka serangan), cross (tumbukan balas yang menyilangi tangan lawan) dan sungkit (tumbukan dari bawah ke atas).

Amirah Razak, 25 tahun, bukan kaki gaduh, tetapi peminat sukan tinju. Dia diperkenal kepada sukan tinju di Refuel Gym Academy sekitar satu setengah tahun lalu. Selepas lima bulan menjalani kelas, dia dicabar oleh jurulatihnya supaya masuk gelanggang dan berlawan.

Sejak pertarungan itu, minatnya pada sukan tinju mekar dan potensinya dicungkil untuk bersaing pada tahap lebih tinggi. Pembantu guaman ini kini menjadi sebahagian pasukan pembangunan tinju wanita amatur Singapura.

"Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk berlawan tapi semakin saya gigih berlatih, saya fikir banyak lagi yang boleh dan mahu saya pelajari mengenai sukan ini.

"Daripada membuang kemahiran yang saya timba, mengapa tidak saya menggunakannya untuk bertanding dalam gelanggang?" katanya, yang menyasar bertinju dalam kelas berat 60 kilogram.

Amirah dan 11 lagi petinju wanita berhimpun di Dewan Sukan Bedok dua kali seminggu untuk menjalani latihan pasukan pembangunan wanita.

Inisiatif ini hasil idea bekas petinju nasional Singapura Leona Hui, 36 tahun. Hui, yang bersara daripada sukan tinju selepas Sukan SEA Filipina pada 2019, ingin membangunkan sebuah program yang dapat membentuk generasi seterusnya petinju amatur wanita Singapura untuk bertanding di pentas antarabangsa.

Pada 2020, dia membangunkan sebuah komuniti tinju wanita tempatan, yang dipanggil SG Women's Boxing Community, dengan tujuan menyatukan petinju wanita daripada gimnasium serata Singapura untuk berlatih bersama dan menyediakan peluang bersaing.

Usaha itu mendapat tarikan sekitar 45 petinju wanita. Namun, dek sekatan Covid-19, rancangannya memperluaskan program itu tergendala. Lebih setahun kemudian, pada September tahun lalu, dia memulakan program pasukan pembangunan wanita yang turut mendapat sokongan Persekutuan Tinju Singapura (SBF).

Hui, yang mula bertinju sejak 2010, berkata usaha itu menunjukkan kemajuan dalam sukan tinju wanita tempatan. Sejauh ini, hanya seorang petinju wanita nasional Singapura, Danisha Mathi, menjadi atlet carded, iaitu terpilih menjalani latihan persembahan tinggi.

Hui, yang mewakili Singapura tiga kali di Sukan SEA, menambah bahawa program pembangunan bagi petinju wanita tidak wujud sepanjang dia dalam pasukan nasional.

Kebanyakan petinju wanita di Singapura langsung diserap masuk ke dalam pasukan nasional.

"Pasukan pembangunan wanita ini adalah tempat baik untuk secara kolektif fokus dan menyelaraskan kemahiran petinju kita, yang datang daripada pelbagai gimnasium.

"Kami harap program ini dapat menarik mereka untuk terus berminat bertinju dan dapat menghasilkan lebih ramai petinju wanita di Singapura pada masa akan datang," kata Hui.

Pasukan pembangunan wanita itu dilatih oleh juara dunia tinju profesional pertama Singapura, Muhamad Ridhwan, yang terdorong melatih kumpulan petinju wanita ini kerana percaya pada potensi mereka.

"Dari mula saya sentiasa fikir bahawa pasukan wanita mempunyai peluang lebih baik untuk menang pingat emas Sukan SEA seterusnya Singapura dalam sukan tinju. Petinju wanita kita ada potensi," kongsinya, 34 tahun.

"Mereka juga mendahagakan kejayaan dan ini boleh dilihat daripada cara mereka mengumpul dana sendiri dan tampil bersama menyokong usaha ini... Saya suka tahap komitmen mereka."

Sebagai jurulatih, Ridhwan, yang juga pemilik bersama dan jurulatih di gimnasium tinju Legend Fight Sport, membawa program latihan tersusun ke dalam pasukan pembangunan wanita. Dia mahu menyediakan lebih banyak peluang perlawanan, sesuatu yang kurang bagi petinju wanita di Singapura.

"Dari hari pertama sejak mereka di sini saya sudah beritahu mereka bahawa program ini bukan untuk suka-suka. Anda di sini sebab anda suka bertinju. Anda bersedia bertanding, anda bersedia mewakili negara," kata Ridhwan.

Jun ini, sebuah kejohanan tinju wanita akan diadakan di sini bagi pasukan pembangunan wanita menguji diri mereka, dan Ridhwan merancang memanggil beberapa petinju wanita asing dari rantau ini.

"Tujuannya ialah memberi mereka pengalaman dan menaikkan taraf persembahan mereka supaya apabila kami ingin menghantar nama mereka kepada Sport Singapore untuk pertandingan, kami dapat menunjukkan kemajuan petinju wanita negara," ujarnya, yang menyasarkan membawa lebih ramai petinju wanita ke Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Tiada petinju wanita terpilih mewakili Singapura pada Sukan SEA tahun ini di Hanoi, Vietnam.

YAKIN PETINJU WANITA HARAPAN EMAS SG

"Dari mula saya sentiasa fikir bahawa pasukan wanita mempunyai peluang lebih baik untuk menang pingat emas Sukan SEA seterusnya Singapura dalam sukan tinju. Petinju wanita kita ada potensi. Mereka juga mendahagakan kejayaan dan ini boleh dilihat daripada cara mereka mengumpul dana sendiri dan tampil bersama menyokong usaha ini... Saya suka tahap komitmen mereka... Dari hari pertama sejak mereka di sini saya sudah beritahu mereka bahawa program ini bukan untuk suka-suka. Anda di sini sebab anda suka bertinju. Anda bersedia bertanding, anda bersedia mewakili negara." - Muhamad Ridhwan, jurulatih pasukan pembangunan tinju wanita amatur Singapura.

TAK MAHU SIA-SIA KEMAHIRAN

Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk berlawan tapi semakin saya gigih berlatih, saya fikir banyak lagi yang boleh dan mahu saya pelajari mengenai sukan ini. Daripada membuang kemahiran yang saya timba, mengapa tidak saya menggunakannya untuk bertanding dalam gelanggang? - Amirah Razak, ahli pasukan pembangunan tinju wanita amatur Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg