Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Takraw sasar kebangkitan, wushu pula jadi antara sorotan Sukan SEA

Dec 9, 2025 | 5:30 AM
Sukan SEA Thailand, silat, wushu
Walaupun Siti Khadijah Mohd Shahrem dan Adib Farhan Ramli (kededua dalam gambar) baru dalam sukan wushu, mereka cukup berpengalaman dengan dunia seni bela diri melalui silat. Kededua atlet ini akan tampil dalam sukan wushudi temasya Sukan SEA Thailand ini. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kontinjen Singapura bagi Sukan SEA 2025 menampilkan gabungan bakat baru dan atlet berpengalaman.

Turut mencuri perhatian ialah beberapa penyertaan luar daripada jangkaan – antaranya atlet yang menceburi sukan yang selalunya dikuasai masyarakat lain, seperti Rayan Zuhayr Nurul Hattain, Muhammad Aidil Asyraaf Abdul Mutalib dan Putri Siti Nur Farhani Shamsuri dalam acara kabadi; serta satu-satunya atlet Cina, Tan Kee Ler, dalam sepak takraw.

Namun, tumpuan bagi penyokong silat dan wushu juga bakal menjurus kepada kemunculan sulung Adib Farhan Ramli dan Siti Khadijah Mohd Shahrem dalam gelanggang wushu.

Bagi Khadijah khususnya, wushu mungkin baru baginya, tetapi dunia seni mempertahankan diri bukanlah sesuatu yang asing – rekod pencapaiannya dalam silat sudah cukup membuktikan kemampuannya.

Beliau mempunyai rekod mantap di pentas antarabangsa – meraih pingat gangsa di Sukan Asia 2018, pingat gangsa di Kejohanan Dunia Pencak Silat 2018, serta gangsa di Kejohanan Pencak Silat Pantai Dunia 2019.

Pada 2022 pula, beliau memenangi pingat emas di Sukan SEA, pingat gangsa di Sukan SEA ke-31, pingat perak di Kejohanan Dunia, dan pingat gangsa di Kejohanan Asia.

Dengan pencapaian sebegitu, penyertaan Khadijah dalam wushu pasti menjadi antara tumpuan edisi kali ini.

Selain itu, pasukan sepak takraw Singapura akan berjuang untuk membuktikan pengkritik mereka salah. Pemain turut menekankan bahawa edisi kali ini penting untuk membina keyakinan jangka panjang.

Walaupun tidak boleh dinafikan mengenai kedudukan dan persembahan mereka di beberapa kejohanan kurang memuaskan, mereka telah mempamerkan beberapa detik yang memberangsangkan apabila berdepan dengan pasukan lawan antarabangsa.

Dalam kalangan pemain juga ada kesedaran bahawa mereka kini berada di bawah perhatian. Mereka tahu ada yang meragui kemampuan mereka, dan mereka ingin buktikan ‘kesalahan’ keraguan itu.

Ramai dalam pasukan sepak takraw menyatakan mereka punya misi khusus: bukan sahaja untuk bersaing, tetapi untuk membuktikan bahawa Singapura bukan lagi pasukan belasahan dalam sukan yang suatu masa dulu merupakan kebanggaan negara.

Ketua jurulatih pasukan, Nur Hisham Adam, menitikberatkan kekuatan mental dan tumpuan agar pasukan negara dapat memperbaiki keputusan di Sukan SEA.

“Antara perkara yang saya asah dalam pasukan menjelang Sukan SEA adalah menuntut pemain menunjukkan prestasi konsisten,” kata beliau.

“Terdapat beberapa perlawanan yang kami mendahului, tetapi akhirnya ketinggalan. Kalau kami boleh kekalkan tumpuan kami, perkara ini juga akan dapat rapatkan jurang antara pasukan lain.”

Walaupun jurulatih Salleh Nanang terpaksa undur diri akibat serangan jantung, perkara tersebut juga bakal menjadi pembakar semangat bagi pemain.

Mereka lebih bermotivasi untuk berjaya dan mendedikasi pencapaian kepada jurulatih mereka yang tidak dapat bersama mereka di Thailand.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg