Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Takraw SG kini punyai pasukan nasional wanita

Sasaran utama skuad sembilan pemain layakkan diri ke Sukan SEA Kemboja 2023
Feb 22, 2021 | 05:30 AM



BUAT pertama kali dalam sejarah sepak takraw setempat, Singapura kini mempunyai pasukan nasional wanita.



Pasukan yang terdiri daripada sembilan pemain itu dibentuk pada 25 Disember lalu dan diberi tugas melayakkan diri ke pertandingan utama, terutama Sukan SEA Kemboja 2023.



Untuk mencapai sasaran tersebut, pasukan yang telah pun memulakan latihan sejurus pembentukannya itu perlu mencapai tiga tempat teratas dalam pertandingan kelayakan, terutama dalam Kejohanan Piala Raja Thai yang dijadual berlangsung pada September ini.



Satu lagi pertandingan penilaian yang akan disertai pasukan itu adalah Sukan Tertutup & Seni Mempertahankan Diri Asia yang dijadual diadakan di Bangkok pada Mac tahun depan.



"Saya berasa amat berbangga Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) akhirnya berjaya membentuk sebuah pasukan wanita yang akan mewakili negara dalam sepak takraw di peringkat serantau dan antarabangsa," kata jurulatih Mohamad Fami Mohamed.



Beliau diberi tanggungjawab menggalas tugas itu bersama seorang lagi bekas pemain negara Padzli Othman.



"Pembentukan pasukan sepak takraw wanita nasional ini adalah sebahagian visi Perses mengembangkan jangkauan sukan ini dalam kalangan masyarakat, terutama belia," tambah Fami, bekas pengumpan negara.



Pasukan wanita nasional yang sebilangan besarnya terdiri daripada pemain muda berusia di bawah 20 tahun itu dipilih daripada sejumlah 35 pemain yang tampil menghadiri tiga proses pemilihan yang dijalankan Perses antara November dengan Disember lalu.



"Kesemua sembilan pemain yang ada sekarang ini yang terbaik, berbakat dan berpotensi memberikan cabaran kepada pasukan wanita yang sedia ada.



"Di peringkat serantau, pasukan utama yang menguasai gelanggang sekarang ialah Thailand, Vietnam dan Malaysia/Filipina berdasarkan pungutan pingat dalam Sukan SEA Manila 2019.



"Manakala di peringkat Asia, tiga pasukan terbaik adalah Thailand, Korea Selatan dan Myanmar/Vietnam.



"Dengan menjalani latihan secara bersungguh-sungguh, pemain wanita Singapura ini berpotensi memberikan lebih daripada cabaran bagi pasukan yang bertanding di peringkat beginners atau Divisyen 1 Kejohanan Piala Raja Thai. Pasukan-pasukan yang bertanding di peringkat ini termasuk Pakistan, Iran dan India.



"Malah, saya yakin jika pemain-pemain ini mencapai tahap terbaik mereka menerusi latihan gigih, mereka mampu memberi saingan sengit kepada pasukan Malaysia dan Indonesia di peringkat lebih tinggi," ujar Fami, yang turut mengendalikan pasukan intermediate lelaki negara.



Beliau melahirkan harapan segala yang dirancangkan bagi pasukan wanita nasional ini akan menjadi kenyataan.



"Untuk mencapai misi mereka melayakkan diri ke Sukan SEA, pemain-pemain ini perlu terlebih dulu membuktikan keupayaan meraih tiga tempat teratas - pingat emas, perak atau gangsa - dalam Kejohanan Piala Raja Thai September ini.



"Kemudian kami akan menyerahkan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) untuk membuat penilaian," kata Fami lagi.



Mengulas pemilihannya mewakili negara dalam pasukan sepak takraw wanita pertama Singapura, Nur Ezzati Putri Rohaizat, 15 tahun, yang bermain sebagai striker, berkata beliau berasa berbangga serta berazam berlatih dengan tekun dan cuba mencapai sasaran yang ditetapkan dengan memenangi pertandingan yang diatur Perses.



"Saya juga ingin berjuang mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat dan buktikan bahawa kaum wanita Singapura juga boleh bermain takraw dengan baik," kata pelajar Menengah 3 Sekolah Menengah Queenstown itu.



Rakannya, tekong Nurul Ilyana Mohd Sokih, 18 tahun, pelajar ITE Kolej Central dalam bidang Latihan Kecergasan, pula giat memperbaiki servis kudanya.



"Saya bertekad berlatih bersungguh-sungguh dan berusaha mencapai sasaran yang ditetapkan. Memang menjadi impian saya merasai kepuasan menggenggam pingat dalam Sukan SEA."



Bagi pengumpan Sharifah Maswan, 19 tahun, beliau bercita-cita mengecap kejayaan sebagai sebuah pasukan dan menjadi pemain terbaik negara.



"Saya mula meminati sepak takraw sejak berusia enam tahun ketika menyaksikan ayah saya bermain sukan ini.



"Sehingga sekarang saya berusaha memperbaiki permainan saya dengan menyertai beberapa kelab tidak rasmi di estet kejiranan saya.



"Malah, penyertaan saya dalam sesi pemilihan skuad nasional juga atas dorongan jurulatih saya," kata pegawai logistik SingPost itu.




SKUAD TAKRAW WANITA NASIONAL



Bila dibentuk: Disember 2020



Komposisi: 9 pemain



Jurulatih: Md Fami Mohamed dan Padzli Othman



Sasaran: Layakkan diri ke Sukan SEA Kemboja 2023.



Jika dapat ke Sukan Asia Hangzhou, China, 2022 adalah satu bonus



Bila mula latihan: Disember 2020



Pertandingan persiapan:



- Sukan Tertutup & Seni Mempertahanan Diri Asia, Mac 2022



- Piala Raja Thai, Bangkok, September 2021




PROFIL PEMAIN:



Nama: Sharifah Maswan

Usia: 19 tahun

Posisi: pengumpan

Jawatan: Pegawai logistik SingPost

Kelab: Kelab tidak rasmi di kejiranan

Bila mula bermain: Sejak berusia enam tahun



Nama: Nurul Ilyana Mohd Sokih

Usia: 18 tahun

Posisi: Tekong

Jawatan: Pelajar ITE Kolej Central

Kelab: Tiada

Bila mula bermain: 2018



Nama: Nur Ezzati Putri Rohaizat

Usia: 15 tahun

Posisi: Striker

Jawatan: Pelajar Menengah 3 Sekolah Menengah Queenstown

Kelab: Nee Soon South (2020-2021), Radin Mas (2019-2020)

Bila mula bermain: 2017



Nama: Nurshahirah Muhamad Nasruun

Usia: 21 tahun

Posisi: Striker

Jawatan: Pelajar ITE Kolej Central

Kelab: Nee Soon CSC

Bila mula bermain: 2019



Nama: Auni Afrina Sumadi

Usia: 22 tahun

Posisi: Striker

Jawatan: Pekerja penghantaran

Kelab: Tiada

Bila mula bermain: 2012



Nama: Nur Haziqah Rosli

Usia: 17 tahun

Posisi: Tekong

Jawatan: Pelajar ITE Kolej West

Kelab: Tiada

Bila mula bermain: Sejak berusia 10 tahun



Nama: Siti Shahirah Sahlan

Usia: 16 tahun

Posisi: Pengumpan

Jawatan: Pelajar Sekolah Menengah Yishun

Kelab: Nee Soon South CSC

Bila mula bermain: 2020



Nama: Siti Norshakila Mohd Hattar

Usia: 22 tahun

Posisi: Tekong

Jawatan: Tidak bekerja

Kelab: ALS Sepak Takraw

Bila mula bermain: 2018



Nama: Masriza Masran

Usia: 20 tahun

Posisi: Tekong

Jawatan: Bekerja sendiri

Kelab: ALS Sepak Takraw

Bila mula bermain: 2016




ISNIN DEPAN: Daripada 'Minah takraw bawah blok' ke Pasukan Wanita Nasional Pertama



Ikuti kisah tiga gadis biasa memberanikan diri memasuki 'gelanggang kaum lelaki' dan menyahut cabaran wakili negara




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >