Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BINA BADAN

Legenda bina badan tampil bersuara

Jul 18, 2021 | 05:30 AM



MEREKA masih sihat, kekal segak dan yang paling ketara, tetap kelihatan gagah perkasa.



Tidak hairanlah ketika dalam sesi penggambaran yang diatur Berita Minggu (BM) baru-baru ini di sebuah gimnasium di kawasan Geylang, ramai yang terjenguk-jenguk dan ada pula memberanikan diri bertanyakan khabar.



Bagi yang mengikuti sukan bina badan setempat dan atlet muda, inilah Rohmat Juraimi, Fatholomein Ali, Ibrahim Sihat, Abdul Halim Haron, Ramlan Ramli dan Said Suib, jaguh-jaguh bina badan yang pernah mengharumkan nama Singapura di pentas antarabangsa satu ketika dulu.



Kalau ramai menyifatkan penggiat sukan bina badan sebagai 'Abang Sado', bekas jaguh-jaguh negara ini lebih cocok diberi gelaran lebih 'atas' iaitu 'Legenda'.



Legenda kerana mereka bukan sahaja menguasai arena bina badan setempat, malah di peringkat Asia Tenggara, Asia, Eropah dan dunia.



Rohmat, 75 tahun, yang paling senior dalam kalangan mereka sejak menjuarai pertandingan Mr Singapore pada 1969, pernah menguasai kejuaraan Mr Asia sebanyak tujuk kali selain merangkul gelaran juara keseluruhan Mr Asia 1973.



Di pentas antarabangsa, beliau wakil pertama negara tampil dalam kejohanan Mr Universe Persekutuan Bina Badan Antarabangsa (IFBB) 1970 di New York, Amerika Syarikat.



Di peringkat Mr Universe Persatuan Bina Badan Dunia (Waba), Rohmat pernah memenangi tiga tempat terbaik dan gelaran Peraga Terbaik Dunia empat kali.



Datuk tiga anak dan lapan cucu itu bersara dari pentas pertandingan pada 1977 selepas memenangi pingat emas Mr Asia di Calcutta, India, dan kini menguruskan gimnasium sendiri di Kuala Lumpur.



Fatholomein, kini 70 tahun, pula menjadi juara nasional sebanyak 15 kali dari 1976 hingga 1992; juara Asean enam kali (1976-1981); Mr Asia sembilan kali (1980-1990); Peraga Terbaik lima kali (1983-1990); dan tampil dalam kejohanan Mr Universe pada 1983, 1988 dan 1990 di mana beliau menduduki tempat ketiga (3rd runner-up).



Abang Fathol, gelaran yang diberi rakan-rakan seperjuangan, pernah menjadi jurulatih nasional dan membimbing atlet generasi seterusnya seperti Abdul Halim, Ramlan dan Nazarudin Seladin, sebelum bersara dan kini menguruskan perniagaan sendiri di Singapura dan Indonesia.



Ibrahim, 65 tahun, pula menjuarai kejuaraan nasional kelas bantam sebanyak 15 kali, Mr Asia lapan kali, Peraga Terbaik Asian lima kali, pingat emas Sukan SEA lima kali selain pingat perak Sukan Asia di Busan pada 2002.



Beliau masih giat ke gimnasium - dari 9 pagi hingga 1 petang - setiap hari untuk menjaga kesihatan dan membimbing penggiat yang meminta nasihatnya.



Dalam pertemuan singkat itu, jaguh-jaguh negara ini sempat menyuarakan pandangan mengenai perkembangan sukan bina badan.



"Saya lihat ramai ramai atlet yang mempunyai potensi menggalakkan, sayangnya, tidak ada persatuan yang diiktiraf untuk membimbing mereka.



"Bagi membolehkan atlet ini mencapai potensi, mereka perlukan sokongan persatuan yang diiktiraf Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) yang dapat bawa mereka ke tahap lebih tinggi.



"Untuk itu, pegawai-pegawai yang mahu mengendalikan persatuan sedemikian perlu mengetepikan semua isu baik kepentingan peribadi, bisnes mahupun berpolitik dan memusatkan perhatian untuk membimbing atlet dan menaikkan semula sukan bina badan ini," jelas Abdul Halim, pemenang pingat emas Sukan Asia Busan 2002, pingat emas Sukan SEA, finalis sukan dunia juara nasional enam kali.



Bapa empat anak ini kini menjadi jurulatih bebas dan memandu teksi. Beliaulah yang membantu BM mengatur interviu dengan jaguh-jaguh bina badan ini.



Demi membangunkan semula sukan bina badan setempat, Persatuan bagi Sukan Bina Badan dan Susuk Badan (Singapura) atau ABPS (Singapore), telah ditubuhkan untuk memberi nafas baru kepada usaha mengembalikan era kegemilangannya.



Sasaran utama mereka adalah membentuk skuad bina badan bagi mewakili negara dalam kejohanan besar yang pernah disertai sebelum ini seperti Sukan SEA, Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia.



ABPS (Singapore) telah membuat permohonan kepada SNOC untuk diiktiraf sebagai sebuah persekutuan sukan nasional (NSA) bagi membolehkannya mengumpul dan melatih atlet bina badan serta membangunkan semula sukan itu.



SNOC masih dalam proses menimbangkan permohonan tersebut.



Memberikan pandangannya, Ibrahim, yang pernah menjadi jurulatih nasional, berharap SNOC dapat segera menerima balik persatuan yang menaungi atlet bina badan setempat.



"Saya amat alu-alukan usaha mengembalikan kegemilangan sukan bina badan setempat. Sukan ini pada masa lalu pernah mengharumkan negara di pentas dunia dan atlet-atletnya membawa pulang banyak pingat emas dan kejuaraan dunia.



"Kita perlu pandang ke masa depan dan atlet-atlet kita amat perlukan sokongan," katanya.



Ramlan, 53 tahun, bekas juara Mr Komanwel, dan Suib, 58 tahun, bekas juara tiga kali Sukan SEA, akur.



"Singapura perlu ada sebuah persatuan yang kuat, teratur dan bersih untuk menambat semula sokongan SNOC. Mereka perlu menjalin hubungan yang baik untuk memajukan semula sukan ini," kata Ramlan, yang kini memberi bimbingan sebagai jurulatih bebas.




Anda rindu pada Rohmat Juraimi? Ikuti rakaman video temu buah Berita Minggu dengan legenda bina badan negara itu di Berita HarianSG.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >