
TINJU telah mengubah hidupnya dan bekas petinju Singapura, Muhamad Ridhwan, berharap sukan seni mempertahankan diri itu dapat memberikan impak yang sama kepada orang lain.
Justeru, Ridhwan, 35 tahun, yang kini merupakan jurulatih bersama pasukan tinju nasional, tergerak hati untuk menubuhkan satu program tinju masyarakat.
Dinamakan program 'Unboxing', ia bertujuan mengajar belia berisiko dan bekas pesalah teknik bertinju dan kemahiran kehidupan sambil memupuk disiplin dan sifat mengawal diri.
"Untuk saya, sukan tinju telah banyak mempengaruhi diri saya. Ia telah menjadikan saya orang yang lebih baik di luar dan di dalam gelanggang," kata Ridhwan kepada Berita Harian (BH).
Idea bagi inisiatif itu tercetus pada 2014 apabila beliau menerima permintaan daripada pelbagai individu - termasuk mereka yang baru keluar dari penjara serta dewasa dan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah - yang ingin cuba bertinju tetapi tidak mampu membayar yuran latihan.
Ridhwan, yang juga pemilik bersama gimnasium tinju, Legends Fight Sport, mengadakan latihan ad hoc dan acara relawan untuk menyediakan platform bagi golongan ini menceburi sukan tersebut.
Bagaimanapun, program 'Unboxing' baru-baru ini mendapat lebih sokongan melalui Geran Warga Aktif agensi sukan Singapura, Sport Singapore.
Geran itu, yang dilancarkan pada April 2022, menyediakan dana untuk atlet Team Singapore memulakan usaha amal atau sosial mereka, bertujuan menyumbang kembali kepada masyarakat.
Dana yang diperoleh membantu Ridhwan mendekati lebih ramai peserta untuk mencuba sukan tinju dan membiayai kos pengendalian program serta kos pengangkutan untuk membawa peserta datang ke gimnasium, kata beliau.
Program dipertingkat itu dilancarkan pada setiap Sabtu sejak 4 Mac.
Sesi pertamanya disertai oleh kanak-kanak daripada estet kejiranan susah di bawah inisiatif Blessings In A Bag.
Ridhwan menambah beliau juga menyasar untuk mengubah tanggapan orang ramai mengenai tinju melalui program 'Unboxing'.
"Set minda zaman dahulu tentang tinju adalah mereka yang bertinju biasanya suka membuat kacau...Inilah caranya untuk mendidik semula generasi baru bahawa perkara itu tidak benar," ujar beliau.
"Ramai orang boleh mengaitkan diri mereka dengan sukan tinju. Mereka tidak perlu menjadi petinju selepas mengikuti program ini, tetapi mereka dapat meraih pengalaman hidup yang dipelajari dalam tinju untuk digunakan dalam kehidupan seharian mereka.
"Saya fikir semua orang adalah pejuang tetapi mereka berjuang pada fasa berbeza dalam hidup mereka," tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg