Tarungan hebat Manny Pacquiao dan Amir Khan sah 23 Apr

MANILA: Wira tinju Filipina, Manny Pacquiao, dan Britain, Amir Khan, mengesahkan secara berasingan pada Ahad (26 Feb) mereka akan menentang satu sama lain pada 23 April, selepas laporan bercanggah sejak beberapa minggu lalu.

Pacquiao, 38 tahun, menulis tweet: "Rundingan antara pasukan Pacquiao dan pasukan Khan telah mencapai syarat bagi pertarungan 23 April kerana inilah yang peminat mahu #PacquiaoKhan."

Beberapa minit kemudian, Khan, 30 tahun, menyiarkan di Twitter rasmi beliau: "Pasukan saya dan saya bersetuju dengan syarat-syarat Manny Pacquiao dan pasukannya bagi satu perlawanan hebat #pacquiaokhan #April23rd."

Kedua-duanya tidak menyatakan tempat bagi perlawanan tersebut tetapi sumber di pejabat Pacquiao berkata ia akan diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Promoter Pacquiao, Bob Arum, sebelum ini dipetik sebagai memberitahu ESPN "Manny cuba mendapatkan perlawanan itu dijalankan di UAE, dan penduduk di sana lebih suka dia melawan Amir Khan".

Pacquiao mengumumkan persaraannya tahun lepas tetapi turun gelanggang lagi dan mengalahkan Jessie Vargas di Las Vegas, Amerika Syarikat, untuk memenangi tali pinggang welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) November lalu. - AFP