TAK kenal maka tak cinta.
Atlet taekwondo Singapura, Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi, pada awalnya tidak begitu berkenan dengan sukan seni mempertahankan diri.
Namun, selepas diperkenalkan kepada taekwondo di sekolah menengah dan bakatnya dicungkil jurulatih, beliau terdorong untuk mencubanya dan sehingga kini, "melekat" pada sukan asal Korea Selatan itu.
"Sebenarnya, saya tidak begitu minat pada taekwondo. Tapi, disebabkan sekolah saya ingin menghantar pelajar untuk mengambil bahagian dalam pertandingan, saya adalah antara mereka yang mempunyai potensi dan dipilih oleh jurulatih," kongsi Diyanah ketika ditemui Berita Harian (BH) di pusat latihan taekwondon, Induk Taekwondo, di Mountbatten, baru-baru ini.
"Sejak itu, saya menyertai taekwondo sebagai kegiatan kokurikulum dan mula jatuh cinta padanya," tambah beliau, yang pernah bersama kumpulan tarian Melayu, Sriwana, dan menyertai kelab drama di bangku sekolah.
Diyanah, yang menyambut ulang tahun ke-23 bulan depan, bakal beraksi buat kali ketiga dalam Sukan SEA.
Beliau akan mewakili negara dalam acara poomsae individu wanita hari ini di Hanoi, Vietnam. Namun, penampilannya kali ini berbeza.
Diyanah akan bertanding secara solo, berbanding dua edisi sebelumnya - di Kuala Lumpur pada 2017 dan Filipina pada 2019 - yang mana beliau sebahagian trio dalam acara poomsae pasukan wanita.
"Apabila bersaing dalam acara berpasukan, saya disokong oleh rakan sepasukan lain. Tapi, sekarang saya beraksi seorang diri, jadi saya menanggung tekanannya sendiri.
"Namun begitu, tekanan itu bagus untuk diri saya. Ia mendorong saya untuk melakukan yang lebih baik," katanya, yang mula taekwondo pada usia 13 tahun dan memasuki pasukan nasional setahun kemudian.
Antara cabaran lain yang harus ditempuhi termasuk hanya dapat bersaing dalam pertandingan maya di tengah-tengah pandemik Covid-19 dan perlu menjalani persiapan bagi Sukan SEA serta kejohanan besar lain semasa tempoh peperiksaannya.
Diyanah, pelajar diploma dalam pengajian pengurusan di Institut Pengurusan Singapura (SIM), kembali bertanding secara fizikal di medan antarabangsa pada 1 hingga 3 Mei lalu.
Beliau mewakili negara dalam Kejohanan Taekwondo Asean di Ho Chi Minh, Vietnam, dan sekaligus berjaya meraih dua pingat gangsa dalam acara poomsae individu senior wanita serta poomsae berpasukan wanita bersama Megan Chin dan Tan Wei Jia.
Tiga minggu kemudian, beliau beraksi di pentas Kejohanan Poomsae Taekwondo Sedunia di Goyang, Korea Selatan.
Meskipun terkandas di pusingan pertama, Diyanah berkata: "Saya menimba banyak pengalaman di Kejohanan Sedunia sebab saya melihat ramai atlet hebat dan dapat belajar daripada mereka.
"Saya juga mempelajari bahawa walaupun saya tewas, ia tidak mengapa selagi saya memberikan yang terbaik."
Namun begitu, Diyanah tetap yakin dengan keupayaannya dan sasar untuk mengakhiri kemarau pingat di Sukan SEA ini.
"Saya pastinya ingin membawa pulang sebutir pingat. Itu matlamat saya sebab saya telah dua kali ke Sukan SEA tapi pulang dengan tangan kosong.
"Ia sememangnya peluang baik untuk ke Sukan SEA dan bersaing untuk negara. Tapi, untuk pulang dengan sebutir pingat, ia adalah antara sasaran yang ingin saya capai dalam kerjaya sukan saya," tambah anak sulung daripada tiga beradik itu.
HARAPAN TAEKWONDO
"Saya pastinya ingin membawa pulang sebutir pingat. Itu matlamat saya sebab saya telah dua kali ke Sukan SEA tapi pulang dengan tangan kosong. Ia sememangnya peluang baik untuk ke Sukan SEA dan bersaing untuk negara. Tapi, untuk pulang dengan sebutir pingat, ia adalah antara sasaran yang ingin saya capai dalam kerjaya sukan saya.'' - Diyanah Aqidah
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg