Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

TENIS

Siapa pemain terbaik dalam sejarah?

Feb 06, 2022 | 05:30 AM



Berdasarkan pencapaiannya di Terbuka Australia minggu lalu, Rafael Nadal kini boleh dianggap sebagai pemain tenis paling berjaya dalam sejarah sukan itu. Namun, adakah gelaran itu, yang hanya berdasarkan bilangan 'Grand Slam' yang dimenanginya sah? BERITA MINGGU meneliti rekod Nadal dan pesaing utamanya untuk membuat keputusan lebih bijak mengenai siapa pemain tenis paling berjaya dalam sejarah.




MINGGU lalu, Rafael Nadal, 35 tahun, memenangi kejuaraan 'Grand Slam' ke-21 di Melbourne, pencapaian rekod yang memberinya kelebihan ke atas pesaing terdekat Roger Federer dan Novak Djokovic dalam 'perlumbaan' menjadi pemain tenis paling berjaya dalam sejarah.



Sebelum kejohanan 'Grand Slam' pertama bagi 2021 itu, Nadal, Federer dan Djokovic masing-masing terikat dengan 20 kejuaraan 'Grand Slam'.



Menilai pencapaian ketiga-tiga pemain hebat ini, yang tentu sekali antara pemain terbaik dalam sejarah, semata-mata dengan meneliti bilangan trofi yang dimenangi tidak akan memberikan gambaran yang menyeluruh tentang ketangkasan mereka.



Angka tidak menunjukkan bagaimana mereka beraksi dengan cara yang berbeza dan di gelanggang yang berlainan. Statistik juga tidak mampu menunjukkan bagaimana mereka menggunakan kekuatan jasmani dan mental untuk mengatasi cabaran dalam laluan menjadi juara.



Namun angka tetap berguna, sekurang-kurangnya untuk memberikan platform yang setara untuk memulakan perbincangan mengenai pemain terbaik dalam sejarah. Ikuti butiran tiga pemain tersebut.



TIGA PESAING UTAMA 



Pada 2009, apabila Federer, yang pada ketika itu berusia 29 tahun mengatasi rekod 15 kemenangan 'Grand Slam' milik Pete Sampras, tidak ramai yang menjangka rekod itu akan dipecahkan lagi.



Pada saat itu, Nadal, 23 tahun, telah memenangi enam kejuaraan 'Grand Slam' dan Djokovic, 22 tahun, baru sahaja memenangi Terbuka Australia, dan kejuaraan 'Grand Slam' pertama.



Namun, selepas memenangi sekurang-kurangnya satu kejuaraan 'Grand Slam' setahun dari 2003 hingga 2010, 'form' Federer mula merosot pada 2011. Secara kebetulan Djokovic mula bangkit dan menunjukkan 'taring'.



Federer memenangi kejuaraan Wimbledon pada 2012, tetapi kecederaan berulang dan 'form' seteru yang lebih baik bergabung untuk mengundang permulaan 'kemarau' 'Grand Slam' bagi beliau, dan warga Switzerland itu tidak memenangi sebarang gelaran utama selama empat tahun.



Federer dianggap telah 'habis' pada ketika itu, tetapi pada 2017, kecederaan yang dialami Nadal dan Djokovic membolehkan Federer kembali menakluk gelanggang tenis dan beliau berjaya mengekalkan jurang tiga 'Grand Slam' dengan dua pesaing terdekat itu.



Namun, pada 2019, Nadal dan Djokovic masing-masing memenangi dua 'Grand Slam', merapat jurang dengan Federer, sehingga Nadal menyamai bilangan kemenangan 'Grand Slam' Federer selepas memenangi Terbuka Perancis 2020.



Pada tahun selanjutnya, Djokovic, kini 34 tahun, memenangi tiga kejuaraan 'Grand Slam' - Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Wimbledon - untuk menyamai kedudukan dengan Nadal dan Federer.



Namun, Djokovic terlepas peluang untuk memenangi Terbuka Australia yang kesembilan bulan lalu, apabila beliau dihantar pulang dari Australia tanpa bertanding, kerana dianggap telah melanggar undang-undang vaksinasi di negara itu.



Namun, Djokovic adalah yang paling muda antara tiga pesaing utama ini, dengan Federer, kini berusia 40 tahun, juga tidak beraksi di Melbourne angkara kecederaan lutut.



GELANGGANG BERBEZA, PRESTASI BERBEZA? 



Ada orang yang berpendapat Nadal - yang dianggap lebih handal apabila beraksi di gelanggang tanah liat seperti di Terbuka Perancis - bermakna beliau bukan pemain yang selengkap Federer dan Djokovic.



Nadal telah memenangi 13 daripdaa 21 'Grand Slam' di Paris. Rekod ini adalah rekod kemenangan terbaik, bukan sahaja apabila dibandingkan dengan rekod Federer atau Djokovic, malah dengan pemain lain dalam sejarah.



Namun Federer dan Djokovic juga mempunyai gelanggang 'kegemaran' tersendiri.



Djokovic telah memenangi sembilan daripada 20 'Grand Slam' di Terbuka Australia, sementara Federer telah memenangi lapan daripada 20 kejuaraan utama di gelanggang rumput Wimbledon.



Namun, Federer belum lagi meraih sekurang-kurangnya dua kemenangan di gelanggang yang sama - pencapaian yang pertama kali diraih oleh Djokovic, dan selepas Terbuka Australia, Nadal.



Ini bermakna Nadal dan Djokovic masing-masing telah memenangi setiap 'Grand Slam' dua kali. Federer hanya memenangi Terbuka Perancis sekali.



SIAPA LAWAN SIAPA? 



Bagaimana pula prestasi tiga pemain unggul ini apabila bertemu antara satu dengan lain. Djokovic mempunyai rekod yang lebih baik dalam pertemuan dengan Nadal dan Federer.



Namun, Nadal mempunyai rekod lebih baik dalam pertemuan dengan Djokovic dalam kejohanan Grand Slam.



Beliau juga lebih kerap menewaskan Federer apabila kededua pemain itu bertemu.



BERAPA LAMA DI RANKING NOMBOR 1?



Satu cara mencongak kehandalan pemain-pemain ini dan daya tahan mereka di puncak tenis dunia adalah dengan melihat tempoh mereka berada di ranking nombor satu dunia.



Djokovic telah kekal paling lama di ranking nombor satu dunia dan telah memegang kedudukan itu sejak Februari 2020.



Kejayaan Nadal menewaskan Medvedev di final Terbuka Australia minggu lalu bermakna kedudukan Djokovic di ranking itu tidak akan terganggu bagi minggu ke-357 dalam kerjayanya.



Rekod ini lebih banyak berbanding 310 minggu yang dipegang Federer di tangga tertinggi ranking dunia.



Ini disusuli Pete Sampras (287 minggu); Ivan Lendl (270 minggu); Jimmy Cornors (268 minggu); dan Nadal (209 minggu).



PRESTASI DI KEJOHANAN BESAR LAIN 



Kejohanan 'Grand Slam' mungkin mendapat paling banyak perhatian', tetapi ada banyak lagi kejohanan lain yang boleh diambil kira bagi menilai kehandalan tiga pemain utama ini.



Dibandingkan dengan Nadal dan Djokovic, Federer telah memenangi bilangan gelaran terbanyak dalam kerjayanya.



Malah, hanya atlet Amerika Syarikat Conors yang memenangi lebih banyak gelaran - iaitu 109 kejuaraan.



Federer juga telah memenangi lebih banyak ATP Tour Finals, yang dianggap ramai sebagai Grand Slam kelima.



Federer telah memenangi enam Finals sedemikian, yang merangkumi pusingan kumpulan dan kalah mati bagi lapan pemain terbaik dunia dalam sesebuah musim.



Ini diikuti Djokovic, yang telah memenangi kejohanan itu lima kali, sementara Nadal belum lagi memenanginya.



Nadal telah menjadi naib juara dua kali - tewas kepada Federer pada 2010 dan kepdaa Djokovic pada 2013 - tetapi beliau juga terlepas beraksi dalam lima daripada 10 kejohanan yang lalu.



Menyusuli 'Grand Slam' dan Tour Finals, peringkat kejohanan selanjutnya dinamakan Masters.



Sejak 2009, kejohanan sedemikian telah diadakan di gelanggang keras seperti di Indian Wells, Miami, Canada (berubah-rubah antara Montreal dan Toronto), Cincinnati, Shanghai dan Paric Bercy; serta di gelanggang tanah liat di Monte Carlo, Madrid dan Rome.



Tahun lalu, Shanghai tidak mengadakan kejohanan kerana pandemik dan hanya lapan kejohanan Masters diadakan.



Djokovic memenangi kejohanan di gelanggang tertutup di Paris untuk memenangi kejuaraan Masters ke-37 dan mengatasi Nadal, yang memenangi Masters di Rome pada awal tahun itu.



Mengikuti pasangan yang berjaya ini adalah Federer, Andre Agassi dan Andy Murray.



Pada 2018, Djokovic menjadi lelaki pertama dan satu-satunya pemain tenis yang memenangi semua enam kejohanan Masters dalam setahun.



Selepas membaca artikel ini, siapakah yang sepatutnya mendapat gelaran Greatest of All Time (Goat)?



Jawapannya, tidak begitu mudah. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >