Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada emas tapi Sheik bangga prestasi pesilat negara

Aug 30, 2018 | 5:30 AM
PENGALAMAN BERHARGA: Muhammad Iqbal Abdul Rahman menamatkan rutinnya dalam acara Tunggal Putera di tempat kelima semalam. - Foto BH oleh KEVIN LIM
PENGALAMAN BERHARGA: Muhammad Iqbal Abdul Rahman menamatkan rutinnya dalam acara Tunggal Putera di tempat kelima semalam. - Foto BH oleh KEVIN LIM -

SEKALIPUN gagal memenuhi matlamat awal membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat emas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (SSF), Sheik Alau'ddin Yaacob Marican, melahirkan rasa bangga dan gembira dengan prestasi anak didiknya di temasya Sukan Asia Indonesia ini.

Dengan seni mempertahankan diri tradisional ini diperkenalkan buat pertama kali dalam sejarah sukan terbesar rantau ini, pesilat negara boleh berbangga menamatkan saingan dengan memenangi dua pingat perak dan tiga gangsa.

Di hari terakhir acara itu dipertandingkan semalam, nasib sekali lagi tidak menyebelahi pesilat negara.

Turun beraksi pada sebelah pagi bagi acara seni Tunggal Putera, Muhammad Iqbal Abdul Rahman terpaksa berpuas hati menduduki tempat kelima selepas memperolehi 432 mata.

Singapura turut nyaris-nyaris terlepas pingat dalam dua acara lain - pertama melalui acara seni Ganda Puteri yang menampilkan Nur Azlyana Ismail dan Nurhanishah Shahrudin dan kemudian melalui acara Regu Puteri yang diwakili Nurzuhairah Mohd Yazid, Nur Azlyana dan Nurul Syafiqah Mohd Faizul - apabila menamatkan acara masing-masing di tempat keempat.

Diminta mengulas persembahan keseluruhan anak didiknya semasa dihubungi semalam, Sheik Alau'ddin berkata:

"Mereka telah menunjukkan persembahan terbaik sejauh ini.

"Namun sedihnya, cara pengadilan yang kurang baik menjejas Singapura dengan teruk sekali.

"Kami akan terus bertanding untuk perbaiki persembahan kami dalam pertandingan akan datang.

"Saya juga gembira kami dapat menyumbang lima pingat kepada senarai pingat Singapura.

"Mereka semua telah melakukan pelbagai pergorbanan dan gigih menjalani latihan keras... segala ini menjadikan kami sebuah keluarga yang erat menerusi silat."

Baru-baru ini, Sheik Alau'ddin, pernah melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan wasit yang dianggap berpihak kepada pasukan tuan rumah.

Menurut beliau selain Singapura, beberapa lagi negara yang menyertai pertandingan silat di kejohanan ini kecewa dengan keputusan wasit - gelaran yang diberikan kepada pengadil dalam pertandingan silat.

Secara keseluruhannya, skuad pencak silat negara ini meraih dua perak menerusi Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin dalam final Kelas I (85-90kg) dan Nurzuhairah Yazid, yang mendapat tempat kedua dalam acara seni tunggal puteri.

Tiga pingat gangsa negara diperolehi Sheik Farhan Sheik Alau'ddin menerusi tanding kelas J (90-95 kilogram); Siti Khadijah Mohd Shahrem menerusi tanding puteri kelas C (55-60 kilogram); dan Nurul Shafiqah Mohd Saiful menerusi acara tanding puteri kelas B (50-55 kilogram).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg