Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

MENJELANG SUKAN SEA

Tiada sasaran pingat bagi Team SG

Ketua SSI akur atlet negara lalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh pandemik
Apr 28, 2022 | 05:30 AM



TIADA sasaran pingat yang ditetapkan bagi Team Singapore di Sukan SEA akan datang, kata Ketua Institut Sukan Singapura (SSI), Dr Su Chun Wei.



Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai jumlah pingat emas yang disasar Singapura di temasya dwitahunan itu yang berlangsung 12 hingga 23 Mei ini di Hanoi, Vietnam dalam satu sidang media semalam, Dr Su sebaliknya menitikberatkan kemajuan dan pencapaian para atlet dalam meraih keputusan peribadi terbaik mereka.



Beliau memberi lebih fokus kepada tahap persembahan kerana akur pandemik Covid-19 telah membawa pelbagai cabaran untuk atlet negara berlatih dan bersaing.



"Kami sedar bahawa dua tahun lalu adalah tempoh yang sukar, di mana kami harus bergelut untuk bangkit semula sebagai sebuah negara, termasuk juga dalam sukan," kata Dr Su.



"Ia munasabah untuk menjangkakan atlet membuat yang terbaik mereka dan berbekalkan proses itu, ia akan disusuli dengan pingat. Jumlah pingat adalah sesuatu yang kami tidak ingin terburu-buru untuk menetapkan.



"Mari kita fokus pada perjalanan atlet dan keupayaan mereka untuk menyatukan negara dan memberikan yang terbaik. Kemudian, kami akan dapat lihat hasilnya."



Singapura akan diwakili 427 atlet dalam 33 cabang sukan di edisi ke-31 temasya sukan itu, yang ditunda daripada tarikh asal, Disember 2021, akibat pandemik Covid-19.



Sebanyak 526 acara daripada 40 sukan akan dipertandingkan di Vietnam, iaitu kali kedua negara tersebut menjadi tuan rumah sejak penampilan pertamanya pada 2003.



Daripada kontinjen Singapura tahun ini, 243 atlet bakal diperkenalkan kepada pentas temasya sukan Asia Tenggara itu buat julung-julung kalinya.



Semalam, juara dunia tiga kali silat Sheik Farhan Sheik Alau'ddin turut diumumkan sebagai pembawa bendera Singapura di majlis pembukaan Sukan SEA pada 12 Mei ini. Bagaimanapun, kempen Team Singapore di Vietnam akan bermula lebih awal - di acara bola tangan pantai yang bermula 6 Mei.



Farhan, juara Sukan SEA 2017, berkata: "Mewakili Singapura sentiasa istimewa untuk saya. Untuk dipilih mengetuai kontinjen sebagai pembawa bendera pada kali ini, ia akan menjadikan Sukan SEA ini paling diingati buat saya. Saya tidak sabar untuk kembali bersaing di temasya sukan utama dan menikmati pengalaman di Hanoi."



Selain itu, kontinjen Sukan SEA Singapura seramai 736 anggota, termasuk 209 pegawai, akan menerima satu pek penjagaan.



Pek itu, yang merangkumi pelitup, kit ART, sanitiser tangan dan bekalan makanan, diberi kerana Sukan SEA kali ini tidak menyediakan sebuah wisma atlet di satu lokasi berpusat bahkan akan diadakan di 12 wilayah.



Oleh itu, empat doktor, 20 ahli fisioterapi dan tujuh jurulatih akan dikerahkan untuk ke Hanoi, kata ketua pegawai perubatan Team Singapore, Dr Kelvin Chew. Setiap pasukan akan juga disertai seorang pegawai perubatan untuk memenuhi keperluan masing-masing.



Dr Chew menambah bahawa di Hanoi, atlet negara akan diletakkan dalam 'gelembung' dan digalak untuk hanya membuat perjalanan dari hotel ke tempat latihan/pertandingan sebagai langkah mengurangi risiko jangkitan Covid-19. Di sana, mereka perlu mengambil ujian ART bagi Covid-19 sehari sebelum perlawanan dan sekali setiap tiga hari.



Rombongan Sukan SEA Singapura tahun ini akan dipimpin bekas atlet taekwondo, S. Sinnathurai, yang dilantik sebagai 'cef-de-mission' (CDM). Bekas pelari pecut negara, Asmah Hanim, dan bekas penembak negara, Damien Ler, akan berkhidmat sebagai penolong beliau.



Mengulas mengenai peranannya, Sinnathurai berkata: "Edisi Sukan SEA ini adalah edisi yang belum pernah berlaku sebelumnya. Selepas setahun ditangguh, atlet kita sangat bersemangat untuk bersaing dan menguji latihan serta kerja keras mereka sejak beberapa tahun lalu."



Di Sukan SEA Filipina pada 2019, Singapura menghantar kontinjen terbesarnya seramai 659 atlet yang bertanding dalam 48 sukan. Mereka membawa pulang 53 pingat emas, 46 perak dan 68 gangsa.



Pungutan 84 emas, 73 perak dan 102 gangsa di Sukan SEA 2015 di laman sendiri kekal menjadi persembahan terbaik negara, sementara edisi 2017 di Kuala Lumpur (58 emas, 59 perak dan 71 t gangsa) adalah persembahan luar negara terbaik Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >