Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

IKON SUKAN

Tiada siapa main secantik Pele

Jan 09, 2023 | 05:30 AM



LEGENDA Brazil Pele, yang meninggal dunia pada usia 82 tahun pada 29 Disember, secara meluas dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, tokoh sukan ikonik negara yang menganggap negaranya sebagai rumah rohani sukan itu.



Kehebatan Pele boleh diukur dengan fakta mudah - beliau boleh menjadikan bola sepak tontonan indah.



Ia indah ketika beliau menjaringkan gol, dan tetap indah walau sebanyak mana beliau terlepas peluang menjaringkan gol.



Sebagai salah seorang personaliti bola sepak global pertama, Pele mencipta sejarah dunia dengan menjaringkan 1,281 gol dalam 1,363 perlawanan, dan mempamerkan kecemerlangan sepanjang kerjayanya - dari zaman remaja semasa bermain bagi Santos hingga akhirnya mendapat bayaran luar biasa lumayan bermain bagi New York Cosmos.



Setiap kali bola sepak dimainkan, nama Pele akan disinonim dengannya.



Pele - budak genius



Pele mula bermain semasa remaja bersama Bauru FC di Sao Paulo, di bawah bimbingan bekas pemain antarabangsa Brazil Waldemar de Brito.



Apabila mendapat perhatian pemain elit Brazil, beliau memilih menyertai kelab pengasuhnya, Santos.



Tidak lama selepas itu, beliau menyertai pemain senior - semasa berusia 15 tahun - pada 7 September 1956, menjaringkan gol pertamanya dalam kemenangan 7-1 ke atas Corinthians Santo Andre.



Pele memastikan Santos bukan menguasai Brazil sahaja, malah memenangi kejohanan Copa Libertadores - kejohanan Amerika Selatan setanding Champions League - pada 1962 dan 1963, dengan kemenangan ke atas Penarol dari Uruguay dan Boca Junior dari Argentina.



Dengan cepat beliau menjadi terkenal di arena antarabangsa, apabila pada usia 16 tahun sembilan bulan, Pele mengenakan jersi Brazil buat kali pertama menentang Argentina di Maracana.



Beliau menjaringkan gol pertamanya daripada 77 gol dalam 92 perlawanan bagi Brazil, walaupun Brazil kalah kepada Argentina 2-1 waktu itu.



Saingan utama Pele ketika itu ialah legenda Portugal, Eusebio, tetapi apabila mereka berdepan sebagai lawan dalam kejohanan Intercontinental Cup pada 1962, pertandingan antara pemenang kejohanan Copa Libertadores dan European Cup, hanya ada satu pemenang.



Pele menjaringkan hatrick dalam perlawanan antara Santos, yang menang 5-2, menentang Benfica, di Maracana di Stadium of Light.



Di Brazil, Pele sering dikaitkan dengan Santos. Beliau menjaringkan 619 gol dalam 638 perlawanan yang disertainya.



Kecermelangan sama dipamerkan Pele apabila mewakili negaranya - membuat beliau mendapat gelaran pemain terunggul Brazil.



Wira Brazil di Piala Dunia



Pele mempesona dunia semasa berusia 17 tahun apabila beliau menjaringkan dua gol ketika Brazil mengalahkan Sweden 5-2 dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1958.



Tetapi kecemerlangan Pele semakin menyerlah di tengah-tengah bintang legenda dalam Piala Dunia 1970, apabila beliau menjaringkan gol pembukaan bagi kemenangan Brazil 4-1 ke atas Italy, dalam perlawanan akhir di Stadium Aztec di Mexico.



Cerita Pele ini melengkapkan kisah pasukan Brazil dan Santos apabila dalam permainan bola sepak modern, banyak menjadikan jersi "nombor 10" istimewa, kerana jersi itu dipakai Pele, pemain yang nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento dan disifatkan sebagai yang pertama dan terunggul.



Apabila ada perbahasan bagi menamakan siapa pemain terbaik dalam pertandingan Piala Dunia, saingan Brazil ialah Argentina. Nama mendiang Diego Maradona turut disebut-sebut. Argentina menyebut Lionel Messi bagi menyaingi kecermelangan Pele.



Namun, Pele tidak mempunyai sebarang rekod hitam seperti Maradona.



Contohnya, bintang Argentina itu diperintahkan pulang semasa pertandingan Piala Dunia 1994 kerana didapati positif menggunakan dadah ephedrine.



Bagaimanapun, Messi menempah nama apabila negaranya memenangi Piala Dunia 2022.



Pele juga pernah kecewa dalam Piala Dunia, dan yang lebih mengecewakan ialah apabila beliau dicederakan dalam pertandingan di England pada 1966.



Beliau terpaksa diusung keluar dalam pertandingan di mana Brazil dikalahkan 1-3 oleh Portugal di Goodison Park, berikutan beberapa kekasaran hingga lutut kanannya terpaksa dibalut.



Kecederaan itu dialami semasa perlawanan pertama Brazil menentang Bulgaria dan Pele amat kesal akan kekasaran itu dan berjanji tidak akan bermain lagi dalam Piala Dunia - dunia bola sepak gembira apabila beliau menarik balik keputusan itu.



Kemenangan Brazil dalam Piala Dunia 1970 kemuncak kerjaya Pele. Beliau menjadi tumpuan perhatian sebuah pasukan impian.



Pele mungkin menjadi tajuk utama berita, tetapi beliau turut didampingi pemain terbaik seperti Rivelino, Jairzinho, Tostao dan Gerson, serta kapten Brazil Carlos Alberto.



Imej Pele tak berbaju dijulang rakan sepasukan dan penyokongnya selepas menjuarai Piala Dunia di Mexico, bersama satu lagi foto beliau tidak berbaju berpelukan dengan kapten England Bobby Moore adalah satu isyarat penuh rasa hormat antara mereka, selepas Brazil menang 1-0 dalam perlawanan pembukaan di Guadalajara.



Gagal tapi luar biasa



Dua peristiwa bukti kecemerlangan Pele dalam Piala Dunia Mexico 1970, iaitu apabila beliau gagal menjaringkan gol namun masih digunakan hingga ke hari ini bagi menunjukkan kemahiran, kekuatan, keunggulan dan kepantasan serta ketangkasan mental, yang menandakan beliau pemain paling hebat yang pernah menghiasi arena bola sepak.



Pertama, semasa perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Brazil menentang Czechoslovakia, apabila Pele, yang berada di tengah padang, menerima hantaran bola dan melihat penjaga gol pasukan lawan Ivo Viktor berada jauh dari gawangnya.



Dengan cara sangat menarik, Pele menendang tinggi ke arah pintu gol, tetapi bola terkeluar hanya beberapa centimeter saja. Kejadian itu melegakan penjaga gol yang cemas dan mengelakkannya mendapat malu, gara--gara kecemerlangan Pele itu.



Satu lagi ketika perlawanan separuh akhir menentang Uruguay. Sekali lagi Pele berlari dengan lajunya mengejar bola yang dihantar Tostao, dan berjaya mendahului penjaga gol Ladislao Mazurkiewicz.



Namun, bola berada disudut sempit dan Pele gagal menjaringkan gol.



Bagaimanapun, peristiwa itu menjadi suatu insiden paling mengelirukan penjaga gol sepanjang sejarah Piala Dunia.



Pele sebagai ikon global



Kemuncak kerjaya Pele ialah apabila beliau mendapat tawaran dengan bayaran amat tinggi pada ketika itu.



Apabila Liga Bola Sepak Amerika Utara ditubuhkan, bagi mempopularkan bola sepak di Amerika Syarikat, Pele tidak syak lagi menjadi tumpuan utama mereka.



Pemain terkemuka Jerman Franz Beckenbauer juga menjadi perhatian, tetapi Pele menyemarakkan lagi suasana, mengetuai pasukan Stateside pada 1975 sebagai kerjaya terakhirnya bersama New York Cosmos.



Itulah reputasi sedunia Pele - namanya saja cukup untuk menambah kredebiliti sesebuah pasukan.



Tirai kerjayanya mula dilabuhkan, dengan satu perlawanan pertunjukan antara Cosmos dan Santos di Stadium Giant di New York pada Oktober 1977, setelah beliau mengetuai pasukan itu menjadi juara pada musim ketiga dan terakhir bersama kelab itu.



Pele boleh dikatakan superstar global pertama bola sepak, satu sanjungan yang kekal sekalipun setelah beliau berhenti bermain.



Sebut saja namanya, terjelma gambaran sebuah pasukan Brazil yang cemerlang dan memicu pelbagai kenangan dari Maracana hingga ke Mexico.



Kehidupan selepas bola sepak



Pele berkunjung ke seluruh dunia sebagai duta bola sepak, memenuhi permintaan di seluruh dunia dan juga daripada pertubuhan besar yang sangat ingin mendekati kemasyhuran dan kedudukannya sebagai pemain terulung.



Beliau diberi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di majlis penyampaian anugerah Personaliti Sukan Tahunan BBC pada 2005.



Sebelum menerima anugerah itu, sebuah rakaman penghormatan disampaikan oleh Beckenbauer, Johan Cruyff dan Sir Bobby Charlton.



Beckenbauer berkata: "(Pele) pemain terbaik dalam sejarah bola sepak."



Pele kembali ke England pada Mac 2015 dalam rangka lawatan promosi, tampil di padang Anfield pada separuh masa dalam satu perlawanan di mana Liverpool dikalahkan Manchester United.



Beliau diberi penghormatan luar biasa, dengan penonton berdiri lama sambil memberi tepukan gemuruh dari setiap sudut stadium.



Beliau juga ditampilkan secara terhormat sebagai duta Brazil di upacara penutup Sukan Olimpik London 2012, sebelum penyerahan kepada tuan rumah seterusnya, Rio, pada 2016.



Bagaimanapun, Pele, akan sentiasa dikaitkan dengan 'Permainan Yang Indah' itu - dan boleh dikatakan tiada siapa bermain dengan lebih cantik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >