Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Tidak sia-sia digelar 'Singapore Airlines'

Ikhsan Fandi, penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2020 yang telah jaring 10 gol dalam Liga Divisyen Satu Norway, kongsi harapannya ingin terus cemerlang di padang bola sepak
Nov 22, 2020 | 05:30 AM



"PESAWAT" ini bukan yang terbesar di dunia.



Tetapi setiap kali ia diberi peluang untuk membuat "penerbangan", peluang itu tidak disia-siakan.



"Destinasi" yang ingin dituju akan sampai menemui sasaran, dengan bola yang ditanduk membolosi gawang penjaga gol lawan.



Digelar 'Singapore Airlines' oleh jurulatih dan rakan sepasukan di kelab-kelab di Norway, Raufoss IL dan FK Jerv, pemain bola sepak negara Ikhsan Fandi tidak menghampakan.



Satu-satunya pemain Singapura yang kini beraksi di Eropah, Ikhsan, 21 tahun, baru-baru ini menjaringkan 10 gol dalam Liga Divisyen Satu Norway.



Ikhsan, yang mengembangkan sayapnya ke Norway sejak tahun lalu, menyarung jersi kelab tahap dua Norway Raufoss IL sebelum berpindah ke satu lagi kelab liga itu, FK Jerv, Oktober lalu.



SUKA TANDUK GOL



"Saya suka nama itu. Saya suka tanduk gol," ujar Ikhsan yang berada di Norway dalam wawancara secara maya bersama Berita Minggu.



Di Raufoss, tiga daripada enam gol penyerang itu merupakan tandukan gol, sementara di Jerv pula tiga daripada empat gol dijaringkan menerusi tandukan.



"Apabila anda kata tentang tekanan... setiap tandukan, setiap bola tinggi, saya akan beritahu kepada diri saya 'saya harus menang tandukan ini'," kata Ikhsan, yang juga disifatkan sebagai pelompat dan penanduk bola terbaik dalam pasukan.



"Tetapi ia juga bagus sebab setiap kali bola datang ke arah saya, saya akan betul-betul fokus dan tanduk bola dengan betul."



Pencapaian Ikhsan menjaringkan 10 gol di Eropah merupakan yang pertama diraih pemain setempat sejak hampir empat dekad lalu.



Kali terakhir adalah bapanya, legenda bola sepak negara Fandi Ahmad, semasa beliau menyarung jersi kelab Belanda FC Groningen pada 1983.



Fandi menyumbatkan 11 gol sepanjang dua tahun bersama kelab itu.



Mengiktiraf pencapaian dan potensi anak muda itu, Ikhsan dinobat Anugerah Jauhari Harapan 2020 anjuran akhbar Berita Harian pada Rabu lalu.



Anugerah Jauhari Harapan di sampaikan kepada individu berusia 30 tahun atau ke bawah yang telah mempamerkan pencapaian dan potensi dalam bidang tersendiri.



Antara penerima anugerah itu sebelum ini ialah petinju profesional, Muhammad Ridhwan 'The Chosen Wan'; pendayung negara dan atlet Olimpik, Saiyidah Aisyah Mohamed; dan penerima biasiswa presiden, Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal.



Pada usia muda 21 tahun, Ikhsan digelar penyerang nombor satu Singapura dan telah menjaringkan lapan gol dalam 18 penampilan buat negara.



Tiga daripada jaringan itu merupakan sumbangan penting kepada kempen Singapura dalam kelayakan Piala Dunia Fifa Qatar 2022 dan Piala Asia AFC 2023.



Pasukan Singa kini menduduki tangga ketiga Kumpulan D - di belakang Uzbekistan dan Arab Saudi dan di depan Yaman dan Palestin - sebelum persaingan ditangguhkan akibat pandemik koranavirus.



Namun, kejayaan Ikhsan tidak datang dengan mudah.



BAPA PESAN AGAR SENTIASA RENDAH HATI



"Bapa saya selalu pesan agar sentiasa rendah hati, dengar kata jurulatih dan jangan kurang ajar dengan orang... perkara kecil ini mungkin bukan aspek bola sepak tetapi ia mainkan peranan.



"Jika jurulatih suka anda dan mereka nampak anda bekerja keras, mereka akan beri anda peluang. Tahap keyakinan anda kemudian akan naik, anda akan bermain dengan baik dan rasa bagus. Saya rasa ini yang telah berlaku kepada saya sejak kebelakangan ini," kata anak kedua daripada lima beradik itu.



Ditanya mengenai generasi pemain Asean masa kini yang semakin ramai dilihat menempa nama di liga-liga Eropah, Ikhsan berkata ia adalah satu trend yang sihat.



Selain Ikhsan, antara pemain Asean lain di Eropah termasuk pemain Thailand Ben Davis di kelab England Fulham, dan pemain dari Malaysia Safawi Rasid serta Luqman Hakim, masing-masing di kelab Portugal Portimonense dan kelab Belgium KV Kortrijk.



"Apabila pemain ini keluar bermain (di Eropah), ia mencipta satu tarikan dan kelab-kelab akan memberi tumpuan kepada pemain di rantau Asean...Saya percaya dalam beberapa tahun akan datang lebih ramai pemain Asean akan ke luar negara," jelas Ikhsan.



Ikhsan turut berharap lebih ramai pemain Singapura dapat menyertainya beraksi di padang-padang Eropah.



Namun, beliau akur laluan ini sukar dan memilihnya bermakna pemain harus membuat beberapa pengorbanan.



"Jika bola sepak adalah minat anda dan anda ingin bermain bola sepak sepenuh masa, anda harus beri lebih masa dan tenaga untuknya dan korbankan perkara lain.



"Ia mungkin keluarga, teman-teman atau pesta yang anda tidak boleh hadiri. Banyak pesta yang ditarik daripada saya. Saya juga jarang sambut hari lahir," kongsi Ikhsan, yang belum pulang ke tanah air bertemu keluarga sejak awal tahun ini akibat pandemik Covid-19 yang menangguh musim liga.



Bagaimanapun, pengorbanan itu berbaloi buat Ikhsan, yang sejak kecil bercita-cita menjadi seorang pemain bola sepak profesional.



Berkongsi aspirasinya dalam lima tahun akan datang, Ikhsan menambah beliau harap dapat mencapai sasarannya untuk bermain di liga tertinggi di Eropah.



"Harapan saya untuk kekal beraksi di Eropah selama yang saya boleh... Saya juga ingin jaringkan lebih banyak gol daripada bapa saya untuk pasukan negara," katanya lagi.




Saya suka nama itu (Singapore Airlines). Saya suka tanduk gol...

Apabila anda kata tentang tekanan... setiap tandukan, setiap bola tinggi, saya akan beritahu kepada diri saya 'saya harus menang tandukan ini.'

Tetapi ia juga bagus sebab setiap kali bola datang ke arah saya, saya akan betul-betul fokus dan tanduk bola dengan betul...

Harapan saya untuk kekal beraksi di Eropah selama yang saya boleh... Saya juga ingin jaringkan lebih banyak gol daripada bapa saya untuk pasukan negara.

​- Ikhsan Fandi, 21 tahun, satu-satunya pemain Singapura yang kini beraksi di Eropah, yang digelar penyerang nombor satu Singapura dan telah menjaringkan lapan gol dalam 18 penampilan buat negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >