Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) tidak akan tergesa-gesa untuk melantik pemimpin barunya, selepas kematian presiden mereka, Encik Lim Kia Tong, menyusuli satu serangan jantung hari ini (14 September).
Menurut perlembagaan FAS, timbalan presidennya - di mana jawatan itu dipegang Encik Bernard Tan - akan memainkan peranan bagi pihak mendiang Lim sehingga kongres selanjutnya, yang dijadualkan berlangsung Jumaat depan.
Namun, memandangkan jangka masa yang singkat, difahamkan masa agak suntuk bagi proses pengundian berlangsung.
Tan, yang merupakan presiden negeri bagi syarikat konglomerat Sinar Mas, dijangka menjadi presiden FAS sementara sehingga kongres tahun depan, apabila seorang pemimpin baru akan dilantik bagi baki tempoh jawatan.
Sekiranya Tan - yang menjadi timbalan presiden FAS sejak 2017, dan sebelum ini selaku naib presiden sejak 2013 - tidak dapat memainkan peranan bagi pihak mendiang Lim, naib presiden paling kanan akan memenuhi peranan itu pula.
Pengundian FAS selanjutnya dijadualkan berlangsung pada 2025.
Terdapat empat naib presiden dalam majlis FAS masa kini: pengerusi Balestier Khalsa Encik S. Thavaneson, bekas pengerusi Tampines Rovers, Encik Teo Hock Seng, bekas kapten nasional, Encik Razali Sa'ad dan bekas pengerusi Geylang International, Encik Ben Teng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg