Petinju profesional Singapura, Muhamad Ridhwan, meraih kemenangan terbesar dalam kerjayanya dengan mengalahkan petinju Filipina Jeson Umbal bagi gelaran kelas bulu (featherweight - 57kg) Antara Benua, Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO).

Petinju berusia 30 tahun itu, yang memenangi 11 daripada 16 kemenangannya dengan knockouts, menang dengan kiraan majoriti (117-111, 116-112, 114-114) untuk meraih tali pinggang di acara Roar of Singapore IV di Stadium Tertutup Singapura Jumaat malam (20 April).

Kemenangan itu, yang disaksikan sekitar 4,000 penonton, memberinya peluang bertanding bagi gelaran kelas bulu dunia IBO, kemungkinan pada September.

"Saya belum fikir tentang kejohanan dunia (pada September) tetapi saya tahu saya perlu berada dalam keadaan terbaik, saya perlu lebih baik, dan saya harap saya dapat bertinju dalam beberapa perlawanan sebelum bertanding bagi merebut tali pinggang itu," kata Ridhwan.

Sementara itu, dalam pertandingan pembukaan, petinju kelas flyweight super Singapura, Efasha Kamarudin, memulakan penampilan sulungnya dengan kemenangan TKO ke atas petinju Thailand, Sumalee Tongpootorn.

Seorang lagi warga Singapura, Alexandrew David, seri dalam pertarungan 69kg menentang Keng Fai dari Malaysia.

Dalam perlawanan lain, petinju Filipina Michael Dasmarinas mengalahkan petinju Perancis Karim Guerfi - yang menduduki tempat keenam dalam senarai Majlis Tinju Dunia - dengan KO dalam pusingan keempat bagi merebut gelaran juara bantam dunia IBO.

Petinju Malaysia Meeraj Khan pula mengalahkan petinju New Zealander Chase Haley dengan kiraan mata bagi kelas light heavyweight WBC Asia.