Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

TOKOH SUKAN DALAM TUMPUAN

Man U di ambang lembaran baru

Namun, pengurus baru Erik Ten Hag, harus ambil beberapa langkah penting dan berani bagi pastikan kelab termasyhur England itu kembali kuasai bola sepak dunia
May 29, 2022 | 05:44 AM



LONDON: Satu-satunya perkara yang positif tentang kempen liga musim ini bagi kelab paling mashyur England, Manchester United, ialah ia sudah berakhir.



United, kelab paling berjaya dalam Liga Perdana England, mengakhiri musim mengecewakan dengan kekalahan 0-1 di tangan Crystal Palace.



Kekalahan itu disaksikan pengurus United yang baru, jurulatih asal Belanda, Erik Ten Hag, 52 tahun.



Beliau mewarisi pasukan yang dirundung pelbagai masalah - kurang bakat, kurang keyakinan, kurang daya saing dan kurang semangat, antara lain.



Justeru, sedang pelantikan empat pengurus tetap sebelum ini, selepas persaraan Sir Alex Ferguson, David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solsjkaer, disambut dengan keghairahan, pelantikan Ten Hag umumnya disambut penyokong United dengan tuntutan.



"Ada suasana yang berbeza di sekitar Manchester United," kata bekas pemain United, Patrice Evra.



"Tiada keghairahan, sebaliknya mereka membuat tuntutan, supaya pengurus baru itu diberi kebebasan, peluang dan ruang; serta pemain yang tidak 100 peratus komited kepada jersi kelab ini meninggalkan United," ujar beliau.



Evra, yang memenangi lima piala Liga Perdana dan satu Liga Juara-Juara Eropah, menyifatkan keadaan itu sebagai sihat.



Bagi beliau, meskipun pengurus itu penting, kunci kepada kejayaan United melampaui bidang kuasa seorang pengurus kelab bola sepak.



Ramai yang bersetuju.



Justeru, apa yang harus dilakukan Ten Hag untuk memulihkan nasib United sebagai gergasi bola sepak England dan dunia?



DIBERI SOKONGAN 100 PERATUS DARIPADA PEMILIK DAN PENGARAH UNITED



Sejak persaraan Sir Alex, pada 2013, United telah menjalani satu perubahan di mana terlalu banyak keputusan dilakukan oleh individu-individu di luar pasukan jurulatih.



Ini dikatakan merupakan antara masalah utama United yang perlu ditangani dengan pihak-pihak yang mengenal pasti dan mendapatkan pemain dikatakan antara 'dalang' utama kemunduran United dalam beberapa tahun lalu.



Ketua Pegawai Ekesekutif (CEO) United yang baru, Richard Arnold, telah pun mengambil beberapa langkah merombak pasukan eksekutif kanan kelab itu dengan terkini, Ketua Pegawai Strategi, Hemen Tseayo, meninggalkan kelab tersebut.



Tseayo bertanggungjawab meletakkan United di bursa saham New York selain melaksanakan beberapa langkah kewangan dan menyusun semula pinjaman kelab tersebut.



Pengunduran beliau menyusuli peletakan jawatan beberapa eksekutif kanan termasuk Matt Judge, yang memegang jawatan sebagai pengarah perundingan bola sepak kelab tersebut.



Dua eksekutif yang bertanggungjawab dalam pencarian pemain, Jim Lawlor dan Marcel Bout, juga telah meninggalkan Old Trafford.



Langkah itu merintis jalan bagi Ten Hag mempunyai peranan yang lebih penting dan berpengaruh dalam isu-isu pengambilan pemain.



"Ini adalah satu langkah yang baik," kata seorang lagi bekas pemain United, Dimitar Berbatov.



"Kita dengar banyak kisah-kisah contohnya bagaimana Ole mahu mendapatkan khidmat Erling Haaland semasa beliau bersama kelab Norway lagi, namun ia tidak diluluskan eksekutif kelab tersebut.



"Tidak tahu betapa benar kisah-kisah seperti ini. Tetapi ia tidak memberi suasana yang baik di sekitar kelab sekiranya pengurus tidak mempunyai pengaruh kuat mengenai anggota pasukannya," kata bekas penyerang itu.



DAPATKAN PEMAIN YANG KOMITED



Bekas kapten United, Roy Keane, mengatakan perkara utama yang menjadi masalah United sejak persaraan Sir Alex ialah kurangnya 'kepimpinan' dalam kalangan pemain di kelab itu.



"Pemain-pemain yang ada sekarang, mereka fikirkan mereka telah berjaya semata-mata kerana mereka bermain untuk United," dakwa Keane, yang memanangi tujuh kejuaraan Liga Perdana England bersama United.



"Hakikatnya ialah kerana anda bermain untuk United, anda harus meningkatkan persembahan. Hidup anda 100 peratus untuk bola sepak. Itu hakikatnya bermain untuk antara kelab gergasi dunia.



"Ramai pemain United hari ini tidak mempunyai perwatakan untuk mewakili kelab sebesar United," ujarnya.



Bersetuju, Evra berkata Ten Hag perlu mendapatkan pemain yang 'dahagakan' kejayaan, mahu memperbaiki diri dan sanggup bermatian untuk jersi tersohor kelab Red Devils itu.



"Mereka perlukan mentaliti juara. Tidak kiralah lima, enam atau tujuh pemain, malah 10 sekali pun yang dikatakan United perlukan, setiap pemain ini harus menjiwai budaya kemenangan United. Tiada lain cara, ujarnya.



Justeru, seorang lagi bekas kapten United, Gary Neville, menekankan Ten Hag harus diberi kepercayaan dan sokongan untuk membuat keputusan yang sukar.



Jika ada pemain yang dirasakan kurang komitmen, kurang bersemangat untuk bersaing untuk tempat dalam kelab itu, mereka harus meninggalkan United.



"Terlalu banyak khabar angin di mana pemain ini mahu meninggalkan United, atau tidak mahu menandatangani kontrak.



"Perkara ini memang berlaku dari dahulu lagi, tapi tidak begitu ramai dan berlarutan. Ten Hag harus menilai siapa yang benar-benar komited, dan siapa yang tidak.



"Mereka yang tidak, harus memberi laluan kepada pemain baru yang benar-benar mahu menyarung jersi United," kata Neville lagi.



CORAK PERMAINAN DAN FAKTOR RONALDO



Bekas pengurus England, Glen Hoddle, dalam analisis akhir musimnya berkata United tidak mempunyai identiti di bawah pengurus sementara Ralf Rangnick.



Menurutnya, dalam musim sebelumnya, di mana United mengakhiri musim di tangga kedua, hanya 12 mata di belakang juara, Manchester City, Solsjkaer telah menjadikan United sebuah pasukan serangan balas yang efektif.



"Ya, mereka mempunyai kelemahan tertentu, dan bukan cara United untuk bermain sebagai pasukan serangan balas, tapi sekurang-kurangnya kita nampak identiti.



"Identiti ini penting, kerana ia sesuatu yang boleh dikembangkan dengan pengambilan beberapa pemain baru untuk mengukuhkan bahagian-bahagian kelemahan pasukan. Dengan ini, identiti itu boleh melalui evolusi dan diperbaiki dari musim ke musim," kata Hoddle.



Namun, menurutnya di bawah teraju Rangnick, United seolah-olah hilang arah.



"Ia sesuatu yang mengejutkan kerana Ralf dihormati sebagai jurulatih yang teknikal, yang mempunyai falsafah bola sepak yang kukuh.



"Mungkin kerana beliau hanya pengurus sementara, jadi beliau tidak dihormati pemain; atau mungkin masalah United begitu mendalam, saya tidak tahu.



"Yang pasti, United seperti kelab-kelab utama lain, memerlukan identiti.''



Pasukan pimpinan Ten Hag, Ajax Amsterdam, mempamerkan corak permainan high-pressing, di mana pemain mengasak lawan di bahagian atas padang bagi menguasai semula bola di kawasan paling dekat dengan gol lawan.



Corak permainan ini juga memberi peluang bagi midfield dan pertahanan mengawal rentak permainan.



Ten Hag telah menunjukkan corak permainan ini membuahkan hasil menyusuli tiga piala kejuaraan liga berturut-turut. Malah, ia juga corak permainan yang dipamerkan Liverpool dan Manchester City, dua kelab yang telah mendominasi bola sepak England sepanjang lima tahun lalu.



United sedar, barisan pemain sedia ada tidak membolehkan mereka mengamalkan gaya permainan sedemikian.



Namun, perkara itu boleh diatasi dengan memindahkan pemain yang tidak mampu dan menggantikan mereka dengan pemain baru yang mampu.



Bagaimanapun, merumitkan keadaan ialah, salah seorang pemain berkenaan merupakan superstar bola sepak dunia Christiano Ronaldo.



"Lepaskan beliau," kata legenda Liverpool, Jamie Carragher.



"Jika United mahu berjaya musim depan, dan memulakan satu lembaran baru, mereka harus berpisah dengan Ronaldo, itu hakikat yang pahit," ujar beliau lagi.



Keane bagaimanapun tidak bersetuju, dan berasakan pemain yang menjaringkan 24 gol bagi United musim ini masih mampu memberi sumbangan positif kepada pasukan Ten Hag.



Menurutnya, semasa United merupakan kelab yang berjaya sekali pun, bukan semua pemainnya perlu mengasak lawan secara high pressing.



"Eric (Cantona) tidak melakukannya, Ruud (Van Nistelrooy) tidak melakukannya, Dwight (Yorke) tidak melakukannya.



"Kami yang lain perlu bekerja keras tetapi kami tahu, jika kami memenangi bola di bahagian atas padang, dan memberi hantaran kepada mereka, besar kemungkinan mereka akan menjaringkan gol," ujar Keane lagi.



Ten Hag sendiri telah menyatakan bahawa Ronaldo adalah antara pemain terbaik dunia, meskipun pada usia 37 tahun, dan beliau tidak sabar bekerjasama dengan pemain itu di United.



Neville berkata perbincangan Ten Hag dengan Ronaldo kelak adalah kunci kepada sama ada pemain itu kekal di United.



"Saya rasa Ten Hag akan memberitahu beliau, ini corak permainan saya, ini falsafah bola sepak saya. Apa pendapat anda?



"Perbincangan itu saya rasa akan berlaku, dan ia penting sekali," kata Neville. - Agensi berita.




PANDANGAN 'PAKAR' 



RAMAI TIDAK LAYAK SARUNG JERSI UNITED 



"Pemain-pemain yang ada sekarang, mereka fikirkan mereka telah berjaya semata-mata kerana mereka bermain untuk United.



Hakikatnya ialah kerana anda bermain untuk United, anda harus meningkatkan persembahan.



Hidup anda 100 peratus untuk bola sepak. Itu hakikatnya bermain untuk antara kelab gergasi dunia.



Ramai pemain United hari ini tidak mempunyai perwatakan untuk mewakili kelab sebesar United.''
- Bekas kapten United, Roy Keane.



SINGKIR RONALDO 



"Lepaskan beliau.



Jika United mahu berjaya musim depan, dan memulakan satu lembaran baru, mereka harus berpisah dengan Ronaldo, itu hakikat yang pahit."
- Legenda Liverpool, Jamie Carragher.



RANGNICK TIDAK DIHORMATI?



"Ia sesuatu yang mengejutkan kerana Ralf dihormati sebagai jurulatih yang teknikal, yang mempunyai falsafah bola sepak yang kukuh.



Mungkin kerana beliau hanya pengurus sementara, jadi beliau tidak dihormati pemain; atau mungkin masalah United begitu mendalam, saya tidak tahu.



Yang pasti, United seperti kelab-kelab utama lain, memerlukan identiti.''
- Bekas pengurus England, Glen Hoddle.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >